FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua remaja ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan Taman Universiti, Johor Bahru, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha, berkata penahanan remaja lelaki berusia 18 tahun dan perempuan berusia 19 tahun itu dibuat kira-kira 2.15 pagi tadi.
Katanya, semakan mendapati kedua-duanya tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka adalah negatif.
“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada pagi Selasa untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat meninggalkan bayi tersebut.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan serta sentiasa mematuhi undang-undang demi keselamatan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan bersendirian di pekarangan sebuah surau di Taman Universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan