ISKANDAR SHAH MOHAMED

Tertuduh dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!
KUALA LANGAT – Perbuatan seorang pemandu lori yang tular melakukan khianat dan mengancam anggota polis serta pemilik restoran menerima balasan apabila didenda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, hari ini.
Majistret Maslinda Selamat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Mahendran, 31, mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil.
Mengikut dua pertuduhan, Mahendran didakwa melakukan khianat dengan mencalarkan sebuah kenderaan polis dengan kayu rotan dan menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang koperal dengan niat menghalang tugas.
Tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pinggan mangkuk, meja makan dan peralatan di dalam sebuah kedai selain menggunakan kekerasan jenayah ke atas pemilik premis itu di sebuah kedai makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang di sini, kira-kira pukul 3.15 petang, 8 April lalu.
Maslinda kemudian menetapkan denda berasingan bagi semua pertuduhan itu dan keseluruhan 22 bulan penjara sekiranya gagal membayarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tular beberapa video memaparkan seorang lelaki mengamuk sambil membawa pisau pemotong daging berlari mengejar seorang anggota polis di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan