"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan dilanda krisis dalaman, lagi?

Abdul Rahim Sabri
Kelantan kelihatan sedang menuju pergolakan baru dengan pengguguran dua setiausaha menteri besar, dipercayai diketahui seawal-awalnya hari ini.

Ia diura-urakan berkaitan rapat dengan pengaruh keluarga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang semakin meluas dalam pentadbiran negeri, khususnya isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantunya.

Dalam keghairahan membela suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang didesak meninggalkan syarikat berkaitan kerajaan itu, Nik Amalina Nik Abdul Aziz pula secara terbuka menudingkan jarinya kepada PAS dan pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

Tiba-tiba exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang sebelum ini dianggap anak didik Nik Abdul Aziz, mula melancarkan kritikan terselindung berhubung perlunya sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas pengaruh keluarga daripada pentadbiran negeri.

"Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coret Husam di blognya
Cetusan Hati semalam.

"Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin- pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah."

Tidak jelas maksud "peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita..." sama ada merujuk pemimpin PAS atau pemimpin B kerana sebelumnya Husam banyak merujuk kes yang melingkari barisan pemimpin utama negara.

Husam bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka yang mahukan perubahan tidak harus terperangkap dalam kerenah yang sama.

"Keadaan (BN) nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak.

"Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan," tulisnya lagi.

Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."

Muncul ketika ura-ura dua pegawai kanan Nik Abdul Aziz, dan desas-desus akan digantikan dengan mereka yang dekat dengan anggota keluarganya, coretan blog Husam ini menghangatkan tanggapan bahawa pentadbiran Kelantan memang bergolak.

Coretan yang penuh berlapik itu bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya, sekali gus meletakkan orang ramai dalam keadaan terus berteka-teki.

Dalam perkembangan berkaitan, Husam pula diura-urakan tidak akan menghadiri mesyuarat penting Dewan Harian PAS Kelantan yang dijadual 3 petang ini.

Sementara itu, setiausaha politik menteri besar Anual Bakhri Haron berkata kedudukan beliau dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakob dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Dihubungi
Malaysiakini pagi ini, Anual berkata beliau tidak ada apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan tersebut kerana "sebelum ini selalu bercakap kemungkinan untuk melepaskan jawatan ini".

"Saya tidak ada apa (masalah), saya sudah berkhidmat 10 tahun," katanya yang dianggap dekat dengan Husam.

Ditanya sama ada pengguguran tersebut disebabkan perkembangan dan pergolakan yang berlaku di Kelantan, Anual berkata: "Saya tidak pergi sejauh itu."
-malaysiakini-

Tiada ulasan: