"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hidayah: 10 tahun Liku-liku jejaka Iban sebelum bergelar saudara baru

Anne Muhammad
Esok, umat Islam di negara ini akan meraikan Aidilfitri.

Tetapi bagi Kamal (bukan nama sebenar), liku-likunya sebelum mampu meraikan Aidilfitri setiap tahun cukup mencabar.

Baginya, agama boleh berbeza tetapi kasih sayang anak dan ibu tetap sama sampai bila-bila.

Atas dasar itu, pembantu jurutera 26 tahun itu terus menghormati dan mengambil hati ibunya yang beragama Kristian.

Beliau juga tidak melihat agama menjadi penghalang untuknya membantu kerja-kerja ibunya, termasuk memberi makan babi ternakan keluarga.

“Walaupun kini saya bergelar Islam, saya tetap membantu ibu memberi babi ternakan keluarga makan.

“Dan saya tidak membenarkan ibu saya membeli pinggan baru untuk saya, cukup dibasuh bersih sahaja,” kata pemuda Iban itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Sesetengah mualaf enggan berkongsi pinggan yang digunakan untuk makan makanan tidak halal. Jika berkongsi pun, ia biasanya akan disamak dengan air tanah dan air bersih terlebih dahulu.

Setelah 10 tahun memeluk Islam, niat baik Kamal itu berbaloi kerana anak kelahiran Bintulu Sarawak itu semakin boleh diterima sebagai orang Islam dalam keluarga Kristian.

“Alhamdulillah, hubungan ibu dan saya semakin baik dan saya tidak mahu kerana perbezaan agama hubungan kami semakin renggang.

“Saya masuk kelas agama dan belajar perbezaan mazhab, pendapat ulama dan perbandingan agama maka saya lebih faham cara untuk uruskan keluarga saya yang beragama Katolik,” katanya.

Suasana tegang di sekolah

Anak sulung dari tiga beradik itu menganut Islam ketika berusia 16 tahun setelah tiga tahun mendalaminya.

Dugaan awal diterimanya apabila beliau rapat dengan seorang guru biologi yang membantu mengajar berkaitan Islam tetapi tidak disenangi ibunya ketika itu.

Lebih rumit apabila ibu beliau bertugas sebagai pembantu makmal di sekolah yang sama, menyebabkan suasana tegang.

“Keadaan memang sangat rumit pada waktu itu. Ibu saya bekerja sebagai pembantu makmal di sekolah itu jadi berita masuk Islam tersebar dengan cepat.

“Ibu saya mengamuk ketika dia dapat tahu berita itu, ibu mulai masam muka dengan guru biologi walaupun mereka bekerja dalam satu bangunan,” katanya.

Oleh kerana terlalu tertekan, Kamal mempertimbangkan untuk belajar di semenanjung sehingga tamat SPM.

Namun atas nasihat gurunya, beliau memutuskan untuk tetap tinggal bersama ibu, dedahnya.

2 tahun berdepan pujukan

Katanya, selama dua tahun beliau terpaksa berdepan desakan ibunya supaya kembali pada agama asal.

Ibunya malah meminta bantuan guru sekolah yang terlibat dalam persatuan Katolik untuk memujuk beliau.

“Ibu memang marah, ibu pukul, tapi saya tak marah. Ibu minta bantuan guru persatuan Katolik untuk beri nasihat pada saya, tapi saya cuma dengar dan pekakkan telinga.

“Saya tidak mahu ibu marah sangat jadi saya bantu ibu buat kerja ladang, berkebun,” katanya.

Selepas tamat SPM, Kamal melanjurkan pelajaran ke sebuah politeknik di Shah Alam dalam jurusan kejuruteraan.

“Sepanjang saya di semenanjung saya belajar agama Islam dan dalam masa yang sama saya akan ambil hati ibu saya. Saya akan hubungi ibu dan pulang ke kampung kalau saya ada cuti,” katanya.

Beliau kini mampu tersenyum apabila hubungan keluarga semakin akrab dan ibunya semakin boleh menerima dirinya.

“Alhamdulillah saya lega apabila keluarga semakin boleh terima saya seadanya dan saya harap hubungan ini akan terus baik,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: