Malaysiakini
Satu gabungan 57 organisasi menggesa kerajaan Malaysia memastikan operasi oleh Lynas Rare Earths Ltd tidak melanggar undang-undang antarabangsa, susulan perjanjian syarikat itu untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat.
Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, gabungan itu berkata perjanjian bernilai kira-kira AS$96 juta dalam tempoh empat tahun menghubungkan aktiviti pemprosesan di Malaysia dengan rantaian bekalan ketenteraan luar negara.
“Ia akan membabitkan Malaysia dengan aktiviti ketenteraan sebuah negara, yang ketika surat ini ditulis, sedang terlibat dalam sebuah konflik bersenjata dan operasi ketenteraan yang didakwa oleh pelbagai pihak, sebagai sebuah pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa (international humanitarian law – IHL) dan pencabulan serius undang-undang hak asasi manusia antarabangsa (international human rights law – IHRL),” kata kumpulan itu memberi amaran.
Mereka menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah, termasuk mewajibkan Lynas membuktikan operasi dan rantaian bekalannya tidak menyumbang kepada perbuatan salah di peringkat antarabangsa, menjalankan audit usaha wajar bebas berkaitan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta menggubal undang-undang domestik bagi memastikan syarikat tidak bersubahat dalam jenayah antarabangsa.
Dalam tuntutan tersebut, organisasi berkenaan turut membangkitkan kebimbangan termasuk pendirian dasar luar Malaysia, kedaulatan negara serta risiko alam sekitar berkaitan kilang Lynas di Gebeng.
"Dasar luar Malaysia berteraskan prinsip berkecuali (non-alignment).
“Perjanjian Jabatan Perang Amerika Syarikat ini akan menjadikan Malaysia satu titik dalam rantaian bekalan ketenteraan sebuah negara yang kini sedang melancarkan peperangan dan operasi ketenteraan di pelbagai wilayah.
"Hal ini pada asasnya langsung tidak selaras dengan komitmen jangka panjang Malaysia terhadap keamanan serta penentangannya yang konsisten terhadap penggunaan kekerasan dalam perhubungan antarabangsa.
"Dengan membenarkan tindakan yang sedemikian rupa diteruskan, risikonya adalah kredibiliti Malaysia sebagai suara bebas dalam pelbagai forum antarabangsa akan terhakis.
"Ini juga akan menggugat pendirian berprinsip negara kita tentang konflik di Palestin, Iran dan di lain-lain wilayah,” kata kumpulan itu.
Mereka berhujah bahawa membenarkan operasi berasaskan Malaysia menyokong usaha perang kuasa asing boleh menjejaskan kedaulatan negara kerana ia berpotensi meletakkan infrastruktur industri domestik dalam perkhidmatan objektif ketenteraan luar.
Surat itu turut menekankan kebimbangan alam sekitar yang berpanjangan berkaitan loji Lynas, khususnya pengurusan sisa radioaktif, dengan menyatakan hubungan kepada rantaian bekalan ketenteraan menambah beban etika kepada komuniti terjejas.
Kumpulan tersebut juga memberi amaran mengenai risiko Malaysia menjadi bersubahat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa, dengan menyatakan perjanjian itu perlu dinilai dalam konteks aktiviti ketenteraan Amerika Syarikat yang menerima kecaman meluas serta dakwaan pelanggaran undang-undang di pelbagai wilayah.
Mereka mengakui Anwar sebelum ini mengecam tindakan yang disokong Amerika Syarikat, termasuk di Gaza, sebagai “bertentangan dengan prinsip sejagat”.
"Membenarkan operasi di wilayah Malaysia untuk berkhidmat, secara langsung atau tidak langsung, kepada usaha peperangan sebuah kuasa asing akan menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia," katanya.
Menurut gabungan NGO itu lagi, tindakan memproses mineral strategik di Gebeng untuk diserahkan kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat dengan sewenang-wenangnya akan meletakkan infrastruktur perindustrian Malaysia di bawah kehendak ketenteraan negara lain.

Operasi pengeboman AS dan Israel ke atas Iran.
“Dalam konteks ini, pembekalan oksida nadir bumi yang diproses di fasiliti Gebeng kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat mendedahkan kita kepada sebuah risiko yang nyata dan boleh dijangka, yakni Lynas, sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di bawah bidang kuasa dan kawal selia Malaysia, bersubahat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa.
"Oksida nadir bumi merupakan mineral kritikal bagi magnet kekal yang digunakan dalam peluru berpandu berpandukan ketepatan, sistem senjata canggih, kenderaan tentera, dan elektronik pertahanan.
"Oleh itu, bahan-bahan yang diproses di Malaysia ini boleh tergabung ke dalam sistem senjata yang digunakan di dalam operasi yang melakukan pelanggaran berat IHL dan pencabulan serius IHRL, atau telah dengan wajar didakwa berbuat demikian,” kata surat terbuka itu lagi.
Merujuk kepada kewajipan Malaysia di bawah Artikel Tanggungjawab Negara bagi Perbuatan Salah Antarabangsa (ARSIWA) yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kumpulan itu berkata Putrajaya tidak boleh dengan sengaja membantu atau menyokong tindakan yang boleh dianggap sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Gaza selepas pengeboman.
Bulan lalu, dua aktivis pro-Palestin turut menggesa Malaysia mengenakan sekatan terhadap eksport bahan nadir bumi yang diproses oleh Lynas.
Pada 9 April, Lynas mengumumkan rancangan untuk memperluas pengeluarannya di Malaysia dengan mengekstrak tiga oksida nadir bumi “berat” yang kini mendapat permintaan tinggi dalam industri, selepas China mengehadkan eksport unsur nadir bumi (REE) tahun lalu.
Tiga unsur tersebut — disprosium, terbium dan samarium — digunakan dalam magnet berprestasi tinggi bagi industri maju seperti elektronik dan aeroangkasa, menurut laporan AFP yang memetik pegawai Lynas.
Sementara itu, laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) setebal 770 muka surat bagi cadangan meningkatkan pengeluaran di Loji Bahan Termaju Lynas di Gebeng, Pahang kini dipamerkan kepada umum dan boleh diakses secara dalam talian — tetapi tidak boleh dimuat turun — sehingga 9 Mei.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan