"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Trump nyatakan komitmen AS untuk beli dan miliki Gaza

Malaysiakini 

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan komitmennya untuk membeli dan memiliki Gaza.

Bagaimanapun, dia mungkin membenarkan sebahagian kawasan yang musnah akibat perang dibina semula oleh negara-negara lain di Asia Barat.

"Saya komited untuk membeli dan memiliki Gaza. “Mengenai usaha pembinaan semula, mungkin kita akan serahkan kepada negara lain di Asia Barat untuk membina sebahagian daripadanya, atau pihak lain boleh melakukannya di bawah pengawasan kita. 

“Kita komited untuk memilikinya, mengambilnya, dan memastikan Hamas tidak kembali ke sana,” kata Trump yang dipetik oleh Reuters.

Dia membuat kenyataan itu kepada wartawan di atas pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke New Orleans bagi menghadiri Kejohanan Super Bowl Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL).

“Tiada apa yang boleh kembali ke sana. Tempat itu adalah tapak runtuhan. Baki bangunan akan dimusnahkan. Semuanya telah musnah,” katanya.

Bawa pelarian Palestin ke AS

Trump juga menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kemungkinan menerima beberapa pelarian Palestin ke Amerika Syarikat, tetapi keputusan itu akan dibuat berdasarkan kes demi kes.

Bagaimanapun, menurut Reuters, Ezzat El Rashq, ahli biro politik Hamas, mengecam kenyataan Trump mengenai hasrat untuk membeli dan memiliki Gaza itu.

“Gaza bukanlah harta yang boleh dibeli dan dijual. Ia adalah sebahagian daripada tanah Palestin yang diduduki,” tegas Rashq, sambil menambah bahawa rakyat Palestin akan menggagalkan sebarang rancangan pemindahan penduduk.

Trump sebelum ini pernah mencadangkan pelan untuk secara kekal memindahkan rakyat Palestin dari Gaza dan menjadikan kawasan itu sebagai “Riviera Asia Barat”. 

Minggu lalu, dia mengutarakan idea untuk AS  mengambil alih Gaza dan melaksanakan usaha pembangunan besar-besaran.

Tidak jelas

Bagaimanapun, kenyataannya masih kabur mengenai masa depan rakyat Palestin yang sejak lebih setahun dilanda serangan bertubi-tubi oleh Israel sejak Oktober 2023.

Tidak jelas di bawah peruntukan undang-undang mana yang Amerika Syarikat boleh menuntut Gaza. Pengumuman Trump itu turut mendapat kecaman dari beberapa negara.

Terdahulu pada Ahad, Presiden Israel, Isaac Herzog, berkata Trump dijadualkan bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan mungkin Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, namun tidak ada pengumuman mengenai tarikh pertemuan itu.

Kenyataan Herzog dibuat dalam satu temu bual dengan Maria Bartiromo dari Fox News sebagai menjawab soalan mengenai cadangan Trump untuk mengambil alih dan membangunkan semula Semenanjung Gaza.

Beberapa rundingan

Herzog tidak menyatakan bila atau di mana pertemuan itu akan diadakan serta kandungan yang akan dibincangkan. Namun, beliau turut menyebut bahawa Trump akan bertemu dengan Raja Jordan, Raja Abdullah, dalam beberapa hari akan datang, seperti yang telah dilaporkan oleh agensi berita rasmi Jordan.

“Presiden Trump akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Arab utama, termasuk Raja Jordan, Presiden Mesir dan saya rasa juga Putera Mahkota Arab Saudi,” kata Herzog.

“Mereka adalah rakan yang perlu didengar, perlu dibincangkan bersama. Kita harus menghormati perasaan mereka dan mencari jalan untuk membangunkan pelan yang mampan untuk masa depan,” tambahnya.

Arab Saudi sebelum ini dengan tegas menolak pelan Trump mengenai Gaza, seperti yang dinyatakan oleh ramai pemimpin dunia lain.

Menurut laporan Reuters sebelum ini, Raja Abdullah dari Jordan juga bercadang untuk memberitahu Trump dalam pertemuan mereka pada 11 Februari di Washington bahawa cadangan tersebut hanya akan membangkitkan ekstremisme, mencetuskan kekacauan di Asia Barat dan membahayakan keamanan Jordan dengan Israel.

Rumah Putih tidak memberikan sebarang komen serta-merta mengenai perkara itu. Sementara itu, tiada respons segera dapat diperoleh daripada pegawai di Kaherah dan Riyadh.

Tiada ulasan: