"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua ekor lembu jadi penumpang sebuah kereta

Zuliaty Zulkiffli



JITRA: Tindakan nekad dua suspek meninggalkan sebuah kereta Proton Iswara di tepi jalan berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Paya Kamunting, di sini, akibat tayar pancit, membawa kepada penemuan dua lembu dipercayai dicuri untuk dijual kepada sindiket tertentu.

Kedua-dua lembu termasuk lembu betina yang bunting lapan bulan itu turut diikat keempat-empat kaki dengan tali dan disumbat ke dalam kereta yang sudah diubahsuai dengan kusyen belakang kereta ditanggalkan.

Haiwan ternakan milik penduduk di kawasan itu dipercayai diberi suntikan pelali bagi mengelak ia bertindak agresif selain tidak sedar ketika dalam perjalanan menuju ke tempat penyembelihan atau kepada sindiket terbabit.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata kejadian berlaku jam 7.15 pagi ketika anggota polis peronda yang melakukan rondaan di kawasan itu ternampak kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan, namun menyangka ia dibiarkan pemiliknya disebabkan tayar pancit.

Beliau berkata, apabila anggotanya berpatah balik ke lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian, pihaknya mendapati sesuatu yang mencurigakan dan berhenti di tepi jalan untuk membuat pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat dua ekor lembu diikat di bahagian belakang kereta itu dalam keadaan tidur dan mengesyaki haiwan itu dicuri pihak tertentu.

“Kereta Proton Iswara itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dengan trak penunda untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sawaludin berkata, pihaknya turut meminta bantuan Jabatan Veterinar Daerah untuk menjalankan pemeriksaan terhadap lembu terbabit dan hasil siasatan mendapati lembu itu disuntik dengan ubat pelali.

Beliau berkata, lembu itu dipercayai dicuri dua suspek di sekitar kawasan kejadian dan untuk dijual terus kepada sindiket atau dagingnya dijual.

“Setakat ini, kami masih mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri sebaik menyedari kereta dinaiki itu tayarnya pancit.

“Selain itu, kami turut menjalankan siasatan sama ada kereta itu dicuri atau sebaliknya kerana selepas membuat pemeriksaan pada nombor pendaftaran, didapati kereta itu milik seorang individu,” katanya.

-hmetro-

Tiada ulasan: