"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sudah bersediakah?: 50,000 pekerja akan dibuang tahun ini?

Arif Atan
Ekoran pertumbuhan perlahan yang dialami industri sejak Ogos 2015, puluhan ribu pekerja menjengah tahun 2017 ini diramal akan hilang sumber pendapatan akibat diberhentikan majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), MEF, Datuk Samsuddin Bardan menjangkakan jumlah pekerja terbabit akan terus meningkat antara 45,000 hingga 50,000 orang.

Dipetik daripada laporan Free Malaysia Today (FMT), beliau berkata, sektor teknologi kewangan (Fintech), teknologi insurans (Insurtech), pembuatan dan pembinaan menyaksikan risiko tinggi pemberhentian kerja ekoran kemerosotan kadar permintaan.

Langkah membuang pekerja, jelasnya, didorong oleh kesukaran syarikat meraih keuntungan akibat kelemahan produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan serta eksport.

"Ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi di negara pengeksport utama, termasuk negara Eropah, Amerika Syarikat, China dan Jepun yang mengakibatkan pasaran eksport lemah.

"Dalam pasaran tempatan pula, harga barangan dan perkhidmatan akan naik menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat dan pengguna berwaspada ketika berbelanja," jelasnya.

Pada masa sama, Samsuddin memberitahu, kadar kenaikan gaji di kebanyakan syarikat tidak tinggi bahkan lebih rendah berbanding kadar kenaikan tahun ini.

Menurutnya, kadar kenaikan gaji bagi pekerja bukan eksekutif tahun ini ialah 5.51 peratus dan tahun depan dijangkakan 5.43 peratus manakala kadar kenaikan gaji bagi eksekutif pula ialah 5.55 peratus tahun ini tetapi mungkin naik sekitar 5.3 peratus sahaja tahun hadapan.

"Pendapatan dan keuntungan kebanyakan majikan terjejas dan dijangka mengalami penurunan 30 hingga 40 peratus tahun ini berbanding tahun 2015.

"Cabaran terbesar majikan pada tahun depan ialah bagaimana mengekalkan prestasi perniagaan dan jumlah pekerja ketika modal berniaga semakin meningkat," ujar Samsuddin lagi.

Ringgit jatuh teruk

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan ringgit akan bergerak dalam turun naik yang tidak menentu pada tahun depan akibat ketidaktentuan di pasaran global.

Firma penyelidik itu dalam nota penyelidikannya semalam mengunjurkan ringgit dijangka bergerak hampir tidak berubah pada tahun 2017 dan mencecah paras 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun depan.

Ringgit menyaksikan terus berdepan tekanan apabila sekali lagi mencecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 apabila dibuka pada 4.4783 berbanding dolar AS, sebelum mencecah 4.4838 pada sesi dagangan semalam.

Menurut perangkaan Bloomberg, kedudukan tersebut adalah paras terendah sejak Januari 1998.
-malaysiadateline.com

Tiada ulasan: