"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua lelaki dicari bantu kes tiga remaja hilang ketika Aidilfitri

KAMPAR, 20 Sept: Polis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kehilangan tiga remaja perempuan, dua daripadanya pasangan kembar yang dilaporkan hilang sejak 11 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata dua lelaki itu, Shahrizan Zakaria, 20, beralamat di Sungai Nibong, Kota Setia, Kampung Gajah dan Mohamad Akmal Hakim Ismail, 19, beralamat di Kampung Hujung Rintis, Kota Setia, Kampung Gajah.

Kedua-dua lelaki berkenaan, yang bekerja sendiri, dipercayai bersama dengan tiga remaja berkenaan sejak dilaporkan hilang pada hari raya kedua, kata Abdul Aziz pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Khairul Azhar atau Roy pernah bersama-sama dengan tiga remaja itu tetapi lelaki berkenaan sudah pulang ke rumahnya di sini.

Lelaki berkenaan telah membantu polis memberi keterangan berhubung dengan kehilangan tiga remaja berkenaan, katanya.

Beliau berkata polis percaya ketiga-tiga remaja dan bersama dua lelaki itu masih berada di Kampung Gajah, bagaimanapun polis gagal menemui mereka di situ ketika polis mencarinya.

Katanya kali terakhir ibu remaja adik-beradik kembar itu menerima panggilan telefon daripada mereka adalah pada 15 September lepas.

Abdul Aziz berkata pihaknya masih lagi menyiasat dan berusaha mencari ketiga-tiga remaja berkenaan.

Polis akan menyiasat kes kehilangan itu mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang daripada penjaga (jika kedua-dua lelaki itu terbabit melarikan dua remaja itu), katanya.

Mereka yang masih hilang itu, dua adik-beradik kembar Nurulashiqin dan Nurulain Kamarazmi dan rakannya Suhaili Abdul Razak. Masing-masing berusia 14 tahun dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sentosa Taman Bandar Baru, Kampar.

Abdul Aziz meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai mereka agar tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di nombor telefon 05-4652222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-Bernama-

Tiada ulasan: