Abdul Aziz Ismail
Umno hampir pasti tidak akan berani mengambil tempat Gerakan sebagai pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang demi perpaduan BN dan mematuhi tradisi yang sudah dipersetujui bersama sejak sekian lama.
Walaupun cadangan itu - dari segi logiknya - agak praktikal dan selari dengan situasi politik yang ternyata sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, ia sukar direalisasikan kerana Umno mahu menjaga hati pemimpin parti itu serta demi mematuhi perjanjian yang sudah dipersetujui sejak 35 tahun lalu antara kedua-dua parti itu.
Presiden Gerakan, Tan Sri Kho Tsu Koon sudah menyuarakan bantahan kerasnya atas cadangan luar biasa itu. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula mengarahkan semua ahli Umno di pulau mutiara itu menutup mulut dan jangan bercakap soal itu lagi.
Tidak diketahui apakah rasional di sebalik cadangan itu. Adakah ia bermaksud supaya pemimpin Gerakan – juga MCA dan MIC – bangkit dari tidur dan mula bekerja keras mencari formula bagaimana menawan semula hati kaum sendiri yang jelas menolak mereka?
Apakah itu cadangan ikhlas dari Umno yang mahu menuntut haknya kerana menang semua kerusi Parlimen dan Dun dalam PRU 12 lalu berbanding calon parti komponen lain yang tidak menang satu kerusi pun termasuk Tsu Koon?
Tidak mustahil jika cadangan itu terus dibesar-besarkan dan ditakdirkan menjadi kenyataan, Gerakan mungkin bertindak keluar dari pakatan BN sebagai tanda protes.
Dan akibatnya lebih teruk - parti itu mungkin boleh menyertai Pakatan Rakyat sebagai tindak balas drastik kepada BN dan pastilah ia boleh membawa bencana tsunami kepada Umno dan BN.
Namun, jika cadangan itu dihalusi dan diteliti sedikit ia mungkin boleh diterima sebagai satu percubaan. Kenapa tidak dibenarkan Umno mencuba nasib?
Mengapa tidak dibenarkan Umno mengetuai BN untuk sepanggal saja - menjelang PRU 13 nanti sebagai percubaan memulih dan menyelamatkan nasib BN?
Jika Umno ditakdirkan boleh membawa kemenangan dalam PRU 13 syaratnya jawatan ketua menteri tetap diberi kepada calon Gerakan yang menang – seperti sebelumnya.
Ini dilakukan dengan anggapan orang bukan Melayu yang condong kepada dasar BN mungkin berubah pendirian dan mengundi calon-calon parti komponen kerana calon Gerakan masih diberi peluang menjadi ketua menteri walaupun bukan majoriti.
Ia juga bertujuan bagi memberi peluang kepada pemimpin Umno sebagai pengerusi BN mengatur strategi memilih dan meletakkan siapa calon yang paling layak menurut perkiraan pemimpin Umno di pulau itu.
Ia memberi kebebasan Umno mengatur rancangan memilih kawasan pertandingan yang sesuai kepada calon-calon BN yang bertanding mengikut kebijaksanaan mereka.
Idea dan strategi Umno mungkin berbeza daripada Gerakan dan biarlah Umno mencuba nasib bertempur dengan calon PR yang sudah disifatkan sukar digugat dan sudah menawan hati kebanyakan pengundi berbagai kaum di pulau itu.
Andai kata BN tewas kepada PR bermakna ia pengajaran berguna kepada Umno bahawa idea itu memang sukar dilaksana dan BN harus menerima hakikat bahawa situasi politik di pulau mutiara itu benar-benar sudah berubah.
Situasi itu mengesahkan dengan pasti bahawa pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina seolah-olah sudah membuat keputusan muktamad tidak akan mengundi calun Gerakan, MCA dan MIC – seperti yang dijangka tidak kira siapa calonnya.
Ini juga memberi isyarat pengundi Pulau Pinang mahukan calon PR menang sekaligus membawa makna memberi peluang PR menjadi pemerintah kali kedua.
Pengundi Melayu yang tidak menyokong Umno sudah pasti memberi undi kepada calon Melayu dari PAS atau PKR.
Di kawasan majoriti kaum bukan Melayu, undi kaum Cina dan India dijangka mengundi calon Melayu dari PR tidak kira parti dan bukan calon Umno sebagai sokongan mereka kepada DAP yang diharapkan memimpin sekali lagi sebagai pemerintah di pulau yang kekuatan ekonomnya sudah lama dikuasai sepenuhnya oleh kaum Cina.
Kesepakatan PR itu bakal berterusan dan benarlah dakwaan sebelum ini di kalangan ahli Umno bahawa mengundi calon bukan Melayu dari BN membawa maksud memberi undi kepada calon Umno.
Ini tidak mungkin berlaku dan jika terjadi juga dianggap tindakan janggal dan bertentangan dengan kehendak majoriti pengundi di pulau itu.
Orang bukan Melayu dikatakan sudah bersepakat tidak akan mengundi calon BN dari Gerakan, MCA atau MIC kerana dalam hati mereka memang tidak berkenan dan serik dengan dengan dasar BN dibawah Gerakan selama ini kononnya tidak memihak mereka.
Mereka ini menolak BN dan inginkan DAP menguasai pulau itu seperti mana orang Melayu menguasai negeri Kelantan.
Sentimen pengundi bukan Melayu sejak PRU 12 lalu agak ketara memihak PR dan situasi itu sudah dimaklumi Umno dan parti komponen lain dalam BN.
Kerosakan yang berlaku dan ditinggalkan Umno pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sukar dibaiki dan memerlukan waktu yang lama untuk dipulihkan.
Ini ditambah rumit dengan kehadiran faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah dianggap lagenda dalam kalangan pengundi tidak kira kaum di pulau mutiara itu yang amat berhajat PR memerintah dan Anwar menjadi perdana menteri.
Sebenarnya siapa pun yang mengetuai BN di pulau mutiara itu – dalam situasi politik dan sentimen rakyat ketika ini - belum menjanjikan kemenangan yang pasti kepada Gerakan atau Umno.
Namun, jika Gerakan berani secara ikhlas bersedia mencuba cadangan berani itu dan mengakui situasi pengundi kaum Cina yang sudah ketara berubah, ia boleh memberi harapan barhau dan peluang kepada Umno dan BN untuk mencuba nasib bertempur dengan calon-calon Pakatan yang disifatkan amat berpengaruh dan sukar digugat di pulau kecil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan