"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penggal, ‘tayang’ kepala isteri, lelaki Iran dipenjara

AFP

Tunjuk perasaan tercetus di Iran selepas kematian Mahsa Amini pada 16 September. (Gambar AP)
TEHRAN: Seorang lelaki Iran dipenjara lebih lapan tahun kerana memenggal kepala isterinya yang kemudian ditayangkan kepada orang ramai dalam kes yang mengejutkan negara itu.

Mona Heidari, 17, dibunuh pada Februari 2022 oleh suami dan abang iparnya di Ahwaz, Khuzestan.

Video yang tersebar menunjukkan suaminya tersengih berjalan sambil menayangkan kepala mangsa mencetuskan kemarahan di Republik Islam itu.

Sajjad Heidarnava dipenjara tujuh tahun setengah kerana bunuh dan lapan bulan kerana tuduhan serangan, kata jurucakap kehakiman Massoud Setayeshi kepada pemberita.

Keluarga Heidari memilih memaafkan tertuduh dan tidak menuntut qesas iaitu bayaran pampasan yang dibenarkan menurut undang-undang Iran.

“Tertuduh tiada hak memprotes keputusan muktamad ini,” kata jurucakap berkenaan.

“Defendan kedua, Heidar Heidarnava dipenjara 45 bulan kerana bersubahat dalam pembunuhan yang disengajakan,” katanya.

Ketika kejadian, portal berita Iran melaporkan Heidari berkahwin pada usia 12 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun ketika kematiannya.

Selepas kejadian itu, pejuang hak asasi manusia mendesak undang-undang dipinda bagi melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga, selain menaikkan usia minimum perkahwinan dari 13 tahun.

Tunjuk perasaan tercetus di Iran susulan kematian Mahsa Amini, 22, pada 16 September lalu selepas ditahan kerana didakwa melanggar kod pakaian wanita Iran.
-fmt

Tiada ulasan: