"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah kekal ketua pembangkang parlimen kata Haji Hadi

Shakira Buang

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti itu bersama Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di parlimen.

Katanya, keputusan itu dibuat secara bersama selepas mengambil kira pandangan ahli parlimen PAS serta rakan sekutu dalam PN.

“Yang pertama, ahli parlimen PAS dan PN… kita tak ambil pandangan PAS sahaja tetapi ahli parlimen PN, maka PAS membuat keputusan Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang.

“Itu satu gol,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Abdul Hadi turut berkata PN akan mengekalkan kepimpinan sedia ada dalam gabungan itu.

“Yang kedua kita kekalkan pengerusi PN,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang mendakwa satu pengumuman mengejutkan akan dibuat di Negeri Sembilan malam ini, melibatkan penyertaan beberapa tokoh besar ke dalam parti berkenaan.

“Dan malam ini di Negeri Sembilan akan diumumkan beberapa tokoh besar akan masuk parti kita.

"Ini keputusan yang mengejutkan dan kita akan buat perubahan insya-Allah akan menyelamatkan negara kita,” katanya.

Pemilik tanah robohkan ‘Flat Rohingya’ di Hulu Langat

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
Kerja-kerja meroboh sturuktur bangunan berhampiran flat empat tingkat di Sungai Tekali, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!Majalah Kosmo
HULU LANGAT – Struktur bangunan yang sebelum ini menjadi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, di sini, mula dirobohkan apabila pemilik tanah mengambil tindakan merobohkan binaan yang didirikan di kawasan berkenaan, hari ini.

Seorang bekas penghuni yang ditemui memaklumkan kerja-kerja perobohan bermula kira-kira pukul 9 pagi dan melibatkan beberapa struktur yang telah dikosongkan sebelum ini.

“Tadi lebih kurang pukul 9 pagi sudah mula buat kerja-kerja roboh,” katanya kepada pemberita.

Tinjauan Kosmo! pada pukul 4 petang mendapati kerja-kerja perobohan sedang giat dijalankan di bahagian belakang bangunan empat tingkat yang sebelum ini didiami warga asing.

Keadaan di lokasi juga didapati lengang apabila bangunan tersebut telah dikosongkan sepenuhnya tanpa kelibat penghuni.

Difahamkan, bangunan empat tingkat yang menjadi perhatian ramai sebelum ini turut dikosongkan sebagai persediaan sebelum proses perobohan dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz menerusi hantaran di Facebook mengesahkan kerja-kerja perobohan sedang dilaksanakan dibahagian belakang flat berkenaan.

Menurut beliau, proses tersebut kini sedang berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Kerja perobohan struktur di kawasan tersebut sedang dilaksanakan oleh pemilik tanah sendiri dan kini berada dalam proses pelaksanaan.

“Ia termasuk bangunan seakan-akan flat empat tingkat itu, namun pemilik tanah memulakan kerja perobohan di bahagian belakang terlebih dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, penempatan berkenaan menjadi tumpuan selepas didakwa dihuni ramai warga asing dan dibina tanpa kelulusan di atas sebahagian tanah persendirian serta kawasan rizab kerajaan, sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Hamzah lancar Parti Wawasan Negara

Anne Muhammad

Pelancaran ini empat bulan selepas beliau dipecat daripada Bersatu susulan krisis dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
 
Hamzah Zainudin
Bekas ketua pembangkang, Hamzah Zainudin, lancar parti baharu hari ini.
PETALING JAYA: Bekas ketua pembangkang, Hamzah Zainudin melancarkan parti baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan), pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.

Pelancaran ini empat bulan selepas Ahli Parlimen Larut berkenaan dipecat daripada Bersatu susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

Konvensyen dihadiri beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang dikaitkan dengan Hamzah, seperti Ronald Kiandee and Mas Ermieyati Samsudin; serta kepimpinan tertinggi PAS seperti Presiden Hadi Awang.

“Parti yang saya nak maklumkan ini nama ini diberikan oleh ‘ayahanda’ iaitu ‘ayah cik’ kita (Hadi),” katanya.

Lambang Parti Wawasan Negara yang dilancarkan Hamzah Zainudin.
Acara turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga naib presiden PAS, dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Hamzah mengumumkan pihaknya mahu terlibat dengan PN.

“Saya akan bersama-sama dengan PN,” katanya.

Hamzah berkata parti ini akan melakukan mesyuarat agung tahunan yang pertama pada minggu depan.

Penganjur mengumumkan seramai 20,000 peserta menghadiri konvensyen ini.

Mayat lelaki ditemukan terapung di bawah jambatan

Bernama

CHUKAI: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Air Puteh di bawah jambatan Seberang Tayor, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat berkenaan oleh orang awam pada 6 petang.

Beliau berkata hasil siasatan dan pengecaman awal mendapati mangsa adalah penduduk tempatan.

"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mayat berkenaan mendapati tiada kesan serta unsur perbuatan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA

Kedah: Lelaki Rohingya cuba lari, rupanya ada 34 saman tertunggak

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
PEGAWAI JPJ Kedah melihat aksi lelaki Rohingya lari ke dalam sawah meninggalkan motosikalnya sebelum akhirnya ditahan dan didapati memiliki 34 saman. FOTO ihsan JPJ
PEGAWAI JPJ Kedah melihat aksi lelaki Rohingya lari ke dalam sawah meninggalkan motosikalnya sebelum akhirnya ditahan dan didapati memiliki 34 saman. FOTO ihsan JPJ
Pendang: Seorang lelaki etnik Rohingya yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi penguatkuasaan di Guar Kepayang, petang semalam akhirnya berjaya ditahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, lelaki terbabit dipercayai meninggalkan motosikalnya sebelum cuba meloloskan diri melalui kawasan sawah padi untuk mengelak pemeriksaan.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya menahan penunggang motosikal warga asing terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati penunggang motosikal terbabit mempunyai 34 saman aktif yang masih belum dijelaskan termasuk tidak mempunyai lesen memandu.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, susulan kesalahan yang dikesan, motosikal terbabit disita JPJ untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara tegas terhadap warga asing yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang gagal mematuhi dan menghormati undang-undang jalan raya negara ini.

50 ahli PKR Parit Buntar isytihar keluar parti, sertai Bersama

KOSMO!
Seramai 50 ahli PKR Parit Buntar isytihar keluar parti untuk sertai Parti Bersama. Foto oleh WAT KAMAL ABAS
PARIT BUNTAR – Seramai 50 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Parit Buntar mengisytiharkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan serta kecewa terhadap kepimpinan dan hala tuju parti yang disifatkan semakin tidak jelas.

Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parit Buntar, Akhbar Ridzuan Jamaludin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian mendalam terhadap perkembangan semasa parti, termasuk isu berkaitan Pemilihan PKR 2025 yang didakwa menimbulkan pelbagai persoalan berhubung ketelusan, keadilan serta intergriti proses demokrasi dalaman.

Beliau mendakwa, keadaan itu telah menghakis keyakinan akar umbi terhadap kepimpinan parti, sekali gus menyebabkan ramai anggota serta aktivis yang sebelum ini setia bersama PKR mula mempersoalkan semula komitmen parti terhadap agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan sejak sekian lama.

“Keadaan ini turut menyumbang kepada kehilangan ramai pemimpin dan aktivis berpengaruh yang sebelum ini menjadi aset penting parti, sehingga PKR kini dilihat berdepan cabaran besar dari sudut kepimpinan dan hala tuju masa depannya,” katanya pada sidang media di Hotel Damai, Parit Buntar hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Keadilan Negeri Perak, Farah Amira Jamaludin berkata, kira-kira 20 anggota Jawatankuasa Wanita telah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan menyertai Parti Bersama. – KOSMO! ONLINE

Menjelang PRU16: Penganalisis ramal PAS bergabung dengan Hamzah, parti Muslim kecil

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Dengan Umno menutup pintu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama PAS, seorang penganalisis meramalkan parti itu akan beralih kepada kumpulan Hamzah Zainudin dan parti kecil berasaskan Muslim untuk menyelamatkan agenda ‘penyatuan ummah’.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, walaupun PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu, komponen Perikatan Nasional (PN), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) kemungkinan besar kekal bersama parti diketuai Muhyiddin Yassin itu.

PAS pula dijangka menjalin hubungan dengan gerakan Reset pimpinan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin sebagai persediaan menghadapi PRU16.

“PAS tidak mempunyai pilihan lain selain bersama Reset. Parti Melayu kecil lain seperti Berjasa, Putra, dan Pejuang boleh menyertai PAS memandangkan naratif Melayu-Muslim parti berkenaan selaras perjuangan mereka,” katanya kepada FMT.

PAS bertanding pada PRU 2018 sebagai sebahagian Gagasan Sejahtera, pakatan tidak rasmi berasaskan Muslim yang turut dianggotai Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Berjasa, Putra, dan Pejuang sedia ada menjadi sebahagian pakatan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dimulakan Muhyiddin tahun lalu.

Cabaran terbesar PAS

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, cabaran terbesar PAS ketika ini adalah menyelesaikan kedudukannya dalam PN selepas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

“Perkembangan terbaru menunjukkan PAS dan Bersatu kini sedang bersaing mengenai siapa yang memegang keabsahan politik ke atas jenama PN serta hala tuju masa depannya.

“Nampaknya, Bersatu enggan beralah atau melepaskan pengaruhnya dalam pakatan itu. Jadi, isu ini berkemungkinan besar perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum PAS boleh bergerak ke arah membentuk pakatan politik baharu.”

Dalam masa terdekat, beliau berkata PAS merasakan lebih selesa bekerjasama dengan kumpulan bekas pemimpin Bersatu bawah Hamzah, berbanding terburu-buru membentuk pakatan besar baharu.

Katanya, hubungan antara PAS dan kem Hamzah itu kemudian boleh berfungsi sebagai asas kepada pembentukan blok politik Melayu-Muslim yang lebih teratur.

“Hanya apabila landskap ‘pasca Bersatu’ menjadi lebih jelas, barulah PAS akan berada pada kedudukan menilai pilihan kerjasama lebih luas,” katanya.

Hisommudin percaya parti seperti Pejuang, Berjasa, dan Putra berkemungkinan besar tidak bekerjasama dengan PAS buat masa ini memandangkan mereka bukan penggerak utama dalam penubuhan IPR.

“Hubungan organisasi dan politiknya dengan kumpulan ini masih belum cukup kuat untuk membolehkan pembentukan segera sebuah pakatan baharu.”

Isnin lalu PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu dan menyatakan ia akan meneroka jajaran baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang demi ‘penyatuan ummah’.

Perkembangan itu mencetuskan spekulasi kemungkinan PAS dan Umno menghidupkan semula pakatan mereka yang telah terkubur, namun Presiden Zahid Hamidi berkata partinya tidak mempunyai niat sedemikian dengan Umno sudah ‘menutup pintu’ mengenainya.

PAS-Bersatu pecah untungkan BN?

Mazlan berkata, perpecahan PAS dan Bersatu memberi kelebihan kepada BN pada PRU16 memandangkan pergeseran keduanya-duanya akan memecahkan pengundi Melayu yang menyokong pembangkang.

“BN akan lebih mampu berdepan cabaran PAS dalam situasi sebegini,” katanya, sambil merujuk pencapaian PAS yang meraih 43 kerusi pada PRU 2022 ketika bertanding bersama Bersatu, berbanding Umno yang hanya menang 26 kerusi.

Namun, Hisommudin berkata masih terlalu awal menilai bagaimana prestasi solo BN apabila berdepan pakatan diterajui PAS pada PRU16, mengambil kira banyak lagi pemboleh ubah utama.

Katanya, ini termasuk jajaran politik baharu PAS, kekuatan organisasinya, serta kesediaan pengundi Melayu menerima konfigurasi politik baharu.

Guru dikait salah laku seksual ditempatkan di PPD sementara siasatan

Mohd Roji Kawi

KUCHING: Guru yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri ini kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga proses siasatan selesai.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan tindakan itu diambil berikutan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan itu yang tular di media sosial.

JPN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

Menurut kenyataan itu lagi, Unit Integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jemaah Nazir turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek yang berkaitan dengan kes berkenaan.

JPN Sarawak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual dan akan menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

JPN Sarawak tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual.

“Sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan tegas,” kata kenyataan itu.

Sedihnya, nak jumpa MB tetapi kena halau

Harapandaily
Tular di media sosial kisah mengenai seorang remaja di Kluang, Johor ingin bertemu dengan Menteri Besar tetapi berakhir dengan perasaan kecewa.

Menerusi catatan di TikTok atas nama akaun kamiaku.muhammad, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi disifatkan sebagai pemimpin yang bersikap sombong kerana tidak menghargai usaha remaja berkenaan mengharumkan nama negara.

“Kesempatan yang dicari dan ditunggu-tunggu sekadar ingin mendapatkan tandatangan Menteri Besarnya pada surat tawaran beliau yang telah terpilih sebagai delegasi ke Model Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewakili Malaysia berakhir hampa,” menurut catatan itu.

Misteri beratus-ratus minyak masak paket terapung di sungai

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan seorang lelaki dan anaknya mengutip minyak masak paket yang terapung di sungai. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan beratus-ratus minyak masak paket terapung dan terbiar secara misteri di sebatang sungai di Indonesia, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan seorang lelaki dan anaknya mengutip sejumlah minyak masak paket ke dalam bot mereka. 

Jumlah minyak masak paket yang dikumpulkan terlalu banyak sehingga memenuhi bot dinaiki mereka. 

Masih belum diketahui bagaimana minyak masak tersebut berada di sungai. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 161,800 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Boleh buat stok untuk setahun,” kata seorang netizen. 

“Rezeki, minyak mahal sekarang,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Wanita bertelekung, lelaki dalam almari dicekup khalwat

AMRAN ALI
PASANGAN pelajar IPT swasta di cekup JAIM ketika serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka semalam.- Foto JAIM
MELAKA – Sepasang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dicekup berkhalwat dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini semalam, dengan penuntut lelaki terbabit ditemui bersembunyi di dalam almari.

Pasangan berusia 21 tahun itu memberi alasan berada di rumah berkenaan untuk menyiapkan tugasan universiti bersama ketika diperiksa sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 9 pagi.

Serbuan dilakukan dengan kerjasama polis selepas menerima aduan daripada orang awam.

Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit bersembunyi di dalam almari, manakala kenalan wanitanya yang merupakan penyewa rumah berkenaan ditemui berada di dalam rumah dengan memakai telekung.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati kedua-dua mereka merupakan pelajar IPT swasta, masih bujang dan tidak mempunyai hubungan yang sah sebagai suami isteri.

“Pasangan itu memberi alasan berada di rumah berkenaan bagi menyiapkan tugasan universiti bersama.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati mereka berdua-duaan di dalam rumah tersebut dalam keadaan yang menimbulkan syak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Md. Azhan berkata, susulan itu kedua-dua mereka dibawa ke Pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala sosial dalam kalangan masyarakat Islam.

“Operasi seperti ini bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar sentiasa mematuhi tuntutan agama dan mengelakkan perbuatan yang boleh membawa kepada kemungkaran,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Lelaki Rohingya didakwa rompak rumah Razif Sidek

Faisal Asyraf

Tertuduh yang berusia 27 tahun itu didakwa melakukan rompakan di rumah bekas pemain badminton negara berkenaan di Taman Tun Dr Ismail, bulan lalu.
Razif Sidek
Bekas pemain badminton negara, Razif Sidek, mencipta kejayaan besar dalam acara beregu lelaki bersama adiknya, Jalani, apabila mereka membentuk antara gandingan paling berjaya negara pada era 1980-an dan awal 1990-an. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang warga Rohingya berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun selepas didakwa melakukan rompakan bersenjata di rumah bekas pemain badminton negara, Razif Sidek, bulan lalu.

Fawyas Yasin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Shakirah Mohtarudin hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan bersenjatakan sebilah pisau di rumah Razif, 64, di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail, kira-kira 12.20 tengah hari pada 19 Mei.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha membantah jaminan atas alasan kesalahan itu serius, selain memaklumkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik Fawyas sudah tamat tempoh.

Beliau turut berhujah ada risiko tertuduh mengganggu saksi.

Peguam Mansheel Kaur memohon jaminan diberikan dengan berkata Fawyas menyara isterinya yang tidak bekerja serta anak mereka berusia 10 bulan menggunakan pendapatan harian sebanyak RM50.

Beliau berkata anak guamnya, yang menetap di Malaysia sejak 15 tahun lalu, sedang dalam proses memperbaharui kad UNHCR.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan jaminan dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.

Razif mencipta kejayaan besar dalam acara beregu lelaki bersama adiknya, Jalani, apabila mereka membentuk antara gandingan paling berjaya negara pada era 1980-an dan awal 1990-an.

Antara pencapaian utama dalam kariernya ialah memenangi pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Selepas bersara daripada badminton kompetitif, Razif terus terbabit dalam sukan itu menerusi peranan kejurulatihan dan pembangunan.

Polis tahan suspek bunuh teman lelaki bekas kekasih, rogol wanita

Kumaran Rajamoney

IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai membunuh teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita terbabit dalam kejadian di Jejawi, Perak Tengah, pada 10 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar, hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Perlis.

Menurut beliau, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selepas suspek menunjukkan lokasi senjata berkenaan yang dibuang ke dalam tong sampah di Bandar Kangar.

Beliau berkata, kejadian bermula apabila suspek bertemu bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak kira-kira jam 9 pagi pada 9 Jun lalu bagi membincangkan masalah hubungan mereka.

“Semasa perjumpaan itu, suspek telah bertindak mengugut dan merogol wanita berkenaan di dalam keretanya.

“Pada keesokan hari kira-kira jam 5 pagi, ketika suspek menghantar wanita terbabit ke keretanya, teman lelaki mangsa yang berusia 29 tahun datang untuk berjumpa suspek,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.

Mohd Alwi berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan memandu keretanya sebelum dikejar mangsa yang berjaya melanggar dan menghalang kenderaan suspek daripada meneruskan perjalanan.

Katanya, sebaik mangsa keluar dari kereta, suspek bertindak menyerang dan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau.

“Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kenderaan itu di Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerima maklumat mengenai kejadian tikaman itu kira-kira jam 5.49 pagi pada 10 Jun.

Mangsa yang dihantar ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman.

Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu dan konflik hubungan.

Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

PRN Johor 11 Julai, N Sembilan 1 Ogos

Zarrah Morden

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai tarikh pengundian untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor yang akan datang, manakala Negeri Sembilan pula menyusul pada 1 Ogos.

Bagi Johor, Pengerusi SPR Ramlan Harun mengumumkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon dan 7 Julai untuk pengundian awal, dengan pendaftaran undi pos dalam talian dibuka dari 5 Jun hingga 19 Jun atau 24 Jun, bergantung pada kategori permohonan.

Dia memberitahu sidang media di Putrajaya hari ini bahawa Negeri Sembilan akan mengadakan hari penamaan calonnya pada 18 Julai dan pengundi awal akan keluar mengundi pada 28 Julai.

Pengundi pos Negeri Sembilan boleh mendaftarkan diri bermula hari ini hingga 10 atau 15 Julai, katanya.

PAS mungkin ‘buka mata’ realiti perlunya pakatan Umno-PH

Nicholas Chung

Penganalisis Azmi Hassan berkata BN dan PH mungkin perlu mengakui saling memerlukan jika PAS catat kemajuan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan atau Melaka.

Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim mengetepikan sengketa untuk berganding bahu dengan Umno, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah bagi membentuk kerajaan persekutuan pada 2022.
PETALING JAYA: Umno dan Barisan Nasional mungkin perlu ‘membuka mata’ betapa mereka memerlukan sokongan Pakatan Harapan jika PAS mencatat kemajuan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang, menurut penganalisis.

Azmi Hassan dari akademi Nusantara berkata, Umno sudah sedia kukuh dan berpengaruh di Johor – di mana parti itu diasaskan – seterusnya memudahkan BN bertanding solo dalam PRN di situ.

Walaupun BN yakin mengatasi majoriti dua pertiga diraih pada 2022, Azmi memberi amaran bahawa Umno-BN tidak sekuat itu di negeri lain termasuk Pahang dan Perak yang turut dipimpin gabungan berkenaan.

“BN juga mungkin kuat di Melaka yang dijangka mengadakan PRN pada akhir tahun ini. Namun, dalam PRU akan datang (PRU16), serta PRN di Pahang, Perak atau negeri lain di mana BN tidak begitu kuat, ketika itu akan jelas betapa BN dan PH sebenarnya saling memerlukan.

“Lagipun mana tahu. Jika prestasi PAS melebihi jangkauan di Johor dan Negeri Sembilan, ini pasti membuka mata BN yang mereka perlu bekerjasama dengan PH pada PRU16,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, disebabkan inilah pakatan BN dan PH mungkin mampu bertahan untuk bertahun-tahun akan datang walaupun sering dilihat bertelagah.

Beberapa pemimpin PH dan BN bertegang urat selepas BN Johor mengumumkan akan bergerak solo pada PRN ke-16 yang dijangka diadakan Julai ini.

Ketua Umno Johor Onn Hafiz Ghazi malah berkata beliau lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dengan DAP.

BN dan PH juga bakal bergerak secara berasingan dalam PRN di Negeri Sembilan, manakala Pengerusi BN Zahid Hamidi turut membayangkan gabungan itu bergerak solo dalam PRU16 kelak.

Walaupun ini membangkitkan spekulasi bahawa Umno kembali bergabung dengan PAS – yang baru-baru ini memutuskan kerjasama dengan Bersatu – Zahid berkata Umno sudah ‘menutup buku’ terhadap kemungkinan itu.

Kerelaan bergabung jadi penentu

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs, berkata faktor penentu utama gabungan BN-PH adalah sejauh mana mereka rela membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya.

“Masing-masing boleh cuba meyakinkan pengundi masing-masing bahawa mereka adalah kawan atau lawan, tetapi akhirnya apa yang penting adalah untuk memenangi sebanyak mana kerusi terdaya, dan kemudian berunding untuk membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya.

“Apa yang penting adalah untuk memaksimumkan peluang kemenangan dalam PRU ini,” katanya.

BN dan PH mengetepikan persengketaan untuk berganding bahu dengan Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan beberapa yang lain bagi membentuk kerajaan persekutuan susulan Parlimen tergantung selepas PRU November 2022.

Hadi rasmi Konvensyen Reset, akan umum 'sesuatu'

Malaysiakini

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dijadualkan akan merasmikan Konvensyen Reset Malaysia yang akan berlangsung di Kelantan Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Reset  yang dipimpin Hamzah Zainudin dalam satu hantaran di Facebooknya.

Kemudian disahkan oleh Setiausaha Politik Abdul Hadi iaitu, Syahir Sulaiman juga melalui hantaran Facebook.

"Insya-Allah, Sabtu 13 Jun, bakal berlangsung dua peristiwa penting, pertama TGHH (Abdul Hadi) menerima undangan DSHZ (Hamzah), dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan," katanya Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Reset merupakan gerakan politik yang diasaskan bekas timbalan presiden Bersatu selepas dipecat daripada parti itu.

Semalam, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendedahkan PAS meletakkan syarat mahu Bersatu mencari jalan untuk berbaik semula dengan ahli-ahli parti itu yang dipecat parti itu demi Perikatan Nasional (PN).

Katanya, anggota majlis tertinggi PAS Annuar Musa menyampaikan perkara itu semasa pertemuan dengan Muhyiddin pada 4 Jun lalu, dan kemudiannya dalam surat daripada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 6 Jun.

“Antara perkara lain yang disentuh ialah keperluan untuk Bersatu berbaik dengan kumpulan Reset.

“Saya sebutkan kepada Annuar luka masih berdarah. Bukan mudah untuk Bersatu menerima kumpulan ini.

“Tetapi saya katakan time heals. Masa akan merawat luka. Berilah sedikit masa,” kata dalam satu kenyataan.

Umum ‘sesuatu’

Sementara itu, Syahir kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa Hadi akan mengumumkan sesuatu esok, tanpa mahu mengulas lanjut.

Katanya, pengumuman itu susulan pertemuan Hamzah dengan Hadi di Marang malam tadi.

Hadi dakwa Bersatu rakus kerusi

Bersatu rakus kerusi, PAS pilih istiqamah, kata Hadi
Malaysiakini 

PAS mendedahkan parti itu membuat keputusan untuk memberhentikan kerjasama ta‘awun siyasi dengan Bersatu demi beristiqamah atas prinsip dan matlamat perjuangan, kata presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Menurutnya beberapa punca perpecahan itu, termasuk dakwaan diperbodohkan Bersatu. Selain itu, Abdul Hadi berkata, kepimpinan Muhyiddin Yassin didapati mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi secara rakus sewaktu pilihan raya umum.

“Apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, bukan tujuan asalnya demi perpaduan umat tetapi ingin menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam tanpa mengira kedudukan Islam berkuasa dan mengira Melayu bumiputera yang menguasai.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi ruangan Minda Presiden PAS hari ini.

Di samping itu, Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.

Ahli PAS jadi buruh paksa

Ternyata katanya, apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli PAS yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri.

Malah, menurut presiden PAS itu, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh PAS telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.

Abdul Hadi juga menyentuh langkah yang tidak setia kawan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh PAS di Perlis sehingga menyaksikan menteri besarnya, Mohd Shukri Ramli dijatuhkan dan digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan perdana menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.

“Langkah oportunis pemimpinnya menganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip. mengisi jawatan berkenaan,” katanya.

Tambah Abdul Hadi, PAS menyelami keadaan yang salah dan cuba membuat pembetulan terhadap perlembagaan PN yang bersifat sangat lemah dan menegur perangai yang salah dalam mesyuarat melalui pertemuan khusus dan pertemuan peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri,” katanya lagi.

Indonesia dilanda salji, fenomena embun beku

KOSMO!
FENOMENA embun beku mula kelihatan di kawasan Gunung Bromo pada Isnin lalu.- Dok. Bams Tour Bromo via Detikcom
JAKARTA – Kawasan pelancongan tanah tinggi terkenal Indonesia, Gunung Bromo kembali memukau dunia apabila dilaporkan mengalami fenomena embun beku ataupun bersalji buat pertama kalinya pada tahun ini, lapor portal berita detikjatim.

Fenomena unik menyamai suasana musim sejuk itu dikesan menyelubungi beberapa kawasan di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) awal pagi Isnin lalu.

Menurut laporan tempatan, lapisan kristal ais yang memutih kelihatan menutupi kawasan berumput, dedaun pokok, sehinggalah ke hamparan luas lautan pasir di sekitar Bromo.

Fenomena tersebut berlaku berikutan suhu udara yang merosot sehingga di bawah 5 darjah Celsius pada waktu awal pagi, menyebabkan embun yang terbentuk sepanjang malam membeku lalu menghasilkan lapisan putih seakan salji. 

Kemunculan embun beku itu terus menarik perhatian pelancong yang sudah berada di lokasi tersebut sejak sebelum subuh lagi.

Ramai pengunjung mengambil peluang memanfaatkan detik jarang berlaku itu untuk bergambar di samping menikmati udara sejuk yang jarang ditemui di negara beriklim tropika seperti Indonesia. – AGENSI

Lelaki maut disyaki terjatuh dari tingkat 26 kondominium

Juwan Riduan
Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium, di Jalan Bundusan, Penampang, hari ini. – Foto: PDRM
PENAMPANG: Seorang lelaki ditemukan maut berhampiran lobi kondominium di Jalan Bundusan, di sini selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan berkenaan, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun ditemukan terbaring di atas jalan dalam keadaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 26 kondominium berkenaan.

“Pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Kami juga meminta orang ramai menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga dan waris mangsa,” katanya lagi.

Lelaki fitnah Tok Batin sorok Jaslinda diberkas polis

KOSMO!

TAPAH – Lelaki yang tular di media sosial kerana didakwa memfitnah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh pada pukul 1 tengah hari.

“Setakat ini, kita telah menerima 11 laporan polis berhubung kandungan berunsur fitnah terhadap tok batin yang dimuat naik di media sosial.

“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat di mahkamah esok, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan bagi kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular di media sosial TikTok dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi, 63, ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum dia ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis pada Selasa lalu bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.

Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.

Dia dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal. – KOSMO! ONLINEBerita hiburan

Umno sedang gali kubur untuk kedua kalinya - BORHAN AHMAD

PANDANGAN Oleh NORMAN RADZUAN

Seorang rakan dari Umno lewat malam tadi menghubungi saya untuk berjumpa. Katanya, “Aku ada terbaca tulisan kau, aku nak beritahu sesuatu!”

Saya memenuhi jemputan kawan lama dari zaman belajar lagi walaupun keletihan. Hebatnya persahabatan kami walaupun sejak 1998 saya memilih untuk bersama perjuangan DS Anwar, kami tetap berkawan seperti dahulu.

Orang yang bijak, tahu membezakan erti kawan dan perbezaan politik diketepikan.

Kawan saya ini ada sebab untuk dia terus bersama Umno kerana dia seorang kontraktor. Tapi hatinya jauh lebih putih dari mereka yang berkopiah putih.

Keluhannya membuat saya hiba…

“Aku nak beritahu, sebenarnya ramai rakan aku dari Umno tidak bersetuju untuk berpisah dengan PH apatah lagi untuk bersama Pas.

“Kami selesa walaupun PM bukan presiden kami. Kami akui orang PH adalah golongan intelektual yang ‘ngam’ atau enjoy untuk berborak.

“Sebagai orang berniaga dan bekas pelajar ekonomi… mahu tak mahu aku dengan kawan-kawan kena terima Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang hebat… kami akui there is no denying Anwar political skills and influence.”

“Kelmarin aku dan kawan-kawan dari Umno berborak, penat la nak berkawan dengan Pas nanti. Boleh hancur balik ekonomi.

“Kembali balik ke politik perkauman dan agama ektrimis. Kami sebenarnya menyampah duduk sekali dengan orang Pas… pemikiran mereka memang buat kau rasa macam rugi belajar kat universiti…”

Itu antara perbualan santai malam tadi.

UMNO TEAM B

Baiklah, saya secara peribadi terkejut, walaupun tahu ia bukan kemahuan Zahid Hamidi, apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor. Dia terpaksa hadapi situasi pimpinan Umno di dalam team B yang tidak mahu move on.

Sebab itu saya tidak mengkritik Zahid Hamidi atau Umno keseluruhannya. Sukar untuk menulis apa sebenar yang berlaku tapi saya yakin suatu hari nanti andaikata Anwar tewas ketika melawan kuasa kapitalis ini…pasti akan berlaku pada jenerasi mendatang, mereka pasti mencari kebenaran atas apa yang berlaku pada hari ini.

Bila anak-anak muda sudah celik, semakin ramai yang bijak (critical thinking) bahawa negara yang kaya ini tidak boleh dirompak untuk dinikmati golongan Mahakaya… Malaysia akan terus terbilang.

Tanya kepada saya… kesedihan apa yang bakal berlaku, bukan tentang diri saya. Diri saya tidak penting tetapi yang saya kasihan melihat seorang insan yang berusia hampir 80 tahun memperhambakan dirinya untuk rakyat sejak diusia awal 20an lagi.

Dipenjara, dipukul, dibogelkan, diaibkan sebegitu rupa tapi walaupun dia jatuh, dia bangun semula, dia lawan… seperti katanya, “Kamu aibkan aku saban hari, aku maafkan… tapi kamu curi harta rakyat aku cari sampai dapat!”

APA SALAH ANWAR?

Apa salah Anwar? Dia bukan mencuri harta rakyat, malah gaji tidak ambil. Anak-anaknya tidak hidup kaya raya seperti anak perdana menteri lain. Hidupnya dan keluarga sungguh sederhana.

Dia bekerja tanpa bercuti, tanpa mencuri harta rakyat… semata-mata dengan sedikit usia dan kuasa yang tinggal, dia dapat melakukan sesuatu untuk negara.

Salahnya dia cuba amalkan prinsip Islam, kekayaan orang kaya mestilah diagihkan (sebagaimana melalui zakat) sebahagiannya untuk fakir miskin.

Dia cuba lawan rasuah di kalangan kapitalis-kapital yang mengawal politik negara.

Tapi kejamnya dunia ini. Golongan Mahakaya menggunakan kekayaan mereka menghulurkan dana kepada para NGO untuk menghasut orang miskin memerangi Anwar.

Kenapa Anwar diperangi? Sebab mereka tidak lagi mampu merompak harta rakyat, lebih dari itu bimbang dipenjarakan seperti para perasuah lain.

KASIHNYA ANWAR KEPADA UMNO

Yang paling saya rasa sedih, bila Anwar menjadi PM, kasihnya kepada Umno tidak pernah padam. Selepas menyelamatkan Umno dari diharamkan oleh Mahathir dan Muhyiddin, Anwar terus memberi peluang kepada Umno untuk bangkit semula.

Anwar berikan kementerian penting kepada Umno untuk menjaga hak-hak orang Melayu. Kementerian Luar Bandar, Mara, Miti, Pertahanan diberikan kepada Umno untuk pulihkan keyakinan orang Melayu.

Anwar bila berkawan dia tidak akan khianati kawannya. Malah dia begitu percayakan kawan-kawan tanpa ada syak wasangka.

Dia dikhianati Mahathir, dikhianati Hadi Awang, dikhianati Muhyiddin, Anwar tidak pernah serik. Bagi Anwar, rakannya adalah sepertinya, jujur dalam persahabatan.

Anwar bekerja keras untuk selamatkan ekonomi negara. Begitu banyak pelaburan hingga berbillion di bawa ke negeri Johor, tapi MB Johor khianati perpaduan yang dihulurkan Anwar.

Sayang, Umno mengambil jalan singkat untuk khianati keikhlasan yang diberikan. Sepatutnya Umno boleh bangkit semula, tiba-tiba Umno ambil jalan pintas untuk menumpang populariti Pas.

Sedangkan jalan pintas inilah yang telah banyak parti-parti sebelum ini terkorban seperti S46, Pakatan Rakyat, Umno (Muafakat Nasional) dan terbaru Bersatu.

Jika saya pernah meramalkan lima tahun dulu, Bersatu bakal dikhianati, percayalah 3-4 tahun mendatang Umno sekali lagi bakal dikhianati.

Kenapa? Kerana kejayaan Umno nanti bukan kerana hebatnya Umno tetapi hanya menumpang populariti Pas. Mana mungkin parti yang menguasai 73 MP tunduk kepada 30 MP.

Atas kertas seolah-olah dilihat Umno berikan nyawa kepada Pas tetapi tanpa Umno sedari, mereka seperti parti-parti lain yang pernah dikhianati Pas, kerjasama dengan Pas hanya menguntungkan atau terus memberikan kekuatan kepada Pas.

Pastinya nasib Umno akan ditinggalkan kerana Umno tidak membina kekuatan sendiri tetapi hanya sekadar penumpang. Ketika itu nanti, begitu mudah Pas mengkhianati Umno.

Umno akan kembali melawan Pas? Mana mungkin Umno mampu melawan Pas ketika itu. Umno sendiri dilihat sebagai parti yang anti bangsa lain, khianat dalam persahabatan yang membuatkan rakyat sangat curiga untuk menerima kembali Umno.

Hasil perkahwinan Umno dan Pas nanti, Melayu luar bandar dimiliki Pas, Melayu bandar dimiliki PKR, Cina dan India bersama DAP.

Pendek kata orang Melayu menolak Umno, apatah lagi pengundi bukan Melayu yang tidak lagi percaya apabila Umno dilihat bersama Pas sebuah parti ekstrim yang anti dengan bangsa Cina berdasarkan kepada kempen politik mereka.

Umno akan kehilangan segala galanya dan sebagai penganalisis politik saya berpandangan Umno sedang menggali kuburnya sendiri buat kedua kali.

Berang kena hon, lelaki tetak penunggang motosikal di Shah Alam

Sinar Harian
Berang akibat dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menetak seorang penunggang lain menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada Khamis. Foto Tular
Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur. - Gambar/ Media sosial
SHAH ALAM: Berang akibat dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menetak seorang penunggang menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 8.19 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 45 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

"Semasa melalui laluan motosikal di Lebuh Raya Persekutuan Seksyen 13, mangsa telah membunyikan hon terhadap seorang penunggang motosikal yang dipercayai menghalang laluannya.

"Bagaimanapun, suspek lelaki tempatan berusia 43 tahun itu tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membunyikan hon itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sarudin berkata, suspek kemudian bertindak memberhentikan motosikalnya di tepi jalan sebelum menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Suspek kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian

Pasangan skandal didenda RM9,500, menangis minta maaf pada isteri

AMRAN ALI
KEDUA-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan persetubuhan haram di Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!
MELAKA – Seorang wanita menangis dan memohon maaf kepada isteri skandal lelakinya selepas mengaku bersalah melakukan percubaan persetubuhan haram ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Tertuduh yang berusia 35 tahun bersama pasangan lelakinya berusia 24 tahun, masing-masing didenda RM4,500 dan RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Abu Bakar Daud.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Batu Berendam kira-kira pukul 2 pagi antara 1 hingga 30 Jun lalu.

Terdahulu, wanita itu dalam rayuannya memohon maaf kepada isteri pasangan skandalnya yang berusia 25 tahun atas perlakuan itu selain merayu agar tidak dipenjarakan.

“Saya mohon maaf atas perlakuan sebelum ini. Saya menyesal dan tidak lagi berhubung dengannya. Saya mohon hukuman tidak dipenjarakan kerana mempunyai dua anak dan masih bersuami selain sudah menyesali perbuatan ini,” katanya dalam keadaan menangis.

Sementara itu, lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan turut merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana perlu menanggung dua anak yang masih kecil serta isterinya yang berniaga nasi lemak di tepi jalan.

Ketua Pendakwa Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam hujahnya memohon hukuman setimpal dikenakan dan turut menyatakan isteri tertuduh lelaki turut disabitkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas kesalahan menyimpan dan menyebarkan video aib pasangan terbabit pada Isnin lalu. Tertuduh lelaki juga pernah didakwa atas kesalahan bersubahat dalam kes hamil luar nikah. – KOSMO! ONLINE

Iran ugut hentikan perlawanan Piala Dunia

Reuters
PENYOKONG dan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Amerika Syarikat serta bendera Iran sebelum revolusi. FOTO AFP
PENYOKONG dan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Amerika Syarikat serta bendera Iran sebelum revolusi. FOTO AFP
Tehran: Iran mengancam untuk menghentikan perlawanan Piala Dunia 2026 sekiranya terdapat bendera tidak rasmi atau laungan yang disifatkan menyasarkan skuad kebangsaan negara itu ketika perlawanan berlangsung.

Menurut laporan media Iran yang memetik Menteri Sukan negara itu, Ahmad Donyamali, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjelang kempen Piala Dunia yang bermula minggu ini.

"Kami sudah memaklumkan kepada FIFA bahawa jika terdapat bendera tidak rasmi dibawa masuk atau slogan menentang pasukan kebangsaan dilaungkan di stadium ketika Iran beraksi, pengurus pasukan akan bertanggungjawab menghentikan perlawanan," katanya.

Iran akan memulakan saingan Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 16 Jun sebelum berdepan Belgium pada 22 Jun dan Mesir di Seattle lima hari kemudian.

Menurut Donyamali, pihaknya menerima jaminan bahawa tiada insiden yang boleh mengganggu perlawanan menentang Mesir.

Kenyataan itu hadir selepas pasukan kebangsaan Iran terus menerima kritikan daripada sebahagian pihak yang mempersoalkan penyertaan mereka di pentas Piala Dunia.

Pada April lalu, sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar Kongres FIFA di Vancouver bagi menggesa Iran disingkirkan daripada kejohanan itu dengan mendakwa pasukan berkenaan mewakili kepentingan kerajaan dan bukannya rakyat Iran.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bolasepak Iran sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan berhubung pengagihan tiket apabila mendakwa kuota tiket penyokong negara itu ditarik balik beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

Situasi berkenaan menyebabkan ramai penyokong yang sudah merancang perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada berisiko tidak dapat menyaksikan aksi pasukan mereka secara langsung.

Skuad Iran yang kini menjalani latihan di Tijuana, Mexico bagaimanapun dibenarkan memasuki AS sehari sebelum setiap perlawanan berlangsung.

Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada dijangka menjadi antara kejohanan paling mencabar dari sudut pengurusan dan keselamatan berikutan beberapa isu geopolitik yang turut membayangi temasya berkenaan.

Siapa calon teman sejati PAS selepas Bersatu?

Amin Ishak

PAS berdepan persoalan besar tentang siapa rakan politik paling sesuai selepas putus kerjasama politik dengan Bersatu.

Lagu bertema persahabatan selalunya berbicara tentang setia kawan yang tulus iaitu sahabat hadir ketika susah, menghulur tangan saat lemah dan tidak pergi dalam apa jua keadaan sekali pun.

Seperti contoh Dalam lagu ‘Teman Sejati’ nyanyian kumpulan Brothers, persahabatan digambarkan sebagai ikatan lahir daripada keikhlasan dan kesetiaan.

Namun dalam politik, makna ‘teman’ jarang seindah lirik lagu. Persahabatan politik tidak hanya dibina atas kesetiaan tetapi juga atas pengiraan kuasa, kerusi, pengaruh dan peluang untuk terus hidup.

Hari ini lawan boleh menjadi kawan, esok kawan boleh menjadi beban dan apabila kepentingan berubah, lagu persahabatan yang merdu boleh bertukar menjadi irama perpisahan.

Itulah dilema PAS sejak ditubuhkan pada 1951. Parti itu terus mencari teman politik yang dapat membawanya lebih jauh dalam medan kuasa, tetapi sejarah menunjukkan tiada persahabatan politiknya benar-benar kekal.

PAS bersama Umno, MCA dan MIC pernah menjadi pengasas bersama Barisan Nasional (BN) pada 1974 sebelum berpisah tiga tahun kemudian. Pada 1989, PAS bekerjasama dengan Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah, yang hanya bertahan sehingga 1996.

Krisis politik pasca pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno dan Kabinet pada 1998 pula membawa kepada penubuhan Barisan Alternatif. Ketika itu PAS buat kali pertama bekerjasama dengan DAP dalam satu gabungan pembangkang yang lebih tersusun. Namun kerjasama itu juga tidak kekal lama.

Hubungan PAS dengan parti lain paling diingati pastinya selepas pilihan raya umum 2008, apabila kerjasama tidak rasmi dengan PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, selain merampas pentadbiran Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Kejayaan itu membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April 2008. Namun seperti banyak kisah persahabatan politik PAS sebelum itu, hubungan tersebut akhirnya retak dan berakhir pada Jun 2015.

Selepas PRU14 menyaksikan BN hilang kuasa pusat buat kali pertama, PAS dan Umno bergerak di bawah Muafakat Nasional (MN) pada 2019. Naratif penyatuan ummah ketika itu cukup kuat yang menggambarkan seolah-olah PAS akhirnya menemui rakan paling serasi dalam medan politik Melayu-Islam.

Tetapi MN juga tidak sempat berkembang menjadi pakatan pilihan raya yang benar-benar kukuh. Penubuhan Perikatan Nasional (PN) pada 2020 mengubah semula percaturan. PAS memilih untuk bersama Bersatu dalam gabungan baharu yang kemudian menjadi kenderaan utama pembangkang Melayu-Islam selepas PRU15.

Keputusan PAS yang memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu mungkin menyebabkan parti itu keluar lagi daripada kerjasama, iaitu kali ketujuh.

Siapa selepas ini?

Timbul persoalan siapa pula teman PAS selepas ini?

Ini bukan soal kecil kerana berkait hala tuju PAS untuk menghadapi pilihan raya akan datang termasuk medan terdekat seperti PRN Johor dan Negeri Sembilan jika kedua-duanya menjadi ujian awal kepada penjajaran baharu politik pembangkang.

Johor dan Negeri Sembilan bukan Kelantan, Terengganu atau Kedah. Di negeri-negeri itu, PAS tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan tradisi pengundi Melayu konservatif. Demografi lebih bercampur, budaya politik lebih pelbagai dan pengundi lebih menilai soal kestabilan, ekonomi, pentadbiran serta keyakinan terhadap gabungan yang mahu mengambil alih kerajaan.

Di sinilah PAS perlu membuat pilihan yang lebih jelas. Parti itu tidak boleh lagi sekadar mencari rakan yang mampu menambah jumlah kerusi dalam rundingan pembahagian kawasan.

PAS memerlukan rakan yang dapat membantunya kelihatan lebih nasional, lebih sederhana dari segi pendekatan, dan lebih mampu meyakinkan pengundi di luar kelompok penyokong tegar.

Pada PRU15, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen yang dianggap pencapaian terbesar dalam sejarah parti itu dan menjadikannya parti tunggal dengan jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat ketika ini.

Namun kejayaan itu juga mendedahkan kekuatan PAS masih tertumpu di kawasan majoriti Melayu-Islam. Di kerusi bercampur, pengaruhnya belum cukup melebar.

Selagi kelemahan itu tidak diatasi, PAS mungkin kuat sebagai parti blok Melayu, tetapi belum tentu cukup meyakinkan menjadi teras kerajaan pusat secara menyeluruh.

Jika PAS benar-benar mahu kembali ke Putrajaya, ia perlu berbuat demikian dengan status pemenang pilihan raya, bukan sekadar sebagai parti yang menunggu pintu kuasa terbuka melalui rundingan pasca pilihan raya.

PAS tentu sedar akan hal ini. Sebab itu pemilihan rakan menjadi sangat penting. Ini kerana rakan politik betul boleh membantu menonjolkan imej lebih luas.

Rakan yang salah pula boleh mengukuhkan lagi persepsi PAS hanya selesa bercakap kepada kelompok yang sudah pun menyokongnya.

Sediakah PAS ubah pendekatan?

Persoalannya, adakah PAS bersedia mengubah pendekatan bagi menarik sokongan bukan Islam? Atau setidak-tidaknya mengurangkan kebimbangan mereka terhadap parti itu?

Ini bukan bermakna PAS perlu meninggalkan prinsip asas perjuangannya. Tetapi parti yang mahu memimpin negara majmuk perlu tahu membezakan antara ketegasan prinsip dengan kekakuan pendekatan. Bahasa politik yang sesuai di kubu sendiri belum tentu berkesan di kawasan bercampur atau meraih undi kelompok atas pagar.

Dalam konteks ini, pandangan bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali, wajar diberi perhatian. PAS mungkin perlu mengubah ragam politiknya dan tidak terlalu mudah merajuk apabila keputusan dalam sesuatu gabungan tidak memihak kepadanya.

Jika PAS mahu menjadi parti nasional yang benar-benar berpengaruh, ia perlu dilihat matang dalam membuat keputusan. Meninggalkan rakan politik bukan kesalahan jika hubungan itu tidak lagi memberi manfaat.

Tetapi jika terlalu kerap keluar masuk gabungan juga boleh menimbulkan persoalan tentang kestabilan, kesetiaan dan keupayaan PAS mengurus perbezaan.

Kini muncul pula spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama semula PAS dan Umno. Kedua-duanya pernah membina naratif penyatuan ummah yang kuat selepas PRU14, terutama ketika berkongsi kedudukan sebagai blok yang tercabar oleh perubahan politik nasional.

Namun politik hari ini tidak sama seperti 2019. Umno kini berada dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) manakala PAS masih di blok pembangkang.

Hubungan peribadi pemimpin, kepentingan negeri, tekanan akar umbi dan pengiraan kerusi menjadikan sebarang usaha menghidupkan semula MN jauh lebih rumit daripada sekadar mengulang slogan lama.

Jika matlamat PAS hanya mahu memperkukuh penguasaan di kawasan majoriti Melayu, kerjasama dengan Umno mungkin ada logiknya. Tetapi jika cita-citanya memimpin Malaysia secara lebih luas, PAS memerlukan formula lebih besar.

Apa pun pilihannya, PAS perlu berhenti melihat rakan politik hanya sebagai alat sementara untuk menang kerusi. Jika tidak PAS akan terus dilihat sebagai parti yang sentiasa mencari teman baharu apabila perjalanan menjadi sukar.

Dalam lagu persahabatan, teman sejati hadir kerana ikhlas tetapi politik pula ada kalanya hadir kerana kepentingan yang saling menguntungkan.

Dalam politik sedikit bantuan daripada rakan memang penting. Tetapi bagi PAS teman itu bukan sekadar ketika pilihan raya tetapi yang mampu membawanya ke peringkat selanjutnya.

Iran umum penutupan penuh Selat Hormuz susulan serangan terbaru AS

Bernama-Anadolu

Ibu pejabat tentera Iran pada awal Khamis mengumumkan penutupan sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal susulan ketegangan dan permusuhan yang semakin memuncak di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh stesen televisyen kerajaan Iran, ibu pejabat Khatam al-Anbiya berkata laluan air strategik itu ditutup kepada semua lalu lintas, termasuk kapal tangki minyak dan kapal komersial, susulan apa yang disifatkannya sebagai ketidakamanan di rantau itu.

Ia memberi amaran bahawa "sebarang pergerakan" melalui selat itu akan menjadi sasaran.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat berikutan "pencerobohan Amerika" dan serangan AS baru-baru ini ke atas kawasan di wilayah Hormozgan selatan Iran.

- Bernama-Anadolu

Angkara cemburu, lelaki maut ditikam dalam pergaduhan, suspek sedang dikesan

Zahratulhayat Mat Arif
zahratulhayat@nst.com.my
POLIS sedang mengesan lelaki disyaki menikam mati seorang pemuda berusia 29 tahun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Polis.
POLIS sedang mengesan lelaki disyaki menikam mati seorang pemuda berusia 29 tahun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Pasir Salak: Polis sedang mengesan lelaki yang disyaki menikam seorang pemuda berusia 29 tahun sehingga maut dalam satu pergaduhan di KM 12, Jalan Trans Perak di sini awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.49 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman ketika bertengkar dengan seorang lelaki berusia 30 tahun yang sudah dikenal pasti oleh polis.

"Mangsa dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Siasatan polis mendapati suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki kereta Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, perasaan cemburu mungkin menjadi motif di sebalik kejadian berkenaan.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan, manakala siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau lokasi suspek supaya tampil membantu siasatan.

"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan S Murugan di talian 012-6992784 atau Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267, atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Bunuh Ibu mentua dengan menjamu sate ayam ‘celup’ racun tikus

KOSMO!
PASUKAN penyiasat menunjukkan bahan bukti yang dikumpulkan semasa sidang akhbar di Boyolali baru-baru ini. - Polis Boyolali
JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Jawa Tengah, Indonesia ditahan selepas membunuh ibu mentuanya dengan memberikan sate ayam yang disaluti racun tikus, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC). 

Purwadi Wahyudi, 40, memesan sate ayam dan mencelupkan makanan itu ke dalam racun tikus sebelum dihantar ke rumah ibu mentuanya pada 18 Mei lalu selepas dia berasa tidak dihormati oleh mangsa. 

Dia cuba menuduh adik iparnya, Luriyanti Putri yang menemukan mayat mangsa berusia 57 tahun dalam keadaan berlumuran muntah pada keesokan hari. 

Tangkapan dibuat selepas Luriyanti memberitahu penyiasat bahawa mangsa menerima sate ayam daripada seorang individu tidak dikenali sehari sebelum mayatnya ditemukan. 

“Pesanan itu bukan dibuat oleh saya dan saya telah melarang ibu untuk tidak memakan makanan tersebut,” kata Luriyanti. 

Pihak berkuasa menggali semula mayat mangsa dan ujian forensik mendapati tanda-tanda keracunan di kebanyakan organ utama serta kesan bahan kimia toksik. 

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Boyolali, Indrawan Wira Saputra menyatakan pembunuhan itu dirancang dengan teliti.

Purwadi dilaporkan menyamar sebagai Putri dalam aplikasi penghantaran, menggunakan nama dan fotonya sebagai butiran akaun.

Suspek berjaya diberkas tetapi belum didakwa secara rasmi atas kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman mati atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara. – AGENSI

Atuk direman kes rogol cucu, video ibu naik angin tular

Malaysiakini

Satu video memaparkan seorang wanita memarahi bapanya yang berusia 67 tahun berhubung dakwaan merogol anak gadisnya tular di media sosial, dan polis kemudian mengesahkan lelaki itu ditahan.

Menurut Sinar Harian, lelaki itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Kes itu dipercayai terbongkar selepas pelajar berusia 13 tahun itu menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya. Wanita itu kemudian membuat laporan polis dua hari lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini tinggal bersama datuknya di Batu Pahat, Johor, berikutan perceraian ibu bapanya.

Bagaimanapun, pada April lalu, mangsa dibawa pulang oleh ibunya ke sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Laporan itu menyebut bahawa si ibu mula curiga ada sesuatu yang tidak kena selepas menyedari anak perempuannya menghantar mesej kepada seorang kenalan.

Pada mulanya, remaja itu tidak mendedahkan apa yang berlaku, tetapi akhirnya mengaku didakwa dirogol oleh datuknya.

Siasatan juga mendapati kejadian itu dipercayai berlaku sepanjang tahun lalu, dengan kejadian terakhir didakwa berlaku pada Disember.

Pelajar cedera jatuh dari tingkat empat bangunan sekolah

MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah sekolah persendirian Cina, di sini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 9 pagi,  hari ini.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur buli atau jenayah yang menyebabkan mangsa terjatuh namun kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan sekolah memaklumkan mekanisme tindak balas kecemasan telah diaktifkan sebaik sahaja kejadian berlaku sebelum ambulans dihubungi bagi membawa pelajar terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah sebelum menembusi laluan berbumbung dan mendarat di kawasan bawah.

Pihak sekolah memberitatu, ibu bapa pelajar turut dimaklumkan mengenai kejadian itu dan laporan polis telah dibuat bagi membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Penganggur didakwa lakukan seks luar tabii terhadap penghuni PUSPEN

AMRAN ALI
TERTUDUH, diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melak, hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!
MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang penghuni lelaki di pusat pemulihan dadah (PUSPEN), dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Arif Mohd. Hizan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seorang lelaki berusia 30 tahun tanpa kerelaannya di dalam tandas asrama PUSPEN Tiang Dua, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.30 petang 24 Jun 2024.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 selain syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dicadangkan pendakwaan serta menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

Wanita jadi mangsa cabul ketika pulang kerja

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika berjalan kaki pulang dari tempat kerja di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia awal 20 an berhubung kejadian itu pada jam 9.06 malam, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.10 malam ketika mangsa berjalan seorang diri melalui lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan untuk pulang ke rumah.

"Secara tiba-tiba mangsa diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam.

"Suspek bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan meraba wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas melakukan perbuatan itu, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.

Katanya, polis kini sedang giat mengesan serta menjejaki suspek bagi memastikan keselamatan orang ramai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, "katanya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tular di media sosial.