"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam: Dr M boleh pengaruhi PM bentang Kertas Putih

Salhan K Ahmad
Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mempengaruhi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menyiasat pengurusan kewangan bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung perbelanjaan RM270 bilion hasil minyak negara, kata exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.

Ketika membuat gesaan teresbut, Husam berkata Najib, yang juga menteri kewangan, hendaklah membentangkan Kertas Putih melalui kementerian itu sekiranya tidak mampu menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kos berkenaan.

"Sebahagian kos ini berlaku kerana sistem runding terus. Sebahagian, untuk menyediakan peluang perniagaan kepada pihak tertentu semata-mata. Sebahagian kerana bayaran ganti rugi semata-mata," kata Husam lagi dalam surat terbukanya yang akan dihantar kepada Mahathir hari ini.

Surat terbuka tersebut - yang disiarkan dalam blognya Cetusan Hati - merupakan reaksi balas kepada kenyataan Dr Mahathir pada 22 Disember lalu yang mahu Abdullah Badawi juga disiasat oleh suruhanjaya diraja kerana didakwa membazirkan wang negara.

Husam dalam surat terbukanya menyenaraikan jumlah bayaran yang dibuat oleh kerajaan semasa pentadbiran Abdullah, yang terkenal sebagai 'perdana menteri flip-flop' - nama jolokan yang diberi oleh Dr Mahathir kepada Abdullah atas dasar-dasarnya yang tidak konsisten.

Tindakan Abdullah yang sering mengubah keputusan eksekutifnya itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada para kontraktor bagi projek-projek berkenaan.

"Saya percaya, Tun mampu mempengaruhi Najib membentangkan Kertas Putih itu pada sidang Parlimen akan datang," kata Husam lagi yang turut menjelaskan penggunaan wang sebanyak RM270 bilion itu "memang ada kebenarannya untuk diragui."

"Siapa patut disalahkan, tidak disentuh di sini. Namun, bagaimana wang yang sangat besar boleh diselamatkan jika kerajaan cekap dan berhemat," katanya lagi dalam surat tersebut.

Menurut pemimpin PAS Kelantan itu, pembaziran paling besar adalah hasil daripada pembatalan projek pembinaan Jambatan Kedua bagi menghubungkan Singapura dengan semenanjung Malaysia, dengan kos lebih RM1 bilion.

Jumlah itu, menurut Husam lagi, melibatkan ganti rugi yang dibayar kepada kontraktor jambatan yang dianggarkan berjumlah RM360 juta, serta kos untuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Quarantin (CIQ) yang menjadi projek 'gajah putih.'

Turut disenaraikan oleh Husam ialah pembatalan projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh, melibatkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM425 juta kepada kontraktor utama projek itu yang sepatutnya disiapkan pada 2005.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: