"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cuepacs: Ada penjawat awam dipaksa terima rasuah

Anne Muhammad

Perkara itu antara aduan diterima Cuepacs daripada penjawat awam.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan ada dalam kalangan penjawat awam terpaksa mengambil rasuah selepas ditekan pihak tertentu.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata perkara itu antara aduan diterima pihaknya daripada penjawat awam.

“Orang yang bagi rasuah adalah punca. Demi kepentingan dia…dia paksa orang lain ambil rasuah. Kadang ada yang kena paksa.

“Ada yang mengadu pada kami (Cuepacs), dia dipaksa kalau tidak (terima) mereka akan hantar peluru, kacau keluarga. Itu yang kita tak nak, sedangkan kawan (penjawat awam) ini buat kerja betul,” katanya kepada FMT.

Rahman mendedahkan perkara itu selepas diminta mengulas kedudukan Malaysia yang kekal mencatat 50 mata dan berada di tempat ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, sama seperti tahun sebelumnya.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim kecewa dengan tiadanya peningkatan skor, memetik kes rasuah membabitkan pelbagai agensi kerajaan tahun lalu sebagai punca.

Hassan berkata, kegagalan menambah baik kedudukan dan skor CPI Malaysia, dalam laporan tahunan Transparency International (TI), adalah ‘mendukacitakan’, memandangkan usaha memerangi rasuah antara agenda utama kerajaan perpaduan, selain pembasmian kemiskinan.

Tahun lalu, sejumlah pegawai Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis didakwa atas tuduhan rasuah.

Sementara itu, Rahman menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperbanyakkan ceramah dan taklimat kepada penjawat awam.

Katanya, perkara itu perlu kerana ada dalam kalangan pekerja sektor awam telah ‘terlupa’ mengenai tanggungjawab menolak rasuah.

“Maknanya jabatan kerajaan yang terlibat rasuah perlu diberi ceramah oleh SPRM…perlu perluaskan usaha mereka (SPRM), penjawat awam kena diingatkan. Kadang-kadang dah lama tak dengar ceramah, mereka dah lupa,” katanya.

Pada masa sama Rahman yakin Malaysia akan memperbaiki kedudukannya tahun depan selepas pelbagai usaha memerangi rasuah dilakukan kerajaan.

Katanya, namun bagi memastikan hasrat itu berhasil, kerajaan perlu terus menambah baik tatakelola dan sistem pentadbiran.

Tiada ulasan: