"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut selepas bom yang dilempar kepada kekasihnya melantun

Agensi

Bangkok: Bengang hubungan cinta tak kesampaian, lelaki nekad melempar bom tangan ke rumah bekas teman wanitanya, sebelum dia maut apabila bahan letupan itu melantun semula lalu meletup di tangannya.

Portal NDTV melaporkan, dalam kejadian di daerah Tha Chana, wilayah Surat Thani, lelaki dikenali sebagai Surapong Thongnak, 36, dilaporkan mengamuk selepas permintaan untuk kembali menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Kanonraphat Saowakhon, 28, ditolak.

Surapong terlebih dahulu menyerbu masuk ke rumah wanita itu dan cuba menikamnya menggunakan gunting dalam keadaan beremosi sebelum melarikan diri ke keretanya. Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan membawa sebutir bom tangan jenis M26.

Bagaimanapun, ketika bom itu dilempar ke arah rumah, ia terkena tiang konkrit lalu memantul semula. Surapong yang panik cuba mengambil semula bom itu, namun ia meletup sebaik digenggam, menyebabkan dia maut serta-merta di lokasi kejadian.

Empat individu termasuk Kanonraphat turut cedera akibat serpihan letupan, namun hanya seorang warga emas dikenali sebagai Samart Janyang, 68, dirawat di hospital akibat kecederaan lebih serius. Mangsa lain dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Ketua Penyiasat, Mejar Chinnakrit Sawatdiwong berkata, pihaknya yang tiba di lokasi menemukan mayat Surapong dalam keadaan tertiarap berlumuran darah dengan serpihan daging dan logam bertaburan di sekitar halaman rumah.

"Bom jenis M26 itu meletup sebaik mangsa cuba mengambilnya semula selepas ia memantul dari tiang. Kami percaya kejadian ini berpunca daripada dendam dan kecewa kerana hubungan mereka yang singkat tidak berakhir seperti diharapkan," katanya.

Kanonraphat sempat menyelamatkan diri dengan berlari masuk ke dalam rumah sejurus selepas bom dilemparkan.

Polis turut menemukan kira-kira setengah kilogram dadah jenis methamphetamine di dalam kereta milik Surapong, dipercayai turut menyumbang kepada tindakannya yang tidak waras.

Ibunya, Ranjuan Timdee, 58, turut terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam kejadian itu.

"Mereka baru kenal dua bulan. Saya tak sangka dia akan bertindak sejauh ini hanya kerana cinta ditolak," katanya dalam nada pilu.

Kejadian ini sekali lagi membuka mata mengenai bahaya keganasan terhadap pasangan selepas perpisahan, dengan statistik menunjukkan kebanyakan kes pembunuhan rumah tangga berlaku selepas hubungan ditamatkan.

Tiada ulasan: