Hishamuddin Aun
Daripada ‘diangkat’ sebagai perdana menteri masa depan ketika PRK Kemaman, menteri besar Terengganu kini dipintas pelbagai nama lain.
Sehingga hari ini peletakan jawatan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam secara mengejut sebagai bendahari Perikatan Nasional (PN) 11 Dis lalu masih menjadi misteri. Namun, keputusannya itu yang menyusuli pengumuman Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menamakan pimpinan Bersatu ke jawatan utama dalam gabungan berkenaan dua hari sebelum itu mungkin boleh dikaitkan dengan kekecewaan kerana PAS berasa dipinggirkan.
Menafikan bahawa peletakan jawatannya berpunca daripada keretakan dalam gabungan itu, Dr Sam berdalih bahawa tindakannya itu bertujuan menjadikan PN pakatan politik yang lebih kuat untuk menghadapi PRU16. Bagaimana tidak pula diperjelaskannya.
Jika berkait dengan masalah peribadi, ia turut enggan dijelaskannya sambil menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menyelesaikannya. Harus tidak silap untuk mengandaikan beliau berasa tersisih.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN dipengerusikan Muhyiddin pada 9 Dis itu melantik Azmin Ali sebagai setiausaha agung manakala Ahmad Faizal Azumu sebagai ketua penerangan. Selain Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Wanita, dua lagi naib presiden Bersatu, Radzi Jidin dan Ronald Kiandee turut dinamakan sebagai sebagai anggota MPT.
Terlebih dahulu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai setiausaha agung PN yang baharu, menggantikan Hamzah Zainudin yang dilantik timbalan pengerusi PN. Sebaliknya, jawatan-jawatan utama dalam PN diisi pimpinan Bersatu.
Sebagai ‘mengeruhkan’ lagi keadaan, cadangan supaya Takiyuddin dilantik setiausaha agung PN timbul beberapa hari selepas pertikaian di antara PAS dan Bersatu mengenai calon perdana menteri gabungan berkenaan.
Ia rentetan kenyataan Ahmad Faizal mengusulkan Muhyiddin sebagai calon tepat bagi jawatan itu, namun disanggah Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang berpandangan calon dari PAS lebih layak berdasarkan wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen (43), lebih 18 kerusi berbanding Bersatu (25).
Selain mempunyai jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara, tambahnya, PAS yang memerintah Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang terbukti banyak kepincangan — enam ahli Parlimennya ditamatkan keahlian selepas menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri daripada PN menjelang pilihan raya umum akan datang, Presiden Gerakan Dominic Lau — satu lagi parti komponen gabungan itu — mempertahankan presiden Bersatu itu seharusnya kekal kekal menjadi ‘poster boy’ berdasarkan pengalamannya.
“Beliau (Muhyiddin) mempunyai pengalaman, kepimpinan dan sokongan seluruh Perikatan Nasional. Beliau juga seorang yang mengutamakan pendekatan bersama, kesederhanaan dan amat sesuai sebagai ‘poster boy’ PN,” katanya dalam kenyataan.
Jadi, berselang cuma setahun selepas Muhyiddin ‘mengangkat’ Dr Sam selaku calon perdana menteri pada masa depan, cakap-cakap mengenainya semakin tenggelam. Sama ada disedari atau tidak, detik perbalahan PAS dan Bersatu pada November lalu adalah permulaan jatuhnya nilai saham menteri besar Terengganu itu sebagai calon perdana menteri PN.
Namun, demi memberi keadilan kepadanya, Dr. Sam sejurus memenangi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis 2023 menjelaskan bahawa jawatan perdana menteri tidak pernah terlintas di fikirannya, namun sedia mempertimbangkan perkara itu jika diberi amanah oleh parti dan rakyat.
“Tidak menjadi sasaran atau objektif saya menyertai politik untuk menjawat jawatan yang sebegitu tinggi. Walaupun begitu sekiranya di satu masa yang akan datang (apabila) diberi amanah oleh parti dan juga rakyat, saya akan pertimbangkan,” katanya.
Baru-baru ini pula, Ahli Dewan Ulama PAS Pusat yang kontroversi Mokhtar Senik secara terbuka mencadangkan Presiden PAS Hadi Awang, 77 — yang tular videonya berkerusi roda dan dipimpin untuk ke masjid dalam keadaan semakin uzur — sebagai calon perdana menteri dari pembangkang.
Berilmu dan bertakwa sehingga dapat mengenal batas di antara halal dan haram serta pada masa sama mendidik rakyat mengenainya di samping memiliki akhlak terpuji dan adil disebutkannya sebagai ciri-ciri melayakkan Hadi memimpin kerajaan akan datang.
“Tuan Guru paling layak itu jika mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam. Tapi kalau mahukan sebuah negara sekular, liberal yang macam ada sekarang memanglah TGHH tak layak. Di bawah pimpinan beliau wajah baru politik negara ini akan muncul,” katanya.
Mengakui Hadi kelihatan uzur hingga menyukarkannya menjadi pemimpin, Mokhtar menambah: “Kamu kena ingat kerja PM bukan berjoget. Kalau nak berjoget-joget tunjuk langit memanglah Tuan Guru tak boleh.”
Daripada Hadi, jauh lebih baik lagi Dr Sam, 54, yang berkelulusan ijazah doktor falsafah kejuruteraan mekanikal dari Universiti Leeds.
Sebelum ini, Ahli MPT Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyenaraikan selain Muhyiddin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Samsuri dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin layak dipertimbangkan sebagai calon perdana menteri.
Beberapa pemimpin akar umbi PAS pula mendakwa sesiapa sahaja daripada parti itu — tanpa mengambil kira hierarki — boleh menjadi calon perdana menteri PN, lantas tidak timbul keperluan bagi PAS menyediakan calon jawatan berkenaan dengan membenarkan pertandingan jawatan tertinggi sekurang-kurangnya timbalan presiden.
Hujah itu sebagai menjawab saranan penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Syaza Shukri bahawa ada keperluan bagi PAS mempertandingkan kerusi timbalan presiden untuk menyediakan pelapis pimpinan atau calon perdana menteri menjelang PRU16.
Selain Samsuri, tiga menteri besar dari PAS — Sanusi Nor (Kedah), Nassuruddin Daud (Kelantan) dan Shukri Ramli (Perlis) — turut dikatakan boleh diangkat sebagai calon perdana menteri, satu pandangan yang mungkin cenderung kepada syok sendiri.
Namun, apa yang jelas Dr Sam semakin melurut turun daripada segi kekananan atau kedudukan dalam senarai keutamaan berbanding nilai saham dirinya ketika beliau menjadi ‘modal’ untuk memenangi PRK Kemaman dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan