"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir semakin nyanyu dipenghujung usia


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Sambil berkata beliau bukannya rasis, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara ini.

Bekas perdana menteri mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.
Sebelum ini Dr Mahathir (gambar) pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.
Melahirkan pandangannya kepada Umno Online hari ini, bekas presiden Umno ini merujuk kepada bekas menteri besar Perak Datuk Ser Ir Mohd Nizar Jamaluddin selepas pilihan raya umum ke-12.
“Kita lihat Nizar  di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan dari DAP sehingga dia jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN (Barisan Nasional) menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat perdana menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Dr Mahathir berkata walaupun Nizar itu mewakili PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Menurutnya, menjadi Perdana Menteri negara ini tidak tertakluk kepada orang Melayu atau mereka yang beragama Islam, jawatan berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja, yang utama ialah mendapat sokongan di parlimen.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi perdana menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa,” katanya.
Dr Mahathir berkata, apa yang dilakukan oleh PKR bukan untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi perdana menteri.
“Malangnya Umno telah gugur orang ini, dalam perasaan marah peluang dia sudah terputus, dia tubuh parti lain, perjuangannya hanya satu sahaja bukannya untuk bangsa, agama dan negara tapi untuk jadi perdana menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi, itunya terbentuk keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh Keadilan (PKR) seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” katanya.
Beliau mengingatkan supaya tidak terpedaya dengan apa yang dilakukan oleh PR, mereka itu hanya untuk mengejar cita-cita menjatuhkan BN dari tampuk pemerintahan negara.
Menurutnya apa yang diperkatakan itu bukannya bersifat perkauman, tetapi kepada kestabilan, sedangkan DAP sering membangkit pelbagai perkara berunsur perkauman sejak dahulu lagi./malaysianinsider

*Mahathir semakin merapu apabila dia merasakan peluang untuk Umno/BN mempertahankan kuasa pada PRU yang akan datang semakin tipis. Dia cuba menakut-nakutkan pengundi melayu dengan isu 'melayu akan kehilangan kuasa' dan sebagainya.

Apakah yang telah dilakukan oleh umno yang memegang tampuk pemerintahan selama lebih 50 tahun untuk mempertahankan majoriti dari segi bilangan penduduk. Berapa peratus orang melayu semasa merdeka dan berapa peratus yang ada sekarang? Cuba lihat di Pulau Pinang berapa peratus orang melayu yang masih ada, bukankah umno/bn yang berkuasa selama ini.

Dari segi ekonomi/hartanah adakah milik orang melayu semakin bertambah atau menyusut? Rezab tanah melayu berapa yang tinggal sekarang, mana perginya kenapa tak diganti.

Siapa yang menganugerahkan gunung, bukit, pulau, tanah, Tun, Tan Sri dan segala macam gelaran kepada orang-orang terkaya di Malaysia ini yang majoritinya orang bukan melayu. 

Apa yang dikatakan oleh Mahathir sebenarnya adalah usaha untuk menyelamatkan dirinya dan pemimpin-pemimpin umno/bn yang telah banyak melakukan penyelewengan dan salahguna kuasa. Sekiranya Pakatan Rakyat menang tentulah segala kejahatan ini akan dibongkar. Itulah yang ditakutinya sekarang ini. Tidak berbangkit langsung soal kehilangan majoriti kuasa politik.

Marilah kita tinggalkan perjuangan perkauman yang sempit dan menyertai perjuangan Islam yang adil untuk semua tidak mengira bangsa.

Keadilan Islam boleh merubah dan meyatukan hati manusia. - kerengga

Tiada ulasan: