"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rahsia terbongkar di sekatan jalan

Wanita berkenaan memarahi suaminya yang mengaku masih menghisap dadah ketika ditahan polis.
MELAKA TENGAH - Kalau tidak kerana sekatan jalan raya, seorang wanita mungkin tidak mengetahui suami yang baru dinikahinya masih mengamalkan tabiat menghisap dadah.

Perkara berkenaan terbongkar apabila pasangan suami isteri itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam sekatan jalan di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, kira-kira 11.30 malam kelmarin.

Akibat berang, wanita berusia lewat 20-an yang juga sedang berbadan dua itu bertindak luar dugaan apabila menempeleng kepala suaminya apabila mengetahui dia masih menghisap dadah selepas pemeriksaan mendapati ia positif.

Difahamkan, suaminya yang berusia 32 tahun menunggang motosikal bersama isterinya itu sebelum ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah yang membuat sekatan jalan, dan ujian saringan awal urin mendapati dia positif dadah jenis methampetamine.

Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, lelaki juga pekerja kedai makan itu ditahan bersama tiga lelaki lain dalam Operasi Lalulintas dan Pencegahan Jenayah yang diketuai Inspektor Firdaus Syafiq Abu Talib.

“Dua lelaki berusia berusia 24 dan 26 tahun ditahan kerana memiliki dadah jenis eramin 5 dan syabu ketika pemeriksaan pada badan dan beg dilakukan mereka di Jalan Syed Abdul Aziz, semalam (kelmarin).

“Sementara seorang lagi lelaki berusia 44 tahun adalah individu dalam senarai dikehendaki polis berhubung kes dadah yang ditangkap ketika menunggang motosikal bersama rakan sekampungnya yang memiliki dadah,” katanya di sini, semalam.

Shaikh Abdul Adzis berkata, kesemua tiga lelaki yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam diri sendiri.

“Sebanyak 88 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama lapan jam berakhir 4 pagi membabitkan dua lokasi termasuk Jalan Parameswara.

“Sebanyak 112 kenderaan termasuk 57 kereta dan 43 motosikal diperiksa dalam sekatan jalan raya di kedua-dua lokasi dan saman paling banyak dikeluarkan atas kesalahan ubahsuai kenderaan iaitu sebanyak 21 kenderaan,” katanya.
-sinarharian

Tiada ulasan: