SMS 'undi PAS masuk syurga' dari BN?
Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), mendedahkan bahawa sistem pesanan ringkas kononnya 'mengundi PAS masuk syurga' yang disebar menjelang PRU13 pada Mei lalu didakwa dari jentera Umno BN.
Penyelarasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, perkara itu disedari apabila satu lagi mesej sempena sambutan Maal Hijrah baru-baru ini dihantar melalui nombor yang sama yang menyebut ianya dari BN.
Mesej pertama yang diterima Mei lalu, berbunyi, “Ingatlah syurga neraka apabila mengundi. Undi PAS ke syurga, undi Umno ke neraka. PAS parti Allah (hizbullah), Umno parti syaitan”.
Mesej kedua yang diterima sebelum Maal Hijrah pula berbunyi “Salam. Selamat menyambut Maal Hijrah 1435H daripada Barisan Nasional “Bersatu Bersama Bergerak Ke Hadapan”.
“Mesej pertama diterima ketika kempen PRU13 lalu dan saya percaya mereka terlupa atau menyangka tidak ada yang perasan penghantaran mesej kedua sebelum Maal Hijrah, baru-baru ini.
“Bagi telefon bimbit yang menggunakan sistem Android, setiap sms yang diterima akan menyebabkan mesej lama turut dipaparkan jika belum dipadam. Inilah yang dikatakan sepandai-pandai tupai melompat,” kata Badrul Hisham dipetik Selangor Kini.
Taktik menggunakan SMS sebagai senjata perang psikologi menjadi trend sejak akhir-akhir ini khususnya menjelang pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil.
Terbaru, taktik serupa malah lebih licik berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sungai Limau baru-baru ini apabila nombor telefon beberapa pemimpin PAS dipintas untuk digunakan menyebar SMS palsu yang bersifat fitnah dan provokasi.
Antara yang menjadi mangsa termasuklah Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah, Adun Pangkalan Kundur Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan bekas Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan