Salah sambar kasut emas keempat, pemain Afrika dominasi Liga Eropah
AFP

Pemain Liverpool dari Mesir Mohamed Salah. - Foto AFP
Paris: Mohamed Salah menutup musim cemerlangnya bersama Liverpool dengan satu lagi gol penting yang menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan di Anfield.
Bintang Mesir itu menyumbat gol ke-29 musim ini dalam keputusan seri 1-1 menentang Crystal Palace sekali gus mengesahkan anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali keempat, menyamai rekod.
Selain menjadi penjaring terbanyak, Salah turut merekodkan 18 bantuan gol dan membawa pulang dua anugerah berprestij selain turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik oleh penulis sukan dan Persatuan Pemain Profesional.
Pemain Senegal, Ismaila Sarr, hampir memusnahkan perayaan Liverpool apabila membuka jaringan seawal minit ke-9 untuk Palace, tetapi jaringan lewat Salah memastikan skuad Arne Slot menamatkan musim dengan keputusan positif.
Di Bournemouth, Antoine Semenyo dari Ghana meledak dua gol untuk menewaskan Leicester 2-0 termasuk satu rembatan padu dari luar kotak penalti.
Pemain muda Ivory Coast, Amad Diallo, turut mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol menerusi tandukan kemas hasil hantaran Bruno Fernandes dalam kemenangan 2-0 Manchester United ke atas Aston Villa.
Bintang West Ham, Mohammed Kudus, menutup tirai kemenangan 3-1 ke atas Ipswich dengan gol solo yang memukau, manakala Bryan Mbeumo dari Cameroon menjaringkan gol ke-20 musim ini untuk Brentford, tetapi sekadar seri 1-1 dengan Wolves.
Marshall Munetsi dari Zimbabwe menjadi wira Wolves apabila meranapkan impian Brentford ke pentas Eropah dengan rembatan deras dari jarak 20 ela ke penjuru gawang.
Di La Liga, tonggak remaja Ivory Coast Yan Diomande menyerlah bersama Leganes dengan satu bantuan gol dan satu jaringan ketika menewaskan Valladolid 3-0, namun tetap tidak mampu mengelak penyingkiran.
Sementara itu, Pape Gueye dari Senegal menjaringkan dua gol buat Villarreal dalam kemenangan 4-2 ke atas Sevilla, manakala Achraf Hakimi melengkapkan kemenangan 3-0 PSG ke atas Reims di final Piala Perancis menerusi jaringan kemas hasil hantaran Bradley Barcola.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan