Nasrudin Hassan
1. Kes Noor Afizal Azizan yang baru sahaja terlepas dari hukuman penjara sangat memeranjatkan majoriti rakyat Malaysia terutama mereka yang mengikuti perkembangan kes ini. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga sangat terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonannya bagi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebaskannya dengan perintah berkelakuan baik selama lima tahun dengan ikat jamin RM25,000 kerana merogol gadis bawah umur memandangkan dia mempunyai masa depan yang baik.
2. Melalui bon jaminan berkelakuan baik atas kesalahan merogol bawah umur, seorang lagi pesalah rogol telah dibebaskan dari hukuman penjara. Chuah Guan Jiu, 22 seorang juru elektrik yang didapati bersalah merogol teman wanitanya yang berusia 12 tahun sebanyak dua kali pada tahun lepas tetapi pesalah ini juga turut dibebaskan dengan ikat jamin RM25,000 dengan bon jaminan berkelakuan baik.
3. Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia, hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah laku jenayah rogol ini terlalu ringan. Maqasid atau tujuan hukuman dijatuhkan adalah untuk memberikan kesedaran kepada pesalah laku dan juga masyarakat lain agar tidak melakukan jenayah yang sama.
4. Impak dari keputusan mahkamah yang membebaskan dua penjenayah ini dari hukuman penjara sangat-sangat membimbangkan kerana ianya mungkin menjadi sumbangan kepada kejatuhan sosial yang buruk terutama di kalangan mereka yang mempunyai duit dan “masa depan yang baik”.
5. Apabila kedua penjenayah ini dibebaskan hanya dengan membincangkan masa depan kedua mereka. Bagaimana pula dengan mangsa ? keadilan bagaimana diberikan kepada mangsa ?
Antara perkara yang dibimbangi oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah ;
1) Selepas ini adakah sekiranya individu yang mempunyai masa depan yang baik dan dia didapati bersalah, mereka ini akan hanya dikenakan perintah berkelakuan baik dan ikat jamin RM25,000 untuk kesalahan pertama kali?
2) Apakah jaminan pesalah pertama kali yang diperintahkan untuk berkelakuan baik akan benar - benar berkelakuan baik dalam tempoh tersebut berbanding dengan pemantauan rapi seperti di dalam penjara ?
Keputusan seperti ini sangat membimbangkan kerana ianya akan ditafsirkan oleh masyarakat bahawa mereka yang mempunyai wang yang banyak untuk diikat jamin dan melakukan jenayah rogol buat pertama kalinya tidak akan dikenakan hukuman penjara.
Jadi apa bezanya si penjenayah yang mengupah budak bawah umur untuk melakukan zina dengannya lalu dibayar padanya RM 25,000 ?
Apa jaminan terhadap masa depan mangsa setelah sabit kesalahan ke atas perogolnya ?
6. Dalam Islam Rogol ialah satu jenayah yang hina serta dilarang oleh semua agama. Malah tiada insan yang normal boleh menerimanya. Semua sistem dan undang-undang dunia menganggap perbuatan ini sebagai keji dan mengenakan hukuman paling berat keatasnya. Islam mempunyai pendirian jelas yang menyatakan yang perbuatan terkutuk ini haram (dilarang) dan mengenakan hukuman pencegahan atas seseorang yang melakukannya.
7. Keganasan jenayah ini diperjelaskan melalui penggunaan kalimah bahasa arab yang menyebut rogol sebagai ightisab iaitu mengambil sesuatu secara salah dengan kekerasan.
8. Menurut Dr. Ahmad Yusuf Sulaiman, professor undang-undang Syariah Islamiyyah di Universiti Kaherah, "Jika seorang perempuan dirogol, dia sepatutnya menyaman orang yang merogolnya. Jika terbukti yang dia dirogol, maka mahkamah mesti mengenakan hukuman ta`zir (mengikut budi-bicara hakim) atas perogol. Hukuman ta`zir itu boleh mencapai hukuman mati, mengikut beberapa mazhab. Hal ini sama sekali berdasarkan atas bukti yang rogol itu disahkan melalui ujian perubatan dan proses mahkamah, jika tiada pengakuan dari perogol itu sendiri".
"Dalam kes yang perogol mengakui jenayah itu, maka hukuman zina dikenakan atasnya. Jika dia tidak berkahwin, maka dia disebat 100 sebatan. Jika dia berkahwin, maka dia direjam hingga mati".
"Untuk mangsa rogol, tiada hukuman dikenakan atasnya. Dia mesti dilayan dengan mulia dan hormat, dan semua bentuk pertolongan mesti diberi kepadanya untuk mendapatkan haknya".
9. Perogol pula tertakluk kepada hukuman hadd untuk zina, walaupun jika rogol itu tidak dilakukan dengan pisau atau senjata api . Jika senjata digunakan untuk mengancam, maka dia ialah muharib, dan tertakluk kepada hukuman hadd yang dinyatakan dalam ayat Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 33 yang bermaksud,
"(Sesungguhnya pembalasan terhadap orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar)"
10. Justeru, bagaimanakah kes Noor Afizal Azizan yang mengaku di mahkamah beliau bersalah tetapi masih dibebaskan daripada dikenakan hukuman yang setimpal ? Adakah hanya semata-mata dia seorang atlit yang kononnya beliau memiliki masa depan yang cerah untuk mengharumkan negara ? Harumkah nama negara bila ia diperjuangkan oleh penjenayah ?
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Salam Perjuangan dari ~ Aku Pejuang IsLam ~ [ API ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan