"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Bekas mufti 'kesipuan' lihat Hadi di Tehran

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya secara sinis berkata, beliau berasa 'kemaluan dan kesipuan' membaca suatu catatan dibuat seorang tokoh ulama luar berhubung Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menulis di Facebooknya, Juanda berkata, maruah Malaysia ketika ini 'jatuh ke tanah di mana-mana' akibat penyertaan presiden PAS itu dalam persidangan antarabangsa di Iran.

Berkongsi status dibuat oleh seorang profesor dalam bidang hubungan antarabangsa, Juanda berkata, beliau tidak sanggup menterjemahkan kenyataan dibuat dalam bahasa Arab itu.

"Bagi yang sudi, pohon terjemahan teks catatan ini agar umat Melayu faham. Saya tak sanggup terjemah kerana herdikannya amat tajam..." katanya.

Juanda kini adalah ADUN Jemoreng di Sarawak mewakili BN.

Antara lain, Prof Dr Abd Al-Fattah El-Awaisi menyatakan tentang kemarahannya terhadap penyertaan Abdul Hadi dalam persidangan antara mazhab di Tehran.

Menurut maklumat pada laman sesawang Abd al-Fattah El-Awaisi adalah cendekiawan British berdarah Palestin dan berpengalaman mengajar di negara Arab, Britain, Turki dan Malaysia.

Kata Abd Al-Fattah, pemimpin yang berkunjung ke Tehran itu bersekongkol dengan penjenayah yang bertanggungjawab mencabul kanak-kanak dan wanita, selain pembunuh serta pihak yag terlibat dalam perang di Syria.

"Sesuatu yang amat memalukan dan buruk untuk sesiapa yang yang pergi ke Tehran, ibu negara musuh dan penjajah Iran dan menyertai persidangan anjuran mereka berkaitan Kesatuan Umat Islam.

"Persidangan ini telah dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Bagi Penyatuan Mazhab Islam berakhir pada petang semalam (Sabtu 17/12/2016) dengan ucapan penutup telah disampaikan oleh ketua mereka yang juga merupakan penjenayah dan pembunuh iaitu Ayatullah Ali Khameini.

"Antara nama nama yang telah hadir pada persidangan ini seperti dilaporkan oleh media Iran ialah:- 1. Sheikh Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Malaysia (PAS) yang juga merupakan Naib Ketua bagi Kesatuan Ulama Sedunia. Beliau telah menyampaikan ucapan pembukaan persidangan ini pada hari khamis yang lepas (15/12/206). 2. Iddah Falahi yang diberikan gelaran sebagai 'Pemikir Al-Jazair' juga menyampaikan ucapan penutup pada persidangan ini. 3. Safinaz Kazim wakil dari Mesir 4. Uthman Batikh (Mufti Tunisia yang dilantik melalui Kedutaan Tunisia di Tehran).

"Kesemua mereka yang telah pergi ke Tehran ini bersekongkol dalam pencabulan gadis gadis kita dan wanita wanita kita, bersekongkol dalam jenayah pembunuhan dan penghancuran, bersekongkol juga dalam pembinasaan yang kesemuanya ini telah dilakukan oleh penjajah Iran terhadap Syria yang telah musnah.

"Tidakkah menjadi suatu yang amat memalukan dan buruk bagi mereka yang pergi ke Tehran dan khatib rasmi negara itu - Ayatullah Imami Kashani - telah berkata ketika khutbah jumaat: Sesungguhnya Halab (Aleppo) telah bebas dan orang Islam telah menang ke atas orang kafir?!!" tulisnya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pemergian presiden PAS itu antara lain adalah atas permintaan wakil Ittihad Ulama Muslimin Iran, Dr Abdurrahman Bayraan.

Katanya, Abdurrahman adalah tokoh Sunni dan dilantik Syeikh Dr Yusuf Qardhawi (gambar).

Katanya kehadiran Abdul Hadi adalah supaya beliau dapat membawa suara kelompok Sunni yang berada di Iran bagi mengurangkan sedikit tekanan terhadap mereka di negara berkenaan.

"Selain dari itu Abdul Hadi juga menjelaskan isu-isu keganasan dan puncanya pada waktu ini.

"Beliau juga memaklumkan pemergian beliau kepada Setiausaha Agung Ittihad Alami iaitu Prof Dr Ali Qaradaghi yang datang ke Kuala Lumpur bulan lepas, dengan hujah di atas.

"Jadi tidak timbul ianya bercanggah dengan pandangan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi.

"Selain Abdul Hadi, antara tokoh Sunni yang hadir ialah Sheikh Dr Mustafa Ceric (Mufti Bosnia-Herzegovina), Mufti Iraq, Wakil Hamas, Mursyid Am Parti Saadat Turki, Sheikh Dr Taj El-Din Hilaly (mantan Mufti Umat Islam Australia), wakil dari Jamaat Islami Pakistan dan sebagainya lagi.

"Isu yang dibangkitkan mengenai apa yang berlaku di Syria dalam minggu ini memerlukan kupasan dan analisis lebih mendalam.

"Insya-Allah Abdul Hadi sendiri akan mengupasnya secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana media antarabangsa atau mana-mana pihak, berdasarkan gambaran yang lebih luas.

"Lajnah Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat akan memaklumkan tarikh dan waktunya yang sesuai untuk program berkenaan," katanya seperti disiarkan Harakahdaily.
-malaysiakini

Tiada ulasan: