"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX: Hutang negara termasuk liabiliti cecah RM1.5 trilion

Rafidah Mat Ruzki

fidahruzki@bh.com.my

Putrajaya: Malaysia berdepan cabaran hutang negara termasuk liabiliti berjumlah RM1.5 trilion, yang perlu ditangani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ketika ini, kemerosotan ekonomi masih belum reda manakala keadaannya masih malap yang turut terkesan dengan perkembangan antarabangsa global, perang Ukraine-Rusia serta pasca Covid-19.

"Kalau ikut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri pun, ia (ekonomi) terus menurun.

"Masalah-masalahnya ialah, hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trillion. Ini kenyataan, kerana ada pertikai, kenyataan berubah-ubah.

"Kalau termasuk liabiliti, ia sudah RM1.5 trillion," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023, di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Berikutan itu, beliau berkata, semua pihak termasuk kepemimpinan dan wakil kementerian harus menerima kenyataan itu, bahawa ia bukan lagi urusan biasa selain mereka tidak seharusnya terus selesa.

Sementara itu, pada sidang media selepas sesi berkenaan, Anwar berkata, Belanjawan 2023 akan diteliti semula dari semua aspek dan tidak terikat dengan belanjawan lalu.

Beliau berkata, cadangan yang dibuat terdahulu turut diambil kira.

"Ini belanjawan baharu sama sekali, terasnya, dasarnya, pengubahsuaiannya walaupun angka-angka dan pendapatan tidak boleh ubah banyak," katanya.

Ditanya perkembangan subsidi bersasar, Anwar berkata, sudah ada tindakan yang diambil contohnya tarif elektik bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pertanian serta industri kecil dan sederhana (IKS).

"Sudah ada tindakan (subsidi bersasar) walaupun pentadbiran dahulu kata naik tarif tapi kita batal cadangan itu dan guna pendekatan baharu.

"Ia terpakai dan kali ini kita serius melihat kepada laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan dan kenalpasti masalah supaya dapat penyelesaian," katanya.

Tiada ulasan: