Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, gambaran yang diberikan seolah-olah PAS sedang menghadapi masalah besar hanya mainan media sahaja.
Katanya, golongan penulis yang sebelum ini tidak pernah menulis tentang PAS juga berminat berbuat demikian.
"Ini berlaku kerana mereka mencemburui PAS di samping mengakui parti itu telah berada di tengah-tengah masyarakat sehingga berjaya menenggelamkan Umno.
"Ini berlaku kerana mereka mencemburui PAS di samping mengakui parti itu telah berada di tengah-tengah masyarakat sehingga berjaya menenggelamkan Umno.
"Setiap kali berlaku pemilihan dalam parti sudah tentu ada pertembungan pandangan, namun ia perkara biasa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil peserta kursus Tafaqquh Fiddin di Balai Islam, hari ini.
Menurutnya juga sejak awal lagi beliau tidak berminat mengadakan kerjasama dengan Umno termasuk melalui muqabalah kerana ia seumpama PAS menolak kereta rosak.
"Dan apabila kereta hidup, orang yang menolak kereta di belakang terus ditinggalkan.
"Itulah sebabnya saya tak mahu PAS bermuqaballah dengan Umno," ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.
Ditanya mengenai tulisan anaknya Nik Abduh dalam blog yang merendah-rendahkan pembantu Menteri Besar beliau berkata, beliau hanya sekadar menegur sahaja.
Katanya, Nik Abduh ada hak untuk menulis dalam blog memandangkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri dan mempunyai ilmu agama.
Beliau berkata, semua pandangan negatif atau positif diterimanya.
"Zaman Rasulullah saw dahulu ulama hanya baginda seorang sahaja, yang lain (sahabat nabi) semuanya profesional, tetapi lama kelamaan baginda menggabungkan ilmu profesional dengan ulama yang ada padanya.
"Akhirnya ilmu ulama dan profesional bercampur dalam satu tubuh seorang pemimpin dan inilah yang sedang dilakukan oleh PAS," katanya.
Kata beliau dahulu PAS hanya dipimpin ulama, namun kini dianggotai profesional yang berlainan latar belakangnya.
Menurutnya juga belajar ilmu Islam tidak semestinya di pondok atau sekolah agama, tetapi suasana setempat membolehkan golongan profesional menjadi Muslim sejati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan