"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib perlu bebaskan Manoharan untuk elak malu lebih besar

Jika M Manoharan mengambil keputusan untuk melompat parti dan menyertai MIC atau Gerakan, besarkan kemungkinan beliau telah lama dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting. Beliau juga mungkin lebih bebas untuk memberi khidmat penuh kepada rakyat. Soal Akta Keselamatan Dalam Negeri zalim dan menzalimi beliau mungkin tidak timbul sama sekali.

Jika Manoharan, wakil rakyat sah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kota Alam Shah keluar DAP dan menyertai BN, beliau sudah tentu dipulaukan oleh kawan seperjuangannya dalam Hindraf dan DAP.

Bagaimanapun beliau memilih untuk kekal dalam perjuangan Pakatan Rakyat dan DAP. Maka terpaksalah beliau terus meringkuk dalam Kem Tahanan Kamunting. Akibatnya, hasrat beliau untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berkesan tidak kesampaian. Isterinya Pushpaneela dan beberapa penyokong DAP dan Pakatan Rakyat terpaksa membantu Manoharan menguruskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Namun kesabaran ada hadnya. Perjuangan pun ada batasnya. Meninggalkan tanggungjawab untuk digalas oleh isteri dan kawan-kawan cukup membebankan bagi Manoharan.

Lantas beliau berkira-kira untuk meletak jawatan. Jika diterima peletakan jawatan itu, pilihanraya kecil mesti diadakan. Ini akan memberi peluang rakyat dalam DUN Kota Alam Shah untuk memilih wakil rakyat baru. Seorang wakil rakyat yang bebas dari penjara politik seperti Kem Kamunting mungkin boleh memberi khidmat yang lebih baik. Dan Puan Pushpaneela boleh menghela nafas lega. Beliau mungkin boleh melawat suaminya di Kamunting lebih kerap lagi.

Pucuk pimpinan DAP mungkin tidak bersetuju dengan keputusan Manoharan ini. Mereka berpendapat apabila bertanding dalam pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, Manoharan memang sudah ditahan menurut ISA sejak 31 Disember 2007. Beliau dikatakan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam kerana menjadi penasihat HINDRAF dan terbabit dalam tunjuk perasaan besar-besaran memperjuangkan nasib rakyat keturunan India di negara ini pada November 2007.

Lantaran itu DAP berpendapat rakyat Kota Alam Shah memang tahu akibatnya memilih Manoharan sebagai wakil rakyat. Lantas, isu 12,699 pengundi merungut kerana tidak mendapat khidmat penuh Manoharan tidak timbul. Undi mereka adalah lambang protes terhadap ISA yang zalim. Maka DAP tidak mahu Manoharan letak jawatan.

Namun Manoharan masih menimbangkan kemungkinan melepaskan jawatan ADUN yang dipikulnya. Pada 19 Mei ini beliau akan menerima lawatan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Kamunting. Ketika itu Manoharan mahu berbincang mengenai masa depannya sebagai wakil rakyat Kota Alam Shah.

Apapun natijah tindakan Manoharan ini cukup memberi tekanan kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak dan sekutunya. Jika Manoharan letak jawatan, pilihanraya kecil perlu diadakan. Dalam soal ini, Najib berpendapat pilihanraya kecil yang bukan merupakan ”kerja tuhan” kerana wakilnya letak jawatan dan bukan kerana kematian atau keuzuran, adalah membuang masa, tenaga dan sumber kewangan.

Lantaran itu, awal-awal lagi Najib sudah mengumumkan pendiriannya untuk tidak mahu UMNO dan BN mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil seperti itu. Kenyataan itu dibuat semasa berhadapan dengan kemungkinan pilihanraya kecil di Penanti, Pulau Pinang. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kini telahpun menetapkan penamaan calon pada 23 Mei tarikh pembuangan undi pada 31 Mei untuk kerusi Penanti.

Persoalannya ialah apakah sikap Najib kali ini bila berhadapan dengan kes Manoharan? Manoharan bukan suka-suka letak jawatan. Beliau lebih mengutamakan rakyat. Apa guna beliau menjadi wakil rakyat jika tidak boleh berkhidmat untuk rakyat?

Yang boleh membetulkan keadaan ialah Najib sendiri. Bila beliau mengangkat sumpah awal bulan lepas, beliau membebaskan tiga belas tahanan ISA, termasuk anggota Hindraf. Bagi Najib tindakan itu adalah gambaran halatuju dan caragaya kepemimpinannya – lebih terbuka dan adil. Bagaimanapun, adilkah Najib jika membiarkan rakyat dalam DUN Kota Alam Shah tanpa wakil sepenuh masa? Jika pemimpin Hindraf lain boleh dibebaskan kenapa tidak Manoharan? Jika Manoharan memang seorang pesalah, hadapkan dia ke mahkamah! Kenapa liberalisme Najib terpilih-pilih?

Sekarang  Najib terjerat dalam retorik sendiri. Perlukah BN bertanding jika berlaku  pilihanraya kecil di Kota Alam Shah? Esok Biro Politik Umno akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada akan meletakkan calon atau tidak di Penanti 23 Mei ini. Apakah pandangan biro berkenaan dengan perkembangan kes Manoharan nanti?

Tidak kiralah yang bakal bertanding di Kota Alam Shah nanti wakil MCA, Gerakan, atau MIC dan bukan dari Umno. Yang penting orang melihat ia adalah calon BN. Dan, Najib adalah pengerusi BN. Jika biro politik Umno memutuskan tidak mahu bertanding di Penanti, apakah di Kota Alam Shah pun BN tidak mahu bertanding?

Bagaimanapun jika Umno mahu bertanding di Penanti, dan BN di bawah pimpinan Najib juga memutuskan untuk bersaing di Kota Alam Shah dan nau’uzubillah, BN kalah kedua-duanya; bagaimanakah anggapan rakyat terhadap BN?

Senario ini bukan mustahil berlaku. Penanti adalah dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu seteru politiknya – Anwar Ibrahim. Sementara Kota Alam Shah pula menyaksikan calon BN, Ching Su Chen dari Gerakan kalah dengan majoriti yang amat besar – 7,184 kepada Manoharan dalam pilihanraya umum tahun lalu. Itu pun Manoharan dalam tahanan, jika tidak majoriti itu mungkin lebih besar!

Tidak mustahil Umno dan BN di bawah Najib akan diaibkan lagi dalam kedua-dua pilihanraya kecil ini!

Jadi, apakah alasan yang hendak diberi jika dalam tempoh tiga bulan berturut Najib sebagai Pengerusi BN dan Perdana Menteri kalah dalam pilihanraya Bukit Selambau, Bukit Gantang, Penanti dan Kota Alam Shah?

Apakah perasaan ahli Umno dan komponen Barisan Nasional berpemimpinkan Najib? Maka tidak berasaskah persepsi yang mengatakan bahawa Najib naik menjadi Perdana Menteri dengan bagasi atau beban politik yang terlalu besar dan kotor? Maka sebab itu rakyat tetap menolak kepemimpinan BN yang diterajui oleh Najib!

Najib nampaknya tidak mempunyai banyak pilihan. Untuk keluar dari kemelut ini beliau boleh dengan tegas mengumumkan bahawa BN tidak mahu main politik ikut rentak pembangkang. Nampaknya pihak Pakatan Rakyat memang hendak meremehkan kewibawaan Najib dengan mengajaknya beradu kekuatan dalam pilihanraya-pilihanraya kecil.

Oleh itu, Najib boleh bertegas tidak mahu layan politik begini. Beliau boleh umum tidak turut bertanding di Kota Alam Shah dan Penanti. Mudah-mudahan rakyat akan percaya dengan pegangan Najib ini. Bukankah sifu politiknya, Tun Mahathir Mohamad, yakin dengan teori propaganda Goebels – kepalsuan itu jika kerap diulang sebar akan diterima rakyat sebagai kebenaran! Ikut sahajalah  pedoman Mahaguru politik ini, tentu Najib selamat. Tambahan pula media arus perdana memang di bawah telunjuk Najib dan Barisan Nasional; gunakan sahajalah!

Atau, untuk lebih mudah; bebaskan sahaja Manoharan. Najib akan dilihat sebagai wira kebebasan bersuara. Najib juga boleh mengelak malu lebih besar jika kalah empat pilihanraya kecil dalam tiga bulan berturut-turut. Hanya Najib berkuasa menentukannnya. Jika pilihanraya kecil kota Alam Shah jadi diadakan, umur pemerintahan Najib baru lepas seratus hari...

-TVA ntara.com.my-

Tiada ulasan: