"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno terima wang dari ‘tabung gelap raksasa’, peguam SRC beritahu mahkamah

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Umno merupakan penerima wang daripada suatu ‘tabung gelap raksasa’ yang berasal daripada SRC International Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya, Mahkamah Tinggi diberitahu.

Peguam SRC International, Razlan Hadri Zulkifli, berkata berbilion ringgit daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan telah dipindahkan, digelapkan, dan disalah guna.

“Plaintif-plaintif — SRC dan anak-anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd serta Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) — hanyalah alat dalam suatu tabung gelap raksasa.

“Kes ini mengenai sebahagian wang tersebut, iaitu RM16 juta (kepada ibu pejabat Umno) dan RM3.5 juta (kepada Umno Selangor),” katanya dalam kenyataan pembukaan.

SRC International dan dua anak syarikat, yang memfailkan saman pada 2022 untuk mendapatkan semula wang tersebut, mendakwa bahawa Umno secara sedar menerima dana itu walaupun tidak mempunyai asas untuk berbuat demikian.

Razlan berkata penubuhan dan pemerbadanan SRC International sepatutnya menjadi pemangkin kepada era baharu dalam mencapai kebebasan tenaga untuk negara.

“Namun, semua deklarasi itu hanya mengabui mata. Apa yang diwujudkan hanyalah alat untuk menipu,” tambahnya.

Beliau berkata tuntutan plaintif terhadap defendan adalah untuk mendapatkan semula RM16 juta dan RM3.5 juta yang dibayar secara salah oleh JPSB, kononnya untuk tujuan ‘tanggungjawab sosial korporat’ (CSR).

Katanya, kes plaintif berasaskan dakwaan bahawa wang itu dipindahkan kepada defendan hasil daripada kesalahan-kesalahan, pelanggaran kewajipan statutori dan undang-undang, serta pecah amanah oleh bekas pengarah-pengarah plaintif.

“Kami tidak mendakwa sebarang kesalahan atau pelanggaran di pihak defendan dalam membantu orang yang melakukan kesalahan memindahkan RM19.5 juta ini. Saman ini bukan berdasarkan bantuan tidak jujur,” tambah Razlan.

Beliau berkata untuk memahami fakta di sebalik pemindahan ini, peranan yang dimainkan oleh Najib Razak selaku bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, dan bekas presiden Umno, serta peranan pengarah-pengarah dan pengurusan kanan plaintif-plaintif pada waktu kejadian perlu diperiksa, diteliti, dan dianalisis.

Defendan-defendan tidak nafi menerima wang yang dipindahkan oleh JPSB.

Namun, mereka mempertikaikan tuntutan plaintif atas beberapa alasan: mereka tidak mempunyai pengetahuan bahawa dana tersebut daripada tindakan salah bekas pengarah-pengarah plaintif, dan dana itu hanya untuk tujuan CSR.

Defendan-defendan juga berpendirian bahawa sebagai parti politik, mereka boleh menerima sumbangan daripada pelbagai sumber. Mereka berkata dana yang diterima digunakan untuk kegiatan-kegiatan CSR semasa PRU 2018.

Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Umno selaku peguam, manakala Hasnal Rezua Merican mewakili Umno Selangor.

Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung.

Tiada ulasan: