SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Nampaknya saya dan keluarga kenalah ikat perut. Hal ini kerana harga barangan keperluan harian semakin hari semakin membimbangkan melambung naik. Bayangkan harga ikan kembung, selar dan berjenis ikan lain yang manusia boleh makan sudah naik harganya hingga mencecah RM20 sekilogram dan udang yang kecil saja saiznya dahulunya RM10 sekilogram kini sudah RM28 sekilogram.
Adakah kita akan menghadapi inflasi atau mata wang kita sudah susut nilainya ataupun keadaan terpaksa kerana fenomena di seluruh dunia menghadapi ancaman dan turut terlibat menghadapi situasi sebegini? Ataupun adakah negara kita saja berhadapan dengan masalah kerana tidak bijak menanganinya.
Apa akan jadi nilai RM100 pada tahun 2020 nanti? Adakah dengan nilai sebegitu pada masa itu hanya mampu beli sekilo udang atau sotong? Atau dengan nilai wang kertas RM100 hanya boleh bertahan makan nasi lemak di sebelah pagi dan untuk makan tengah hari sahaja tetapi untuk makan malam sudah tidak mampu lagi?
Inilah yang merisaukan kita kalau tidak berhati-hati menangani secara bijak untuk mengatasi segala masalah yang kita hadapi sekarang ini. Perlukah dalam keadaan sebegini harga tarif eletrik, harga minyak dan bahan api yang lain serta harga tol hendak kita naikkan lagi dalam keadaan tergesa-gesa dan agak serentak itu?
Diharap ia dapat ditangguhkan sehingga rakyat bersedia dan pendapatan rakyat lebih terjamin lagi. Kalau sekiranya kita mampu berikan gaji sekurang-kurangnya sekali ganda apa yang pekerja dapat dinegara ini ketika ini silakan kerana ia bolehlah dikatakan seimbang tetapi kalau sebaliknya risiko untuk ikat perut sampai terjerut itu berpotensi sangatlah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan