Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

TANGKAP layar video tular seorang lelaki (kanan sekali, wajah kelihatan) sedaya upaya cuba menyedarkan mangsa kemalangan. FOTO tangkap layar video tular
Alor Gajah: Suasana pilu menyelubungi tempat kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Kampung Sungai Petai, di sini, petang tadi, apabila seorang lelaki sedaya upaya cuba menyedarkan mangsa kemalangan yang maut tercampak di dalam longkang.
"Bang, sebut Allah... abang kuat bang, Lailahaillallah. Ingat bang, bangun bang," kedengaran jeritannya menerusi video tular berdurasi 28 saat yang memaparkan detik pilu dalam nahas membabitkan kereta Perodua Kembara dan bas henti-henti itu.
Difahamkan, video itu dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum pasukan penyelamat tiba dan tular di media sosial.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.21 petang.
Katanya, seramai enam anggota dan sebuah jentera digegaskan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Seorang lelaki berusia 22 tahun cedera, manakala seorang lagi mangsa berusia 23 tahun, tercampak di dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa yang cedera dibawa ke hospital, sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Pemandu bas berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan