Malaysiakini
Rafizi Ramli menegaskan rakyat Malaysia tidak boleh lagi hidup dengan tahyul lama dengan menganggap negara ini masih ada ruang besar untuk menanggung subsidi seperti dahulu.
Ini kerana kata bekas menteri ekonomi itu, jumlah pengeluaran minyak mentah negara ini sudah menurun berbanding pengeluaran pada 2008.
"Bab petrol diesel ini, kita kena cakap dengan jujur. Malaysia hari ini bukan Malaysia tahun 2008. Dulu, pengeluaran minyak mentah kita jauh lebih tinggi daripada penggunaan dalam negara. Memang ada buffer.
"Sekarang tidak lagi. Pengeluaran minyak kita sudah turun daripada sekitar 700,000 tong sehari satu masa dulu kepada lebih kurang 340,000 tong sehari sekarang. Tetapi penggunaan petrol dan diesel terus naik, dan setakat 2023 sudah sekitar 480,000 tong sehari," katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian sebagai mengulas kegagalan kerajaan dalam memberi penerangan dengan baik dalam isu pemberian subsidi petroleum.
Setakat ini Putrajaya menyediakan pelbagai inisiatif subsidi minyak kepada kepada individu dan pelbagai sektor ekonomi melalui RON95 dan diesel.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata apabila subsidi mencecah berbilion ringgit sebulan, ia bukan lagi suatu angka kecil.
"Maknanya apa? Maknanya kita tak boleh lagi hidup dengan tahyul lama konon negara ini masih ada ruang besar untuk main tanggung subsidi macam dulu.
“Sebab itu bila subsidi cecah berbilion ringgit sebulan, itu bukan angka kecil.
"Itu duit rakyat yang tak boleh digunakan untuk perkara lain. Malangnya, kerajaan gagal menerangkan benda ini dengan baik. Kalau diagnosis tak betul, negara akan terus buat keputusan yang salah," katanya dalam hantaran mengiringi petikan rakaman podcast Yang Berhenti Menteri di Facebook, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan