"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya tuntut nyawa dibalas nyawa' - mangsa samun cedera parah, suami dibunuh

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Mangsa samun, Sabturiah Lakidau (tengah - tudung biru gelap) hadir ditemani ahli keluarganya ketika memberi keterangan impak mangsa dan memohon tertuduh dihukum gantung atas kesalahan membunuh suaminya dan merompaknya, tujuh tahun lalu.
Mangsa samun, Sabturiah Lakidau (tengah - tudung biru gelap) hadir ditemani ahli keluarganya ketika memberi keterangan impak mangsa dan memohon tertuduh dihukum gantung atas kesalahan membunuh suaminya dan merompaknya, tujuh tahun lalu.
MELAKA: 'Yang Arif, saya mohon sangat-sangat hukuman gantung sampai mati kekal. Nyawa dibalas nyawa"

Demikian luahan mangsa samun, Sabturiah Lakidau, 66, ketika memberikan keterangan impak mangsa secara bersumpah dalam prosiding di akhir kes pembelaan hari ini yang mengundang suasana hiba dalam kalangan orang ramai termasuk ahli keluarganya di galeri awam.

Saksi Pendakwaan (SP) 21 itu dipanggil semula untuk memberikan keterangan bersumpah secara lisan, bagi pemberatan hukuman terhadap bekas polis tentera, Darmadi Sulaiman, 42, yang didakwa membunuh suaminya dan merompak mangsa, tujuh tahun lalu.

Dalam prosiding didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis berkenaan, Sabturiah menyatakan akibat kejadian dia kehilangan suami dan tinggal seorang hingga takut untuk keluar rumah serta berjumpa orang ramai.

"Saya trauma berbulan-bulan, nak makan susah...hanya makan bubur sebab lidah saya dipotong. Mujur ada cucu menemani saya. Siang malam saya menangis kehilangan suami tercinta dan dirindui.

"Saya juga hilang pendapatan sebab tidak dapat berkerja (menjual makanan) akibat tangan kiri cacat dan kebas sejak kejadian hingga kini.

"Saya dirawat di hospital selama dua minggu akibat kejadian itu, malah kini lidah saya juga masih terasa sakit," katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Sabturiah berkata, dia reda dan menerima keputusan hukuman diputuskan mahkamah.

Terdahulu, Anselm mendapati Darmadi bersalah dan disabitkan kesalahan selepas gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 394 KK kerana samun dengan menyebabkan kecederaan.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu selepas menimbangkan keseluruhan keterangan pendakwa dan pembelaan termasuk keterangan berbentuk dokumen seperti percakapan beramaran tertuduh.

"Saya berpendapat tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah berkaitan kedua-dua pertuduhan terhadapnya, manakala pendakwaan membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah," katanya.

Sementara itu, tertuduh menyatakan dia tiada apa ingin dikatakan dan menerima apa saja keputusan mahkamah ketika diberi peluang memberikan ucapan terakhir oleh hakim.

Terdahulu, peguam S Paul Krishnaraja yang dibantu Amy Chong Chai Ling memohon mahkamah menggunakan budi bicara memberikan hukuman penjara dan bukan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 302 KK berdasarkan kes-kes selepas pindaan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan.

Bagi kesalahan Seksyen 394 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, peguam merayu hukuman penjara minimum dan kedua-dua hukuman berjalan serentak kerana membabitkan transaksi kejadian sama walaupun berbeza mangsa.

Katanya, tertuduh sudah tujuh tahun berada di dalam penjara sejak ditahan dan itu adalah kesalahan pertamanya dan kini sudah insaf.

"Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia 11,12,13 dan 14 tahun. Sebelum ditangkap dia berkhidmat sebagai askar selama 16 tahun di Kem Terendak," katanya.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Nabilalif Mohd Rosli bagaimanapun berhujah supaya hukuman gantung bagi pertuduhan pertama dan hukuman berat bagi kesalahan kedua dikenakan kepada tertuduh serta berjalan berasingan.

"Pohon mahkamah ambil kira kekejaman dilakukan tertuduh terhadap dua mangsa warga emas dalam kes ini hingga kehilangan satu nyawa yang tidak bersalah.

"Tertuduh berterusan menyerang mangsa walaupun dihalang oleh isterinya dan sejurus selepas itu menikam pula si isteri di mulut serta menoreh tangannya.

"Pendakwaan juga mohon mahkamah mengambil kira trauma dialami mangsa sehingga kini dan kecacatan kekal akibat perbuatan tertuduh seperti dalam keterangan impak mangsa," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun bermula dari tarikh ditangkap dan 15 sebatan bagi kesalahan membunuh dan penjara 10 tahun dan sembilan sebatan bagi tuduhan merompak dengan mendatangkan kecederaan.

Hukuman penjara berjalan berasingan bagi kedua-dua pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Darmadi didakwa membunuh Abdul Rahman Pileh, 60, yang juga bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Para antara 7.40 hingga 8.10 malam, 14 Julai 2017 di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang.

Jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 KK.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merompak dan sengaja mendatangkan cedera kepada Sabturiah pada masa, tarikh dan tempat yang sama, mengikut Seksyen 394 KK.

Perbicaraan bermula 31 Mac 2021 dan 32 saksi pendakwaan memberi keterangan sebelum pendakwaan menutup kes pada 10 Oktober 2023 dan tertuduh dipanggil membela diri bermula 29 November 2023.

Hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri yang memberi keterangan secara bersumpah.

Tiada ulasan: