Ahmad Lutfi Othman
ARAHAN Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi secara terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom agar mengambil tindakan kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ekoran isu Syiah semasa perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu menarik perhatian ramai.
Hairan juga Zahid secara menjolok mata bertindak lebih superior kepada rakan kabinetnya, dalam perhimpunan parti pula, suatu amalan yang bercanggah dengan kelaziman urus tadbir. Memang sejak lama, pemimpin Umno tidak pernah membedakan antara kepentingan parti dengan kerajaan.
Apa nak dihairankan ... Dalam PAU juga, perwakilan dan pemimpin Umno dengan jelas membayangkan untuk membolot khazanah kekayaan negara di kala kita bakal berdepan situasi tidak menentu ekonomi.
Apabila kontrak kerajaan dan posisi strategik, termasuk dalam GLC, diserahkan tanpa merit kepada kroni Umno-BN, seperti dipersetujui perwakilan, maka keadaan tidak menentu itu akan semakin cepat membarah dan rakyat yang dijerut kenaikan kos sara hidup lebih tercekik lagi.
Sementara saya menganggap Zahid cuba berlagak samseng dan menonjolkan diri sebagai hero di gelanggang sendiri, kolumnis terkemuka A Kadir Jasin lebih terkesan dengan ucapan penggulungan Najib Razak yang begitu menyanjungi isterinya, Rosmah Mansor.
Dikhabarkan, berita tentang Zahid, Rosmah, pakej Islami tulisan Kadir yang disiarkan laman Astro Awani terpaksa ditarik balik atas arahan pegawai Jabatan Perdana Menteri.
Pelik memikirkan mengapa Najib perlu respons sebegitu rupa terhadap rungutan mengenai karenah isterinya, yang bunyinya juga tidak disenangi Dr Mahathir Mohamad. Jika Abdullah Ahmad Badawi dikritik kerana menyerahkan kuasa kepada menantunya, Najib pula kerap tunduk dengan kemahuan dan selera Rosmah.
Sungguh malang nasib negara tercinta ini!
Dalam masa sama, seorang lagi menteri Ahmad Shabery Cheek, yang juga Ahli Parlimen Kemaman, daerah yang teruk dilanda banjir, akhirnya mengaku kemudahan kepada mangsa, seperti tilam, beg tidur dan khemah perlu diteliti semula bagi memastikan keselesaan.
Jika negara bukan Islam seperti Jepun cukup mementingkan privacy mangsa bencana, apa kah kita sanggup melihat mereka tidur bergelimpangan di lokasi terbuka? Sewajarnya kita yang dipandu hukum perlu lebih prihatin bukan saja dengan privacy tetapi juga soal kehormatan diri dan penjagaan aurat.
Ya, pengurusan bencana di negara ini, termasuk banjir, perlu lebih manusiawi dan Islami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan