"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cuba ikat kelapa di perut Sanusi nak tengok mampu ke tak?'

N Faizal Ghazali

Calon Pakatan Harapan (PH) parlimen Sik Latifah Md Yatim menempelak tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan memperlekehkan calon wanita yang bertanding di kawasan itu pada PRU ke-15 kali ini.

Menegaskan bahawa kaum ibu mempunyai ketahanan diri yang lebih hebat, Latifah berkata Sanusi mungkin boleh cuba ikat sebiji kelapa di perutnya seperti mana seorang ibu mengandungkan anak selama sembilan 10 hari.

"Percayalah ketahanan diri wanita lebih hebat, sebab itu Allah beri wanita mengandungkan anak.

"Cuba ambil sebiji kelapa ikat di perut dia, tak usah lama tiga bukan saja. Sedangkan wanita mengandung 9 bulan 10 hari, macam gadai nyawa. Kita tanya dia (Sanusi) mampu ke tak?" katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui selepas menghadiri program ceramah berkelompok di Parlimen Pokok Sena, Kedah, malam tadi.

Terdahulu Muhammad Sanusi dalam satu video ceramah yang tular di media sosial semalam mengkritik langkah BN menampilkan calon wanita Maizatul Akmam Othman bertanding di parlimen Sik.

Sanusi berkata, tanpa berniat merendahkan muslimat PAS, faktor geografi kawasan itu yang luas dengan kedudukan di luar bandar serta ramai penduduk miskin di luar kemampuan untuk kaum wanita berkhidmat di situ.

"Di Sik ini dalam keadaan Sik yang luas, luar bandar, orang susah ramai. Orang panggil wakil rakyat tak kira waktu siang, pagi, tengah malam, pagi buta panggil. Dia kacau serba-serbi, adakah wakil rakyat orang betina (perempuan) boleh buat?

"Saya kata kamu tak boleh buat, pukul tiga pagi kita boleh bayang orang betina bangkit tidur rambut setara mana? Nak pergi tolong orang banjir. Dia nak bersiap keluar daripada rumah dua jam, sesuai di Sik ini orang lelaki.

"Seorang lagi (Latifah) itu dekat umur 70 dah, tauke kopi ayah dia dulu. Kita kenal ayah dia, dia kita tak tahu. Banyaklah rakan-rakan sejabatan dia cerita pada saya tapi saya tak mahu ceritalah, nanti dia kata duduk mengutuk dia pula. Yang saya nak suruh jangan undi dia," katanya.

Parlimen Sik akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Latifah dan Maizatul Akmam berdepan penyandang kerusi itu Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu Latifah yang juga bekas pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri berkata, dia sebagai pegawai agensi itu sentiasa bersedia 24 jam dalam melaksanakan tugas.

"Sebagai pegawai SPRM kami ini dianggap bertugas 24 jam, tengah malam dapat arahan kena buat pembongkaran, serbuan, tak menentu masa.

"Dia tak boleh cakap macam itu dan memperlekehkan wanita, dalam PAS pun ramai peratusan wanita yang bertanding atas tiket pas pun ramai, tak masuk akal dia kata macam tu," katanya.

Tiada ulasan: