"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inspektor polis terima 5 jahitan ditetak bekas tentera

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor cedera selepas ditetak bekas tentera ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 40 tahun dilaporkan menyerang inspektor tersebut yang ketika itu bersama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah melakukan serbuan ke atas rumah lelaki itu, pada 9.30 malam.

Ketua Polis Tanah Merah, Mohd Haki Hasbullah berkata, sebelum kejadian suspek terlebih dulu mengacu senjata dan menetak beberapa bahagian van milik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika operasi agensi dijalankan pada sebelah pagi, hari yang sama.

“Ketika operasi AADK pada 10.30 pagi, suspek bertindak agresif dengan merosakkan kenderaan milik agensi itu dan melarikan diri.

“Susulan itu, laporan dibuat sebelum polis membuat serbuan pada waktu malam pada hari sama dan ketika tiba di rumah suspek, keadaan rumahnya gelap,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya lagi, sebaik pasukan polis masuk ke rumah, suspek tiba-tiba menyerang dengan dua bilah parang menyebabkan pegawai polis yang mengetuai operasi cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima lima jahitan selain calar di bahu kanan.

Mohd Haki berkata, suspek yang juga seorang duda ditamatkan perkhidmatan sebagai tentera tiga tahun lalu dan memiliki dua rekod jenayah lampau serta tiga rekod bersabit dadah.

“Ujian saringan juga mendapati suspek positif methampethamine dan direman empat hari bermula semalam sehingga 20 Januari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 332 kanun sama kerana sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam dari menjalankan tugas.

“Selain itu turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 427 kerana khianat,” katanya.

Tiada ulasan: