"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi pernah anggap tambah jumlah judi menentang Allah, berperangai syaitan

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengecam amalan judi dan tindakan membenarkan judi.

Di atas mimbar Masjid Rusila, beliau juga menyifatkan pihak yang menggalakkan judi sebagai menentang dan bermusuh dengan Allah.

“Mereka yang melakukan amalan judi, menggalakkan judi, membenarkan judi adalah mereka yang menentang Allah, bermusuh dengan Allah, bermusuh dengan Islam dan mereka yang tidak ada agama langsung dalam erti kata yang sebenarnya.

“Kita merasa hairan mengapa masih ada di kalangan kita pihak yang ingin menambahkan judi, jumlah judi yang telah ada nak ditambahkan lagi dengan ura-ura membenarkan atau melesenkan perjudian bola sepak.

“Ini adalah satu maksiat yang diharamkan oleh Islam dan diharamkan oleh semua agama. Mereka yang mempunyai cadangan ini adalah mereka yang mengikut hawa nafsu dan mereka yang berperangai syaitan!” tegasnya.

Petikan pendirian Ahli Parlimen Marang tersebut yang terkandung dalam satu keratan rakaman video berdurasi hampir dua minit itu tular di media sosial susulan keputusan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ meluluskan cabutan khas kepada 22 kali setahun untuk semua agensi nombor ramalan (NFO).

Sehubungan itu, Hadi menegaskan wajib hukumnya untuk umat Islam menentang sekeras-kerasnya kemungkaran termasuk perjudian.

“Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam menentang kemungkaran ini dengan sekeras-kerasnya.

“Ketahuilah mereka yang melakukan amalan membenarkan amalan judi dan menyokong orang yang membenarkan amalan judi ini melakukan dosa yang amat besar di sisi Allah SWT!” kata Hadi lagi.

Pendirian Hadi itu dilihat berbeza dengan nada pemimpin Pas tertentu ketika parti itu kini berada dalam kerajaan Persekutuan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria contohnya yakin kelulusan penambahan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun oleh kerajaan bukan dibuat pimpinan Pas yang menganggotai Kabinet.

ADUN Gunong Semanggol itu berkata, nombor ramalan hanya untuk orang bukan Islam berbanding penganut Islam mempunyai halal dan haram yang perlu dipatuhi.

“…. Jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” kata Razman.

Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Mahiaddin Yassin meluluskan semua permohonan operator perjudian untuk beroperasi berkuatkuasa 15 Februari, Pas juga ada tampil bersuara.

Hanya selepas tiga hari selepas kelulusan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran tersebut.

“Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral,” kata Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas.

Berbanding semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), jumlah cabutan khas telah dikurangkan kepada 11 kali sahaja pada tahun 2019 berbanding 22 kali pada 2018 yang ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan PH seterusnya mengurangkan lagi kekerapan cabutan khas pada 2020 kepada lapan kali sahaja setahun.

Walau bagaimanapun, kekerapan cabutan khas telah ditambah kembali kepada 22 kali selepas 22 bulan pentadbiran kerajaan PH di Putrajaya, di samping cabutan judi tiga kali seminggu yang biasa.

Tiada ulasan: