SHAH ALAM 17 SEPT: Ulama dan pimpinan politik Islam bimbang pembukaan sebuah sekolah di Jasin, Melaka yang bertujuan menempat pelajar hamil, hanya membawa mesej menggalakkan perbuatan zina.
Mereka sebaliknya berpendapat usaha pencegahan terhadap gejala sosial terutama amalan seks bebas, harus dilipat ganda tetapi pembukaan sekolah itu membawa golongan ke arah bertentangan.
Bercakap kepada TV Selangor, Pengerusi Sekratariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ghani Shamsuddin berkata usaha kerajaan Melaka itu tidak relevan dan patut ditarik balik.
"Pelajar pun belum daftar, buat apa bina sekolah? Apa yang mahu dibuat?" katanya yang lebih percaya terhadap usaha mentarbiah pelajar lebih berkesan bagi menangani gejala seks bebas.
Beliau khuatir pembukaan sekolah berkenaan memberi isyarat salah di kalangan remaja yang menjadikan mereka lebih cenderung melakukan zina lantaran tidak lagi perlu bimbang faktor persekolahan.
"Jadi, remaja tidak lagi takut (melakukan seks haram) kerana kalau termengandung pun, mereka tahu ada sekolah yang terima mereka," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kesal kerana kerajaan Melaka tergesa-gesa dan tidak mengadakan perancangan teliti sebelum membuka sekolah berkenaan.
Mengakui remaja yang terlanjur perlu dibantu, beliau yakin ada banyak cara lain boleh difikirkan tetapi berpendapat, pembukaan sekolah berkenaan tidak akan mengatasi masalah pokok.
"Ini tidak, semuanya tergesa-gesa. Tidak ada kajian, tidak ada perancangan. Kita sendiri pun tidak tahu konsep bagaimana yang mahu dibawa sekolah itu," katanya ketika dihubungi TV Selangor di sini, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan