"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas beristeri 2 dipenjara 6 tahun amang seksual anak saudara

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman enam tahun dan tiga sebatan terhadap seorang warga emas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual serta mengugut anak saudaranya awal bulan ini.

Hakim Surita Bidin yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan terhadap lelaki 63 tahun itu, memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan 9 Feb lalu.

Bagi pertuduhan pertama hingga lima, pesara itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan 12 tahun di sebuah rumah di Seremban 2 antara 6.30 hingga 8.30 pagi 3 dan 4 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa mengikut Seksyen 15B(a) AKSTKK 2017 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan kerana mengugut mangsa melakukan aktiviti bersifat seksual di lokasi sama kira-kira 6.30 pagi 4 Feb lalu.

Tertuduh merayu mahkamah menawarkan jaminan rendah kerana menghidap strok kecil, selain menanggung dua isteri dan dua anak serta menyesal atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menetapkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran serta mengambil kira kepentingan awam mengatasi tertuduh.

“Usia mangsa adalah 12 tahun dan perlu ambil kira kekerapan kes seksual tidak gagal dipertuduhkan. Dalam kes ini, tertuduh merupakan bapa saudara mangsa dan dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu,” katanya menurut Bernama.

Mengikut fakta kes, mangsa masih bersekolah dan tinggal bersama ibu saudara serta tertuduh kerana ibu mangsa menemani bapa kandungnya yang dirawat di Hospital Serdang akibat masalah jantung.

Dalam perkembangan lain, seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap cucu lelaki tiri berusia enam tahun tiga bulan di sebuah rumah pada waktu pagi bulan lalu hingga bulan ini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 14 (b) AKSTKK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi dan mangsa hingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen ditetapkan 19 Mac ini.

Tiada ulasan: