MOHAMED HANIPA MAIDIN
MUNGKIN Haji Mohamad Sabu ialah pemimpin PAS paling kerap diuji dengan pelbagai ujian. Apa yang Umno tidak lakukan bagi mendepani Mat Sabu. Di tahan ISA dua kali Mat Sabu tetap istiqamah. Ditangkap dan ditahan dilokap terlalu banyak dan kerap.
Didakwa di mahkamah, dulu, kini dan tidak tahu sampai bila. Siapakah pemimpin PAS yang terpaksa berhadapan dengan lebih 1000 laporan polis selain Mat Sabu? Mungkin laporan sebanyak itu boleh tersenarai dalam Buku Rekod Guiness sebagai laporan yang paling banyak di Malaysia atau di Asia atau mungkin juga di dunia.
Semasa kes Almarhum Mat Indera dahulu, ada yang minta Mat Sabu ditarik kerakyatan, di buang negara, diancam dengan simbahan asid ke atas beliau dan keluarga, dicuba bakar rumahnya, diganggu ceramahnya, dipotretkan gambarnya dengan bintang tiga dan akhirnya didakwa di mahkamah.
Kita tidak pasti adakah Umno masih mempunyai senarai tuduhan baru di dalam stoknya untuk dilabelkan ke atas Mat Sabu selepas label Syiah. Tidak peritkah insan bernama Mat Sabu jika musuh di luar dan juga kawan di dalam berkongsi menuduh beliau dengan tuduhan Syiah.
Tapi itulah Mat Sabu. Dalam keadaan orang ramai beristirehat di rumah beliau berceramah di seluruh pelosok daerah dan kampung menyedarkan rakyat betapa bobroknya Umno dalam memerintah negara. Jika orang lain gembira meraikan perkahwinan anak gadis mereka, Mat Sabu pula dikepung , dipecah cermin keretanya dengan ganas, digari, ditangkap dan diaibkan saat beliau dan keluarga ingin meraikan perkahwinan anak gadisnya. Untuk Umno, adakah kamu fikir Allah melupakan segala kezaliman yang kamu lakukan ke atas Mat Sabu?
Sebagai peguam beliau, saya hanya boleh menitiskan air mata mengenang bagaimana Timbalan Presiden PAS itu terpaksa tidur di kerusi di luar mahkamah seawal pukul 8 pagi dan dikejut oleh pengawal keselamatan. Apabila ditanya mengapa tidur di situ, beliau memberitahu balik dari berceramah hampir dini hari dan kerana gusar akan lewat menghadiri perbicaraan jika balik ke rumah, maka beliau terus ke mahkamah.
Saya tidak lupa seorang hakim bukan Islam memberitahu saya betapa hormatnya dia kepada Mat Sabu kerana meskipun sibuk, beliau masih menghormati mahkamah dengan selalu hadir ke mahkamah mengikut masa yang ditetapkan.
Pemimpin Umno tersilap besar jika merasakan Mat Sabu akan lemah dengan serangan yang bertubi-tubi dan tidak pernah berhenti. Jika Umno berfikir begitu, jelas Umno belum kenal siapa Mat Sabu. Mat Sabu adalah insan yang makin dituduh makin dirempuh Umno. Makin diancam makin geram beliau kepada Umno. Makin ditangkap makin cekap dia menyerang Umno. Makin didakwa , makin berstamina beliau untuk terus melawan kezaliman Umno.
Bagi saya tuduhan Zahid Hamidi bahawa Mat Sabu sebagai pemimpin Syiah dan dikatakan Syiah adalah sesat dan mengancam keselamatan negara adalah tuduhan yang paling memualkan saya. Mana tidak mualnya apabila pemimpin Umno bercakap tentang isu sesat. Isu sesat ada kaitan dengan agama dan sejak bila Umno benar benar serius dengan agama? Apabila Zahid bercakap tentang kesesatan Syiah saya terpaksa menutup mulut agar tidak termuntah.
Sejak bila pula pemimpin Umno seperti Zahid seorang yang arif tentang mazhab? Sejak bila pula Umno tiba tiba berminat bercerita tentang akidah ahli sunnah wal jamaah? Kenapakah apabila pemimpin Umno bercakap menghina hukum dan syariat Islam tidak pula kita dengar Zahid Hamidi bercakap tentang perlunya kita menjaga akidah ahli sunnah wal jamaah? Apabila ada pemimpin Umno menghina janggut Nabi tidak pula timbul isu akidah ahli sunnah wal jamaah? Adakah kini wujud kesesatan terpilih selepas pendakwaan terpilih?
Apabila Zahid Hamidi berucap di Melaka dan meminta polis tembak sahaja para penjenayah tanpa perlu mereka dibicara dan diberi hak membela diri, maka kita ingin tahu adakah ini proses keadilan yang dianjurkan oleh penganut Islam yang bermazhab ahli sunnah wal jamaah?
Apabila wang negara dibazirkan dengan rasuah, pembaziran, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa adakah akidah ahli sunnah wal jamaah tidak ada masalah kepada hal tersebut?
PENDIRIAN UMNO TENTANG SYIAH
Semasa di Parlimen saya pernah menyuarakan kepada Menteri Luar apakah sebenarnya pendirian Umno tentang Syiah? Jika semua firqah dalam Syiah adalah sesat mengapakah Kerajaan Malaysia melalui Tun Abdullah Badawi, Dato Seri Shahidan Kasim dan Khairy Jamaluddin menandatangani Amman Message yang berpusat di Jordan yang mengiktiraf mazhab Syiah Jaafariyyah dan Zaidiyyah di samping mazhab Ibadhi dan sunni sebagai mazhab yang diiktiraf sah oleh Islam? Malangnya Menteri tidak dapat menjawab soalan saya sehingga kini.
Untuk makluman Amman Message yang mengiktiraf mazhab Jaafari dan Zaidiyyah sebagai sah di dalam Islam bukan sahaja ditandatangani oleh Malaysia malahan banyak negara Islam lain termasuk ulama besar dari pelbagai mazhab seperti Syaikh Abdullah Al Bayyah, ulama tersohor dari Mauritania.
Jika Umno benar-benar yakin semua firqah dalam Syiah adalah sesat maka paling kurang tunjukkan satu sikap yang konsisten . Janganlah terus menerus menjadi bahan ketawa di dalam dan di luar negara. Tidak malukah kamu , jika di luar negara pemimpin kamu sendiri mengakui mazhab Syiah tiba tiba di dalam negara kamu mengambil pendirian berbeza?
Jika Umno yakin semua firqah dalam mazhab Syiah adalah sesat dan Mat Sabu dikira Syiah kerana memuji pemimpin besar Iran iaitu Ayatullah Khomeini, maka kita minta Zahid Hamidi tolong jelaskan isu berikut.
Mengapakah Malaysia tidak melarang mana mana qari Iran menyertai majlis tilawah Al Quran yang dianjurkan negara ini setiap tahun? Jika Iran adalah negara Syiah dan jika qari Iran adalah bermazhab Syiah dan Syiah pula dikira sesat dan mengancam Negara, mengapakah qari yang dikira sesat itu dibenarkan membaca al Quran di Malaysia dan dibenarkan pula menjadi johan oleh para juri?
Adakah masuk akal qari yang bermazhab sesat dibenarkan membaca Al Quran? Tidakkah ini satu penghinaan kepada Al Quran apabila qari yang dikatakan sesat dinobatkan sebagai pembaca Al Quran yang terbaik di dalam majlis tilawah? Bukankah membenarkan qari yang dikira sesat datang ke negara kita akan meletakkan negara kita kepada ancaman kesesatan?
1 ulasan:
this could be the reason why the mufti of Saudi was here recently.
Meanwhile, reports from Malaysia indicate that parallel to a clampdown on Shia Muslims in the country, Saudi-based Wahhabi beliefs are being promoted in the southeast Asian nation. Riyadh has reportedly transferred $80 billion fund to Malaysia for the task.
Catat Ulasan