"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kembar diterajang pelajar tahfiz, kemudian dipukul guru kerana mengaduAedi Asri

Aedi Asri
KUALA LUMPUR: Seorang bapa tidak dapat menahan kecewa apabila pasangan anak kembarnya menjadi mangsa buli di sebuah sekolah tahfiz di Setapak, Kuala Lumpur.

Hamid Sultan mendakwa 2 anaknya berusia 9 tahun turut dipukul seorang guru hanya kerana mengadu hal itu kepada bapa mereka.

Katanya mereka berdua mengadu dibuli pelajar lebih tua hanya selepas minggu pertama persekolahan.

Anak mereka pada mulanya mengadu perkara itu kepada pakcik mereka kerana bimbang ayah mereka akan mengesyaki mereka melakukan kesalahan.
Hamid Sultan menunjukkan telinga salah seorang anak kembarnya yang koyak akibat ditarik pelajar buli di sebuah sekolah asrama di Setapak.

Hamid berkata beliau terus melaporkan hal itu kepada 2 guru di madrasah berkenaan.

“Mereka memberi jaminan akan menyiasat dan mengambil tindakan, tetapi tiada apa-apa perubahan,” katanya.

Sehinggalah pada hujung Mac dan awal bulan ini, Hamid mendapati kesan lebam, gigitan dan tanda rotan di badan mereka.

“Mereka beritahu diterajang di muka, dipukul dengan raket badminton dan kayu kriket. Mereka dipukul di kaki lima, diheret ke tandas, dan juga di bilik. Telinga salah seorang ditarik sehingga koyak,” katanya.

Kejutan terbesar tiba pada 15 April lalu, apabila Hamid yang merasa tidak sedap hati melawat anaknya di sekolah.

“Sebaik tiba, mereka meluru ke kereta dan menangis mengadu masih dibuli,” katanya.

“Saya bimbang dengan keselamatan anak-anak saya, tetapi diberi jaminan bahawa pelajar yang bersalah – yang kebanyakannya berusia belasan tahun – akan dibuang. Maka saya bersabar.”

Keesokannya, Hamid menghantar anaknya kembali ke sekolah, tetapi mendapati pelajar membuli itu masih tidak diambil tindakan.

Sebaliknya, mudir sekolah memberitahunya mereka “dalam pemantauan”.

Hamid berkata beliau sekali lagi ke madrasah tersebut.

“Kali ini anak saya menangis berkata dipukul ustaz, yang memarahi mereka kerana mengadu kepada saya.”

Laporan polis

Hamid terus membawa kedua-dua anaknya membuat laporan polis pertama serta mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Ini kes buli – 2 anak saya yang baru berusia 9 tahun dipukul. Guru-guru ini sepatutnya mengambil tindakan segera, bukan mempersoalkan mereka hanya kerana mengadu,” katanya.

Hamid sudah membuat 2 laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Klang, pada 15 dan 16 April lalu.

Beliau berharap dengan membawa perkara itu kepada perhatian polis, perkara sama tidak berlaku kepada pelajar lain.

Hamid Sultan menunjukkan 2 laporan polis yang dibuatnya terhadap pelajar dan guru sekolah asrama di Setapak.

“Apatah lagi untuk sebuah sekolah tahfiz yang mengajar agama. Kerana ia sekolah tahfiz juga saya memberikan masa untuk pihak pentadbiran menyiasat dan mengambil tindakan.

“Tetapi yang sebaliknya berlaku, keadaan anak saya semakin teruk.”

Laporan polis itu menamakan 9 pelajar terlibat, di samping seorang guru warga India yang memukul anaknya kerana mengadu hal itu.

Dakwaan buli di sekolah tahfiz bukan perkara baru. Media sebelum ini pernah melaporkan isu melibatkan sebuah sekolah tahfiz di Kedah pada Februari 2016 dan kes jenayah seksual di sekolah tahfiz di Perak pada Ogos tahun sama. Pengurusan sekolah bagaimanapun menafikan perkara itu.

Hamid, 42, berkata beliau kini risau menghantar anaknya ke asrama, terutama yang turut dihuni pelajar yang jauh lebih berusia.

Hamid juga membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Saya juga sedang berbincang dengan peguam untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Peristiwa ini harus menjadi pengajaran buat sekolah itu,” katanya.

FMT akan mendapatkan pentadbiran sekolah terbabit.

Tiada ulasan: