Nazli Ibrahim
SHAH ALAM: Kesengsaraan meredah banjir ketika isteri demam panas tanpa bantuan mana-mana agensi kerajaan, antara punca seorang warga emas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dengan kudrat tahap usia 60 tahun, Rashid Daud terpaksa mengharungi banjir hampir paras pinggang sejauh 200 meter bersama isterinya, kemudian terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer.
Sekalipun mengidap penyakit gout dan darah tinggi manakala isterinya pula kebetulan demam panas, mereka tiada pilihan selain meneruskan perjalanan bagi menyelamatkan nyawa dari ancaman banjir.
Dalam hujan lebat pula, beliau yang sebelum ini menetap di Kampung Tanah Putih, Kuantan, terpaksa meminta belas pengguna jalan raya untuk menumpang ke pusat pemindahan banjir di sebuah sekolah berhampiran.
Belumpun hilang penat meredah rintangan, kesengsaraan mereka belum berakhir berikutan pusat pemindahan tidak menyediakan makanan dan keperluan asas secukupnya.
“Bila sudah sampai tempat selamat, makanan dan keperluan asas pula tak cukup, kalau tunggu terpaksalah berlapar,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.
Selain mereka, katanya, seorang penduduk kampung sama yang lumpuh juga tidak mendapat bantuan dari agensi kerajaan untuk berpindah ke tempat selamat.
“Nasib baik ada penduduk yang mempunyai bot membantu memindahkan pesakit ‘stroke’ itu ke tempat selamat,” katanya.
Rashid kesal kerana kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Pahang tidak peduli akan derita penduduk hingga mendorong beliau bersama hampir 100 penduduk meninggalkan Umno.
“Keputusan ini diambil kerana kecewa dengan kerajaan BN yang tidak pedulikan keselamatan kami.
“Sedangkan kami lihat, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bukan sahaja cuba usulkan isytihar darurat di Kuantan, malah dengan sumber terhad menolong apa yang termampu,” katanya.
Beliau kecewa kerana tiada operasi menyelamat dilakukan agensi kerajaan sama ada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA), polis atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun memiliki kelengkapan mencukupi.
“Tiada satu pun bantuan menyelamat dari agensi kerajaan sedangkan mereka mempunyai bot, trak dan sebagainya yang lengkap tetapi tidak digerakkan,” katanya.
Sebelum ini, usul ‘kecemasan’ supaya Kuantan diisytihar sebagai kawasan darurat ditolak Speaker Dewan Rakyat dari BN untuk dibahas dengan alasan permohonan itu memerlukan notis dua hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan