"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umat Islam patut pertahan Dr. Zakir - Perkasa

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Perkasa percaya umat Islam sepatutnya mempertahan pendakwah reputasi tinggi, Dr. Zakir Naik ekoran tuduhan kononnya beliau mempengaruhi kumpulan pengganas melalui ucapannya untuk melakukan keganasan di Bangladesh baru baru ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Amini Amir Abdullah berkata, Dr. Zakir adalah individu yang banyak membantu pihak berkuasa memahamkan Islam sebenar di peringkat antarabangsa.

“Beliau berceramah kepada berjuta manusia dan apakah berjuta ini telah menjadi pengganas? Kalau seorang mendakwa menguna nama Dr Zakir apakah beliau terus di hukum? ” soalnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga memberi amaran keras kepada Timbalan Presiden Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Datuk RS Mohan Shan supaya tidak terlalu cepat membuat tuduhan yang tidak berasas dan kesimpulan tanpa bukti yang kukuh.

“MCCBCHST menuduh Dr. Zakir menyemai pemikiran orang muda dengan idea yang membawa kepada pemikiran terrorisme. Perkasa menggesa MCCBCHST agar lebih berhati-hati membuat kenyataan dan generalisasi yang berdasarkan sangkaan dan tohmahan semata mata.

“Siasatlah dengan mendalam sebelum membuat kenyataan biadap seperti ini. Berhati hatilah dalam membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Jangan sekadar mengikut telunjuk dan berita pihak Barat yang tidak berasas,” katanya.

Pada masa yang sama, Perkasa juga menggesa MCCBCHST menarik balik kenyataan yang dilabelnya, biadap

“Jika tidak Perkasa menganggap mereka ada niat jahat yang tersurat. Mereka sebenarnya mahu memburukkan Dr. Zakir dan menghalangnya dari berceramah demi kebenaran agama,” simpul beliau.

Semalam, akhbar Bangladesh, The Daily melapor dua pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh sebagai pengikut Zakir dan dua perekrut yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS).

Akhbar itu juga menyatakan seorang daripada pengganas itu, Rohan Imtiaz menulis di Facebooknya tahun lalu bahawa Zakir menggesa semua umat Islam untuk menjadi pengganas.

Ekoran itu Mohan Shan menggesa Putrajaya untuk membatalkan anugerah Maal Hijrah yang diberikan kepada Zakir di samping menghalang beliau daripada menyampaikan ceramah di Malaysia, petik lapor Malaysian Insider.

-----------------------
 Dr Zakir Naik: PERKASA bidas kumpulan antara agama
Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA membidas kumpulan antara agama kerana mencadangkan pendakwah Islam Dr Zakir Naik memberi ilham kepada pengikutnya untuk melancarkan serangan pengganas.

Sebaliknya, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Dr Amini Amir Abdullah menegaskan pendakwah bebas berasal dari Mumbai itu adalah bereputasi tinggi dan membawa aliran yang sederhana.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) agar tidak terlalu cepat membuat tuduhan yang tidak berasas dan kesimpulan tanpa bukti bukti yang kukuh.

“PERKASA menggesa MCCBCHST menarik balik kenyataannya yang biadap.

“Jika tidak PERKASA menganggap mereka ada niat jahat yang tersembunyi seperti udang di sebalik batu.

“PERKASA dapat membaca apa yang tersirat... mereka sebenarnya mahu memburukkan Dr Zakir dan menghalangnya dari berceramah demi kebenaran agama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Amini, MCCBCHST seharusnya menyiasat dengan mendalam sebelum membuat kenyataan seumpama itu.

“Berhati-hatilah dalam membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam. Jangan sekadar mengikut telunjuk dan berita pihak Barat yang tidak berasas,” katanya.

Amini seterusnya mempertahankan Zakir, yang mencetuskan kemarahan masyarakat bukan Islam semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini dengan berkata pendakwah itu seharusnya diberi peluang untuk membuat penjelasan.

“PERKASA berpendapat Dr Zakir Naik patut diberi peluang untuk membuat penjelasan dan beliau sepatutnya tidak diletakkan dalam kandang orang yang bersalah.

“Umat Islam patut mempertahankannya. Beliau juga banyak membantu pihak berkuasa memahamkan Islam yang sebenar di sini dan pada peringkat antarabangsa.

“Hampir semua ceramahnya merujuk kepada mesej Islam sebagai agama keamanan sejagat. Beliau juga menekankan Islam sebagai agama perdamaian dan keharmonian,” katanya.

Semalam Zakir menafikan bahawa ucapannya menggalakkan keganasan, dan mengalu-alukan siasatan terhadapnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: