"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

14 remaja dituduh merusuh, dua wanita didakwa serang pelajar

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
Sekumpulan murid dan pelajar dihadap ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan bergaduh. FOTO Ihsan Pembaca
Sekumpulan murid dan pelajar dihadap ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas kesalahan bergaduh. FOTO Ihsan Pembaca
Johor Bahru: Seramai 14 individu termasuk murid dan pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini Jumaat lalu.

Enam daripada mereka berusia 12 tahun hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Sementara itu, lapan lagi berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya di Jalan Silat Lincah di Bandar Selesa Jaya, Skudai pada jam 12.45 tengah hari, Jumaat lalu.

Bagi perbuatan itu, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh diperintahkan berkelakuan baik atau menjalankan perintah khidmat masyarakat serta dihantar ke sekolah Sekolah Henry Gurney.

Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk mendapatkan laporan akhlak, fakta dan perintah terhadap enam yang mengaku bersalah, manakala bagi lapan lagi, tarikh sama ditetapkan bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Kesemua pelajar terbabit dibenarkan diikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Di mahkamah sama, seorang wanita, R Loganayagi, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap salah seorang pelajar berusia 17 tahun pada jam 12 tengah hari di lokasi dan hari yang sama.

Bagi perbuatan itu, wanita itu dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan wanita itu dikenakan denda RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, S Lakhsmy mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab bagi pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun pada jam 12.10 tengah hari pada hari dan lokasi sama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin.

Tiada ulasan: