"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politiking Dalaman PAS, Antara Kadok Dan Sireh

Zolkharnain Abidin

Berdepan dengan Umno dalam politik tidak punya masalah besar. PAS punya jentera sendiri sampai ke peringkat paling bawah berbanding Umno yang sangat bergantung kepada jentera kerajaan. Umno berjaya menjadi kerajaan pun adalah kerana kongkongannya ke atas SPR. Hakikatnya Umno hanya gah pada ‘merahnya’ sahaja tetapi kosong di dalam, kelam.

Apa yang sulit, kesat dan berat bagi PAS ialah politiking dalaman. Kadang-kadang, di sesetengah negeri, pemimpin PAS negeri berkenaan lebih menumpukan politiking dalaman sehingga agenda politik menghadapai Umno sedikit terabai.

Upaya, masa, tenaga, fikiran, kemudahan, tumpuan dihabiskan untuk jatuh-menjatuh, singkir-menyingkir, aib-mengaib dan banyak lagi sesama sendiri. Sedangkan jika semuanya itu digunakan untuk berhadapan dengan Umno, mustahil Umno tidak dapat ditumpaskan dalam PRU 13 akan datang.

Saya tidak pelik kalau politiking dalaman ini berlaku di negeri yang PAS memerintah. Tentunya setiap individu atau kelompok di situ punya agenda masing-masing. Pertembungan idealisme dan tindakan tentu berlaku, itu biasa sahaja. Kadang-kadang pertembungan itu mematangkan tanpa menafikan ia juga boleh meruntuhkan.

Apa yang pelik ialah apabila ini berlaku di negeri yang PAS tidak sekuat mana, tenaga tidak seramai mana dan strategi politik tidak sehebat mana pun. Dalam keadaan begitu, masih wujud gerakan singkir-menyingkir, jatuh-menjatuh, aib-mengaib dan godam-menggodam.

Ini berpunca daripada orang yang merasa dirinya hebat, berkuasa dan serba berupaya. Sepatutnya perasaan itu dihalakan untuk berdepan dengan Umno bukan untuk berpolitiking secara dalaman.

Tidak ada untung apa-apa apabila ada anggota parti, apatah lagi yang masih berada di barisan pimpinan, disingkir atau dipetiaiskan. Setiap anggota parti, secabuk mana pun, dia perlu digilap sebagai aset, bukannya menyingkirkan anggota yang pada suatu ketika pernah menjadi aset.

PAS bukan milik individu tertentu, tetapi milik ahli dan penyokongnya. Kini ia menjadi milik rakyat. Mengurus PAS bukan seperti mengurus sebuah jentera menuai padi milik sendiri. Kalau jentera itu rosak, padi di bendang tidak akan reput, kerana ada orang lain yang mempunyai jentera yang lebih baik.

PAS milik rakyat, kini menjadi harapan rakyat dan PAS berhadapan dengan ‘persepsi’ rakyat. Kalau PAS rosak, caca-merba, kucar-kacir, sedangkan mereka yang sedang menguruskan PAS pula syok sendiri, kononnya PAS kuat, tunggulah masanya PAS akan dihukum. Ingat, ‘persepsi adalah informasi’.

Kalau PAS rosak, kepada siapa lagi rakyat akan menumpang berteduh dalam situasi Umno tidak lagi dipercayai sebagai payung mereka. Ya, rakyat ada PKR dan DAP. Tetapi ingat, PAS adalah sekutu PR. Kalau PAS kuat, PKR dan DAP pun kuat, begitu sebaliknya.

Maksudnya, kalau ada pimpinan PAS yang melemahkan PAS, dia melemahkan PR. Adakah itu dilupai?

Bagi sebuah kereta, komponen yang paling kecil pun wajib dijaga dengan baik. Kita mungkin tidak memerlukan hon dalam keadaan biasa, tetapi apabila ada kenderaan di hadapan tidak bergerak ketika lampu isyarat berwarna hijau, apa yang dicari? Hon bukan! Justeru, jangan menghina dan memperkecilkan hon.

Benar kata orang tua-tua, kadok kalau naik junjung, dia merasa dirinya sireh. Tetapi sireh, walau pun menjalar di bumi, tetap kekal sebagai sireh. Dia tetap dipungut oleh pemakan sireh. Hanya pemakan sireh yang kenal mana kadok dan mana sireh.

Kadok adalah kadok, sireh adalah sireh.

Buat mereka yang mengikuti perkembangan PAS di negeri paling utara semenanjung, ‘hati boleh panas, tetapi kepala mesti dingin’.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: