Dua anggota tentera curi lembu untuk Aidiladha diberkas
Reza A Hamid
JASIN – Polis memberkas dua anggota tentera selepas dipercayai cuba mencuri lembu untuk dijual bagi memenuhi permintaan Hari Raya Aidiladha bulan depan di Simpang Bekoh, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, perbuatan jenayah kedua-dua suspek berusia 26 tahun disedari pemilik kandang lembu dan kambing terbabit, selepas dimaklumkan rakannya.
“Rakan pengadu memberitahu ternampak seorang lelaki masuk ke dalam kandang berkenaan yang mempunyai 10 ekor lembu serta 22 ekor kambing.
“Seorang lagi suspek pula dilihat sedang menunggu dalam kereta jenis Proton Persona,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, petang ini.
Menurutnya, beberapa penduduk kampung kemudian cuba menangkap kedua-dua suspek namun mereka berjaya melarikan diri.
“Suspek yang memandu kereta bagaimanapun terbabas dan melanggar penghadang sungai.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek akhirnya datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 2.30 petang semalam,” katanya.
Tambah Rusli, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu merupakan anggota tentera dan mengaku melakukan jenayah itu untuk menjual lembu berkenaan selepas mendapat pemintaan pada Hari Raya Aidiladha bulan depan.
“Kedua-dua suspek turut mengaku terlibat dalam kes kecurian seekor lembu di kawasan sama sebelum ini.
“Suspek telah direman selama sehari dan permohonan sambung reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Jasin esok,” katanya.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan