"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa agaknya Datin Tapau di Putrajaya


Sesekali berkunjung ke kementerian atau jabatan kerajaan di Putrajaya memang membuatkan telinga sarat dengan cerita-cerita menarik yang kadangkala menjadikan kita geleng kepala dan tersenyum sendirian.

Ada pelbagai cerita gembira, sedih dan lucu yang melibatkan perangai atau kelakuan manusia yang boleh kita dengar jika rajin berbual dan berceloteh dengan mereka. Kadang-kadang pula, dengan rajin memasang telinga juga membolehkan kita mendengar bermacam-macam cerita.

Walaupun Putrajaya adalah sebuah bandar pentadbiran yang indah, moden, mengkagumkan dan bertaraf kelas pertama tetapi tanpa di sangka masih ada kakitangannya yang berminda lekeh umpama kelas ketiga, terutama berkaitan dengan makanan.

Jika selalu kita dengar yang membungkus makanan atau "tapau" selepas jamuan adalah kalangan kakitangan rendah seperti kerani dan setaraf dengannya, itupun untuk mengelakkan makanan itu terbuang begitu saja, rupa-rupanya fenomena "tapau" ini juga menjadi habit di kalangan bos-bos, orang atasan dan yang bergelar Datin sekali pun.

Di sebuah jabatan yang terkenal di Putrajaya di mana kerap mengadakan mesyuarat-mesyuarat penting melibatkan kepentingan negara, penyedia makanannya bukanlah syarikat katering biasa tetapi adalah daripada sebuah hotel yang berbintang-bintang tarafnya.

Setiap kali diadakan mesyuarat, bos di jabatan tersebut selalunya akan mengarahkan kakitangannya membuat tempahan yang lebih daripada jumlah kehadiran. Misalnya, jika yang hadir mesyuarat seramai 20 orang, maka akan diminta membuat tempahan makanan untuk 30 orang daripada hotel tersebut.

Maknanya, 20 hidangan untuk keperluan mesyuarat manakala yang 10 lagi itu ialah untuk keperluan peribadi bos bergelar Datin itu. Sudah tentu semua bil jamuan itu dibayar melalui peruntukan kerajaan.

Apa yang lebih menjengkelkan, bos yang popular dengan gelaran "Datin Tapau" itu juga mahukan bahagiannya itu dibungkus dalam bekas berasingan dan dihantar kepadanya lebih awal sebelum mesyuarat bermula.

Ini menyebabkan kakitangan jabatan berkenaan dan petugas katering seringkali kelam-kabut setiap kali menyediakan makanan di jabatan tersebut kerana terpaksa memenuhi dua keperluan dalam satu masa.

Tetapi oleh kerana Datin tersebut merupakan bos di jabatan itu, maka kehendaknya terpaksa dituruti tanpa banyak soal sama ada kakitangan bawahannya atau pun petugas katering.

Cerita "Datin Tapau" ini bukan saja sudah menjadi bualan di kalangan kakitangan jabatan berkenaan tetapi juga di antara sesama petugas hotel yang ditugaskan menyediakan makanan itu.

Mereka kadangkala hairan bila ketikanya "Datin Tapau" itu mahu menjamah makanan yang "disonglap secara licik" dengan menggunakan duit kerajaan itu dan adakah kesemua makanan itu untuk keperluannya bersama kawan-kawannya ataupun mahu dibawanya pulang untuk hidangan ahli-ahli keluarganya?

Apa yang merisaukan petugas hotel berkenaan juga ialah hidangan yang ditapau itu bukan saja hidangan makan tengahari atau minum petang, bahkan termasuk juga hidangan sarapan pagi.

Mereka bimbang, jika hidangan sarapan pagi misalnya jika dibawa pulang ke rumah oleh Datin tersebut setelah tamat waktu pejabat, ianya mungkin terdedah kepada keracunan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sepertimana yang disebut tadi, cerita membungkus atau membawa balik makanan mungkin menjadi lumrah di kalangan kakitangan bawahan, tetapi tentulah agak luar biasa jika di kalangan bos-bos yang bergelar Datin juga berperangai sama.

Nafsu rupa-rupanya tidak mengenal rupa, darjat, kedudukan dan harta.

Tiada ulasan: