FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden PKR Tian Chua berharap presiden parti itu, Anwar Ibrahim dapat memaafkannya susulan keputusannya bertanding sebagai calon bebas dan mencabar calon parti sendiri di Parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Tian Chua mengakui faham dengan kekecewaan disuarakan Anwar namun menjelaskan beliau “terpaksa” bertanding di situ kerana mahu meneruskan khidmat baktinya sebagai Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, beliau yakin perkara ini tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Anwar yang dianggap sebagai rakan lama, biarpun tindakannya dilihat seperti “menikam” parti itu dari belakang.
“Saya harus hormat kuasa presiden. Saya faham dilema Anwar, beliau terpaksa jalankan tanggungjawab sebagai presiden untuk mengikuti peraturan parti,” katanya.
“Saya mohon maaf kerana terpaksa lakukan perkara yang menyedihkannya. Namun, saya ingin tegaskan persahabatan saya dengan Anwar tidak akan berubah walau sedikit pun, walaupun dipengaruhi peristiwa politik semasa.
“Saya tetap menghormati dan menghargai pengorbanan beliau sebagai pemimpin, dan ucapkan semoga berjaya kepadanya dalam PRU15,” katanya, menurut Berita Harian.
Tian Chua berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau secara automatik dipecat daripada PKR ekoran tindakannya bertanding atas tiket bebas.
Anwar dilaporkan berkata, Tian Chua tidak wajar memilih haluan itu, membelakangi keputusan parti.
“Kita akan ambil tindakan sewajarnya. Biasanya sebagai dasar (PKR), mereka yang bertanding sebagai calon bebas atau meninggalkan parti atas apa jua alasan sekali pun akan secara automatiknya dipecat oleh parti,” katanya.
PKR mencalonkan P Prabakaran mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Batu, sekaligus menjadi antara calon termuda pada PRU15.
Tian Chua, yang pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan senarai calon yang diumumkan kepimpinan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan