"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Elias YDP, Salleh Man Timbalan YDP MAIPP

Ali Hashim
GEORGETOWN, 1 Jan:
Spekulasi mengenai siapa yang akan menggantikan Shabudin Yahaya sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi penggal 2010 hingga 2012 telah terjawab apabila exco kerajaan negeri Abdul Malik Abul Kassim mengumumkan mengenai pelantikannya dalam satu kenyataan media semalam.
Bekas Pengarah Pusat Islam USM, Elias Zakaria dilantik sebagai YDP MAIPP manakala Ustaz Salleh Man, Adun Permatang Pasir dilantik sebagai timbalan YDP.

Menurut Abdul Malik lagi dengan pengumuman tersebut maka isu pelantikan siapa sebenarnya YDP MAIPP telah pun selesai. Abdul Malik juga menyelar sesetengah pihak yang mempertikaikan mengenai kerusi Timbalan YDP MAIPP yang diterajui oleh Mohd Salleh.

"Kerusi Timbalan YDP MAIPP bukanlah satu perkara yang baru. Ia telah lama diwujudkan. Sebelum ini pun jawatan ini pernah disandang oleh Allahyarham Datuk Ibrahim Yahya.

"Kerajaan Negeri sebelum ini tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi bersabit pelantikan ini kerana tidak mahu dituduh melangkaui kuasa Yang Dipertuan Agong sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

"Selain daripada dua jawatan tersebut Kerajaan Negeri juga melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Faiza Zulkifli, Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus sebagai pegawai ex-officio MAIPP."

Abdul Malik juga mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungei Bakap, Maktar Shapee, Datuk Hashim Yahaya, Dr.Danial Zainal Abidin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain, Norhayati Jaafar yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang, Abd Aziz Che Yacob, Zainudin Hanif dan beliau sendiri sebagai Ahli Jawatankuasa MAIPP.

"Kerajaan Negeri juga selepas ini meminta pentadbiran baru MAIPP untuk mengadakan audit luaran bagi mengetahui kedudukan sebenar agar pentadbiran baru ini dapat melaksanakan pentadbiran mereka selaras dengan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang menjadi prinsip perjuangan Kerajaan Negeri selama inim"katanya lagi.

Tiada ulasan: