"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

I'Da World batal niat laksana projek RM313b di K'tan

Syarikat I'Da World Group Sdn Bhd memutuskan untuk membatalkan niatnya melaksanakan cadangan projek pembangunan bernilai RM313 bilion di negeri Kelantan.

"Jadi projek yang kita hendak buat di negeri Kelantan itu telah dibatalkanlah. Kita hendak tutup cerita ini. Saya pun dah malas dah. Kalau dia kata kita disenaraihitamkan, kita hendak tegakkan apa lagi?" kata pengerusi eksekutifnya, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Kita tarik diri. Minta maaflah. Mereka kata tidak mahu, apa lagi kita boleh buat?," katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kelana Jaya hari ini.

Abdul Rahim berkata syarikatnya juga belum mempunyai wang RM4 bilion yang hendak didermakan kepada PAS Kelantan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, beliau akan meneruskan usaha untuk menjayakan projek di negeri-negeri lain.

Syarikat itu dilanda kontroversi ekoran tindakannya yang mengekut semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan bahawa sumbangan RM4 bilion itu merupakan satu bentuk bayaran pendahuluan daripada jumlah keuntungan daripada projek yang hendak dilaksanakan itu.

"Tiap-tiap negeri, bila buat projek usahasama, 20 peratus akan diperolehi kerajaan negeri, 80 peratus kepada (rakan niaga). Jadi bila bercakap tentang RM300 bilion, 20 peratus itu lebih kurang RM60 bilion.

"Jadi dalam RM4 bilion tadi, sebenarnnya (replika cek) itu tidak ada haribulan. Duit ini kita hendak beri bila kita dapat buat kerja (jalankan projek), dasar daripada 20 peratus tadi," tambahnya.

Katanya lagi, beliau telah berusaha untuk menjalankan projek tersebut sejak tahun 1998 lagi melalui sebuah syarikat dikenali Asas Naim Holdings.

"Pada masa itu Tuanku (Ismail Petra) masih sihat lagi," tambahnya.

Bagaimanapun, sumbangan RM4 bilion yang ingin disumbangkan kepada PAS seperti yang tercatat pada replika cek itu mencetuskan kontroversi.

PAS juga menafikan parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan.

Tiada ulasan: