"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Artikel Zakir Naik: Dr Asri bidas M’kini

Percubaan Malaysiakini untuk mengaitkan pendakwah Islam Dr Zakir Naik dengan keganasan amat jelek dan tidak berasas.

Lebih buruk lagi cuba untuk mengaitkan pemimpin kerajaan Malaysia yang menghormati kedatangan Zakir pada April lalu seakan melayan pengganas.

Ada perkara yang saya secara peribadi setuju dan juga tidak setuju dengan pendekatan Zakir itu. Namun untuk mengaitkan beliau sebagai pendakwah yang menggalakkan keganasan sangat tidak benar.

Saya mendengar banyak ceramah beliau, saya tidak dapati hal yang seperti itu.

Saya pelik mengapakah Malaysiakini begitu memusuhi para pendakwah seperti Zakir tanpa alasan yang kukuh.

Saya kurang hairan jika HINDRAF ataupun ASWAJA tidak setuju dengan Zakir kerana memang demikian cara mereka.

Saya rasa perasan terpendam Malaysiakini ialah kebencian dan rasa permusuhan yang mendalam terhadap Islam itu sendiri.

Jika benar Malaysiakini itu mewakili hati jiwa pihak yang ingin menukar kerajaan yang sedia ada, saya rela berdiri teguh memastikan kerajaan yang ada terus berkuasa.

Itu lebih baik daripada suatu keadaan yang lebih buruk yang akan berlaku.

Lebih baik kekal dalam keadaan yang ada daripada bertukar kepada suasana permusuhan agama, kebencian yang dibakar atas permusuhan terhadap satu agama, khususnya Islam.

Saya akan berdiri tegap mempertahankan apa yang ada dari mengubah kepada sesuatu yang saya rasa bersedia memusuhi agama saya tanpa sebab.

Nota Editor:

Kami merujuk catatan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin di Facebook dan mengucapkan terima kasih atas maklum balasnya.

Untuk penjelasan, berita berkenaan dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris Bangladesh, The Daily dan bukannya tulisan daripada wartawan Malaysiakini.

Dalam artikel bertajuk ‘Pengganas dalam serangan Dhaka ikut Zakir Naik’ itu, kami langsung tidak mengaitkan Dr Zakir Naik dengan keganasan apa lagi melabelkannya sedemikian.

Malah, dua hari selepas itu, apabila Dr Zakir Naik menafikan laporan yang mengaitkannya dengan pengganas, kami adalah antara portal berita yang pertama menyiarkannya secara panjang lebar.

Kami juga menyiarkan kenyataannya bahawa video di mana beliau didakwa menggesa semua umat Islam supaya menjadi pengganas sebenarnya telah dipalsukan.

Begitu juga dengan pengakuannya bahawa beliau tidak pernah mengenali Osama bin Laden.

Dakwaan Dr Asri kononnya Malaysiakini cuba untuk mengaitkan pemimpin kerajaan Malaysia yang menghormati kedatangan Dr Zakir pada April lalu seakan melayan pengganas adalah tidak tepat.

Apa yang kami paparkan adalah di sebalik kontroversi dan tentangan oleh masyarakat bukan Islam, pemimpin tertinggi negara menyanjung pendakwah itu dan memberinya layanan dengan penuh hormat.

Malah, semasa kunjungannya, kami sendiri memohon kepada pihak penganjur untuk mewawancaranya tetapi kerana kesuntukan masa permintaan itu tidak dapat dipenuhi.

Malaysiakini menegaskan, kami tidak pernah memusuhi Dr Zakir Naik mahupun pendakwah Islam lain.

Malah sepanjang Ramadan, kami juga menyiarkan beberapa siri artikel mengenai golongan mualaf di negara ini.

Malah, Malaysiakini juga berbangga kerana mempunyai sebahagian besar kakitangan beragama Islam, termasuk beberapa mualaf sebagai tenaga kerjanya.

Justeru, dakwaan bahawa terpendam kebencian dan rasa permusuhan yang mendalam Malaysiakini terhadap Islam cukup menguris hati kami.

Kami sentiasa menjunjung bahawa Islam adalah agama persekutuan tetapi pada masa yang sama menghormati kepelbagaian bangsa dan agama di negara ini.

Malaysiakini juga menafikan sekeras-kerasnya kami ingin menukar kerajaan yang sedia ada.

Pendirian kami adalah jelas - untuk menjadi portal berita bebas - menyiarkan berita tanpa memihak kepada kerajaan mahupun parti pembangkang dan sentiasa membela golongan rakyat yang tertindas termasuk golongan minoriti yang dipinggirkan.

Bukan urusan Malaysiakini untuk menentukan parti mana yang seharusnya memerintah negara ini. Ia kuasa rakyat yang ditentukan secara demokrasi.


Bagaimanapun mengambil berkat bulan Ramadan yang baru berlalu dan amalan bermaaf-mafan sepanjang Syawal, Malaysiakini menghulurkan jari sepuluh memohon maaf dan ampun sekiranya kami menyinggung mana-mana pihak dalam menunaikan tanggungjawab kami itu.

Kami kesal jika ada yang terguris dengan kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Malaysiakini menyanjung tinggi pandangan Dr Asri yang sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar khususnya membabitkan hal agama. Kami berharap teguran seumpama ini demi kebaikan semua pihak akan berterusan.

Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Tiada ulasan: