"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

A Samad Said: Malangnya rakyat bila akhbar disekat

Irwan Muhammad Zain  

SABAN tahun Hari Kebebasan Media pada 3 Mei dirayakan oleh pengamal media di seluruh dunia. Di Malaysia tidak terkecuali. Ia juga disambut tidak kira dari media konvesional atau media baru.

Namun persoalan yang timbul, apakah cukup hanya dengan merayakan Hari Kebebasan Media sedangkan hakikatnya banyak sekatan dikenakan terhadap syarikat penerbitan dan juga para wartawan.

Bagi Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said segala sekatan yang dikenakan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mewajibkan keperluan mendapatkan permit penerbitan Kementerian Dalam Negeri, yang kemudiannya menyekat segala bentuk informasi daripada disampaikan secara jujur dan telus.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad berkata pelbagai akta di negara ini bukan hanya menyekat wartawan atau penulis untuk melaporkan perkara sebenarnya tetapi turut menghalang rakyat dari mendapat informasi yang tepat.

Media di negara ini, tambahnya, tidak diberi ruang atau kebebasan yang munasabah hingga menyebabkan bantahan berterusan dilakukan oleh pihak-pihak yang terkesan akibat segala macam akta yang mengongkong itu.

Beliau bersetuju dengan desakan supaya dihapuskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, khususnya memansuhkan keperluan memohon permit penerbitan.

"Adanya akta dan permit ini menyebabkan media oposisi sering digertak, malah ada yang dikenakan tindakan gantung," tegas beliau.

Segala tindakan berat sebelah yang dikenakan terhadap media pembangkang dan lain-lain media yang tidak condong kepada pemerintah dianggap Pak Samas sebagai aksi ketinggalan zaman.

"Tidak seharusnya juga media oposisi dihadkan jualan hanya kepada ahli sahaja.

"Seluruh rakyat berhak untuk mendapatkan maklumat dari media oposisi dan juga media arus perdana.

"Jadi tidak adil jika media oposisi dihadkan jualan kepada ahli sahaja kerana media milik kerajaan dibenarkan untuk dijual kepada seluruh rakyat," tegas Sasterawan Negara itu lagi.

Akta tidak membebankan

Berbeza dengan bekas Ketua Pengarang Kumpulan (NSTP), Dato' A Kadir Jasin yang berpendapat segala akta yang dikenakan itu tidak membebankan.

Beliau berpendapat pelbagai akta tersebut hanya membebankan bagi mereka yang baru menceburi dalam dunia media.

"Bagi orang seperti saya yang sudah lama dalam bidang ini, akta itu semua tidak menyekat atau membebankan," ujar beliau.

Namun Kadir tidak menolak kadang kala masalah kawalan yang dikenakan menimbulkan sedikit kegusaran tetapi bukan dari aspek perundangan sebaliknya dari aspek perlaksanaan kerana pegawai yang ditugaskan sering bertukar ganti.

Beliau juga tidak akan membantah jika ada desakan agar akta-akta yang ada itu dihapuskan kerana ia merupakan hak dan kebebasan pihak yang memperjuangkannya.

Mengenai lanjut, Kadir menegaskan erti kebebasan media di negara ini amat luas.

Bagi beliau, yang sering takut cuma wartawan atau pengarang yang gagal mengemukakan hujah dengan baik dalam laporan atau tulisan mereka.

"Yang penting," kata Kadir, "bukan sekatan akta tetapi bagaimana seorang wartawan atau penulis itu berhujah melalui tulisan dan jika hujah itu mempunyai fakta yang lengkap, tiada tindakan yang boleh dikenakan."

Wartawan, tegas beliau, mempunyai etika tersendiri yang harus dipatuhi dan ini bermakna mereka juga tidak bebas untuk menulis sesuka hati tanpa berpegang kepada etika tersebut.

Saringan dalaman

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman bersetuju bahawa wartawan perlu menampilkan kualiti kerja yang cemerlang dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu laporan pemberitaan yang terbaik.

"Tapi halangan yang menekan, macam kami di Harakah selalu terima, elok dibuang sahaja, lagipun ia sudah ketinggalan zaman," ujar Lutfi merujuk kes Harakah yang sering dirampas KDN dan dianggap sentiasa melakukan kesilapan hanya kerana menjualnya kepada khalayak bukan ahli PAS.

"Selain akta dan peraturan tidak munasabah KDN itu, saringan dalaman terutama di syarikat penerbitan besar juga menyebabkan dunia kewartawanan kita tandus dengan karya atau laporan yang bermutu dan mendalam," ujar Lutfi lagi.

"Tanpa kebebasan sukar sekali kita mencari bakat-bakat baru wartawan yang berketrampilan. Sekatan permit menyebabkan tiada siapa yang mahu melabur untuk industri yang banyak mengundang risiko ini.

"Saya sendiri pernah mengusahakan Penerbitan Pemuda, menerbitkan dua majalah bulanan, mempunyai ramai kakitangan, tapi akhirnya KDN haramkan begitu saja.

Saya dapat rasakan peritnya ketika itu, menanggung hutang apabila tak dapat membuat kutipan selepas majalah diharamkan. Akhbar saya yang mendedahkan menteri rasuah dirampas di kilang percetakan, tanpa sempat masuk pasaran," kata Lutfi. 

-harakahdaily-

Tiada ulasan: