RK Anand
Sekadar melihat bendera Cina, pemimpin dan ahli PAS ibarat “kera terkena belancan”, bagaimanapun reaksi mereka menurut seorang pensyarah amat berlainan terhadap kehadiran seorang “Maharaja China” di Pahang yang disifatkannya sebagai mengejutkan.
“Saya amat terkejut,” kata Tajuddin Mohd Rasdi kepada Malaysiakini.
“Adakah ini bermakna bahawa PAS telah matang? Adakah kita sedang menyaksikan fasa baru bagi parti yang biasanya cepat melatah?
“Atau adakah ini contoh nyata hiprokasi? Adakah reaksi itu akan berlainan jika anak-anak Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berpakaian sebagai Maharaja China atau Ratu China?” tambahnya.
Profesor seni bina, yang merupakan pengkritik tegar PAS, itu berkongsi pandangannya mengenai ahli exco Pahang, Nizar Najib, yang berpakaian sebagai Maharaja Cina dari zaman Dinasti Qing semasa sambutan Tahun Baru Cina di negeri itu, baru-baru ini.
Nizar, anak kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan, Najib Razak, berpakaian sedemikian untuk menekankan mesej toleransi.
Tajuddin, yang menyatakan sokongannya terhadap paparan pemahaman antara kaum sedemikian, menekankan hubungan sejarah yang mendalam antara China dan Malaysia sambil menuding kepada pertukaran budaya dan ekonomi selama berabad-abad, bermula sejak zaman Kesultanan Melaka.
“Walaupun saya menyanjung niat Nizar, namun saya tidak dapat tidak mempersoalkan sikap membungkam pihak PAS mengenai perkara ini.
“Saya yakin PAS bukan tiba-tiba saja menjadi toleransi, tetapi kerana Najib dianggap sebagai sekutu politik yang layak mendapat layanan berbeza,” tambahnya.
Nga sebagai Hang Tuah
Tajuddin juga mengulas bagaimana reaksi PAS seandainya pemimpin DAP, Nga Kor Ming, berpakaian sebagai pahlawan Melayu lama seperti Hang Tuah, lengkap dengan keris replika yang terselit di pinggangnya.
“Dalam senario sedemikian, kemungkinan kemarahan akan meletus, dengan pelbagai tuduhan dilemparkan dan emosi yang memuncak.
“Tindak balas pasti segera dan hebat – mungkin malah sampai mengakibatkan kecaman awam, protes, dan banyak laporan polis dibuat,” tambahnya.
Nga, yang memegang jawatan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, sering menjadi sasaran PAS, dengan dirinya dikecam khususnya apabila membabitkan perdebatan kaum dan agama.
Justeru Tajuddin berkata dia menaruh harapan bahawa semangat toleransi baru PAS itu akan dipamerkan secara konsisten dalam setiap keadaan.
“Untuk benar-benar membuktikan keikhlasan dan mereka boleh dpercayai, PAS mesti memastikan pendekatannya adalah adil dan tidak berat sebelah, tanpa memilih bulu,” katanya.
PAS dan beberapa NGO tertentu sering menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menggerakkan sokongan, dan DAP, yang majoritinya berketurunan Cina serta berpegang pada sikap sekular, sering digambarkan sebagai ancaman kepada dominasi Melayu dan Islam, walaupun berulang kali menafikannya dan menerangkan dasar inklusifnya.
Dakwaan bahawa Anwar di bawah kawalan DAP adalah satu lagi naratif yang digunakan oleh PAS dan sekutunya untuk menghakis kepercayaan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan.
Tuduhan-tuduhan ini mencerminkan perjuangan berterusan untuk mendapatkan undi Melayu, dengan PAS meletakkan diri sebagai pembela kepentingan Melayu-Islam dan berusaha untuk melemahkan asas sokongan kepada Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan